Le Oulala

Suatu ketika dahulu, saya pernah aktif di DeviantArt. Laman DeviantArt ini platform media sosial buat kelompok pengkarya seni visual statik seperti lukisan dan fotografi. Banyak juga hasil potret serta sedutan projek komik telah saya muat naik ke situ. Teman-teman maya pun ramai saya jumpa. Termasuk seorang yang memang namanya Maya. Budak Taiwan. Comel juga si gadis, andai kata gambar profail yang terpapar itu bukan palsu. In this day and age, you just never know.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Lama-kelamaan, saya perasan suasana laman beransur pelik bila mana terlalu banyak imej tak senonoh (baik lukisan mahupun foto) mula berlegar memenuhi galeri ‘Newsfeed’ umum. Lantas menghilangkan seri laman yang sebelumnya positif. Ada yang konon-konon berjustifikasi seni. Walhal, rata-rata hanya lucah semata-mata lucah. Memanglah seni itu suatu yang subjektif. Namun, batasan tetap perlu diletak.

Saya hendak berikan contoh banyak-banyak di sini pun terasa segan. Sekadar gambaran, apakah rasionalnya foto ‘close up’ lubang punggung serta bulu ketiak lebat bercorak pelangi? Dah tenung lama-lama, baru saya perasan. Euwww! Entah apa-apa. Bahana jenama barangkali. Ya lah, ‘deviant’ maksudnya menyimpang dari norma.

Semenjak detik yang menghilangkan selera makan tersebut, saya beralih arah meninggalkan DeviantArt buat selama-lamanya. Lagipun, saya dah ada laman web sendiri di persimpangan cerita. Portfolio seni yang kekal aktif sehingga ke hari ini.

Fasa berjinak dengan alam penulisan novel pula, saya mendaftar diri dengan laman Wattpad sekitar September 2016. Agak ketinggalan kapal, saya akui. Saya hanya perasan kewujudan Wattpad secara tak sengaja menerusi profail beberapa orang penulis arus perdana di laman rasmi mereka. Pada waktu itu, saya sendiri belum ada blog. Apatah lagi momentum menulis. Laman web diwujudkan pun sekadar bertujuan mempromosi komik serta hasil lukisan.

Setelah berbulan aktif di Wattpad, baru saya nampak betapa laman tersebut berpotensi menjadi lubuk teroka penerbit buku. Mekanisma mereka menjejak bakat-bakat baru. Tak dinafi, ramai novelis hebat dari serata dunia bermula di Wattpad. Ala-ala titik mula penyanyi Youtube serta MySpace suatu masa dahulu. A platform to get discovered, bak kata orang putih. Ada penulis yang sudah mempunyai sejumlah pengikut tegar walaupun buku tak pernah masuk kedai. Dari kaca mata penerbit berjiwa oportunis, ini bersamaan dengan wang ringgit. KaChing!

Aspek menarik Wattpad yang paling mengkagumkan diri ini sehingga terjebak ialah kebolehan multimedia mengiringi karya. Makna kata kita bukan setakat boleh muat naik gambar iringan, bahkan lagu serta video. Elemen-elemen ini ternyata menambah feeling para pembaca. Siapa tak teruja baca novel cinta berlatarbelakangkan Paris diiringi trek instrumental La Vie En Rose versi accordian? Klise, saya tahu.

Di sebalik setiap yang positif, tentu ada sisi negatif. Malang sekali, Wattpad punyai reputasi gelap sebagai lubuk plagiat. Malah, ada toyol yang tak malu merembat karya penulis-penulis lain di Wattpad. Karya ciplak tadi dipakej dengan judul baru sebelum dimuatnaik semula ke akaun Wattpad milik sendiri. Siap ada disclaimer perlindungan hakcipta lagi. Fuh! Kegilaan apakah ini?!

Umum mengetahui, pihak berautoriti di Wattpad pun bersikap acuh tak acuh dalam menangani kelakuan buruk ini. Laporan salah laku cenderung diabai. Tindakan tatatertib langsung tak diambil. Kalian boleh selami sendiri luahan peribadi berkaitan hal ini di forum-forum penulisan, YouTube serta blog-blog penulis. Kelompok kecewa akhirnya membawa diri ke platform lain seperti Penana, WriterSky dan Figment. Wattpad juga yang rugi.

Dalam usaha melindungi harta intelek sendiri, saya terpaksa berpada-pada berkongsi. Malah, beberapa karya lama telah pun saya turunkan sepenuhnya. Penat-penat kita tulis untuk dikongsi secara percuma dengan pembaca, tiba-tiba ada mangkuk yang curi. Jikalau ada dalam kalangan anda yang pernah mengikuti penulisan saya di Wattpad, ini antara sebab saya sudah tidak lagi aktif di situ.

Terkenang kembali lambakan karya yang pernah saya muat naik ke Wattpad, Le Oulala paling mendapat sambutan. Travelog Paris catatan kembara 2010. Terperincilah juga walaupun tempoh lawatan seminggu cuma. Bab pertama (daripada 40 bab keseluruhan) saya muat naik pada 9 Oktober 2016. Dan saya tak malu guna trek La Vie En Rose sebagai muzik iringan. Haha. Jangan kecam.

Biarpun popular, saya dapat merasakan yang Le Oulala terlalu pendek untuk diterbit sebagai senaskhah buku tersendiri. Melainkan diselit bersama ratusan foto iringan. Cuma teknik ini semacam mengelat. Saya tak suka. Pembaca beli buku untuk membaca. Bukan belek gambar.

Hendak dijadikan cerita, secara kebetulan sekitar hujung tahun yang sama (2016), pihak Dubook Press tiba-tiba menyuarakan minat untuk menerbit memoir PhD saya berjudul Kuantum. Proposal yang pada mulanya saya beranggapan ditolak setelah berbulan-bulan masa berlalu tanpa maklumbalas.

Dari sini, timbul peluang. Memandangkan lawatan Paris bertindan waktu dengan perjalanan PhD yang dimaksudkan, saya tergerak hati untuk menyerap Le Oulala ke dalam manuskrip akhir Kuantum sebagai satu bab.

Kuantum Shah Ibrahim Quantum Spinning GIF

Sebarang komen/pertanyaan?