Waktu siang pendek sepanjang Ramadan musim luruh di West Yorkshire pada tahun 2005. Suasana tenang. Suhu yang dingin tak lekas mencetus dahaga (walaupun udara kering). Gaya pemakaian wanita setempat yang kian berlapis-lapis juga kurang memancing mata. Maka, terpeliharalah pahala.
Sebelum sambung menaip, sekali lagi saya merenung lama pada angka 2005. Ini bukan typo. Ternyata, dua dekad hampir berlalu. Syukur, umur masih panjang untuk bercerita.
Sebagaimana resam kelompok bujang di perantauan, saya bersama-sama geng serumah sering berbuka puasa di masjid saja. Iftar. Dah terbang keluar dari Malaysia, barulah telinga ini mula biasa mendengar istilah tersebut.
Grand Mosque (masjid utama bandar Leeds) meriah dengan kehadiran jemaah kosmopolitan. Pelbagai bangsa dan mazhab. Berbilang negara asal usul. Juadah utama berbuka puasa ditaja oleh golongan hartawan. Seingat memori, raja-raja Arab kuat sponsor dari kejauhan pada waktu itu.
Kelompok nusantara lazimnya bertumpu di Grand mosque. Untung-untung, dapatlah masing-masing melepas rindu terhadap menu tanahair hasil sumbangan potluck orang ramai. Walaupun masjid ada penaja besar setiap hari, ahli kariah tetap dialu-alukan untuk menyumbang. Aneh sekali, lauk Melayu kurang mendapat respons memberangsangkan daripada pak arab. Entahlah… Mungkin sebab pedas.
Ralit bercerita mengenai kemeriahan Leeds Grand Mosque, bukannya masjid ini pun yang saya dan teman-teman serumah pergi.
Kami menyewa di kawasan Beeston. Tanpa kereta, terlalu leceh buat kami berulang-alik setiap hari menaiki bas tambang menuju ke Grand Mosque. Hendak berjalan pun jauh. Menapak pergi mungkin bersemangat sedikit tatkala nafsu diumpan oleh habuan yang menanti. Menapak pulang lepas terawih 20 rakaat serta perut penuh lain pula ceritanya.
Oleh itu, Omar Mosque di Beeston menjadi destinasi alternatif kami serumah. Masjid yang juga dikenali dengan nama Stratford Street Mosque.
Berbanding kemegahannya berdiri sekarang, rupa paras Omar Mosque 20 tahun yang lalu amat berbeza. Sekadar sebuah rumah corner lot yang telah diubahsuai. Lokasinya pula berselang satu lorong di belakang rumah sewa kami. Terlalu dekat. Cuma ini masjid majoriti Pakistan bermazhab bukan Syafie yang dikendali sepenuhnya dalam bahasa Urdu.
Tubuh kami kerdil saja jika hendak dibandingkan dengan fizikal mereka yang bagak belaka. Anak remaja belum pecah suara pun lebih tinggi dan lebar berbanding saya. Jemaah lelaki setempat rata-rata berkurta serta berjambang sementara kelompok Melayu kami pula berseluar jeans dan berambut panjang. Rasa terasinglah juga. Tapi ini hanya perasaan kami semata-mata. Kami tetap dilayan mesra. No judgement.
Bermula dengan iftar, kami kekal berlegar sehingga selesai terawih. Bukan sebab warak pun. Sebaliknya mengharapkan ada lebihan lauk untuk ditapau pulang. Sekaligus menyelesaikan masalah sahur.
Bercakap soal makanan, juadah yang disaji pun bukan calang-calang. Samosa daging dan onion bhaji (cucur bawang berempah) merupakan appetizer standard setiap hari. Masih segar dalam ingatan betapa samosa-samosa ini sarat berinti sehingga kulit tepung yang menyaluti gagal menampung, lantas terburai. Pendek kata, samosa ‘oksigen’ tiada dalam kamus komuniti mereka.
Bagi kapasiti perut orang Malaysia, menyantap samosa gergasi dan bhaji pun dah cukup kenyang sebenarnya. Usai solat Maghrib, barulah nasi-nasi dijamu. Bayangkan pula saiz hidangan utama yang menyusul.
Aroma masakan mula terbau dari lorong belakang rumah kami seawal tengah hari lagi. Akal ligat berspekulasi meneka kejutan menu setiap hari. Dalam pada itu, saya hanya mengharapkan satu sahaja. Agar onion bhaji sentiasa kekal selaku appetizer. Ternyata, diri ini telah jatuh obses.
[Bersambung…]