‘Both a little scared…
Neither one prepared…
Beauty and the beast.’
Filem animasi ini masuk panggung sekitar hujung tahun 1991. Keluarga saya bukan jenis keluar tengok wayang. Jadi, terpaksalah tunggu kedai sewa tape ada stok salinan VHS berkualiti. Sekeping pita video filem ‘ori’ pada zaman itu sama harga dengan dua buah kereta Tamiya. Lebih baik beli kereta Tamiya.
Rekaan watak Beast dalam filem ternyata menggerunkan. Fasa awal menonton zaman budak-budak dahulu, saya sampai perlu tutup mata setiap kali watak bengis ini muncul di skrin. Menurut dokumentari sebalik tabir, rekaan watak Beast sebenarnya terhasil daripada komposit beberapa haiwan ganas termasuk singa, seladang, beruang, gorilla serta babi hutan. Patutlah.
Crush terhadap watak Belle pula sukar dinafi (meskipun hanya watak kartun). Sopan. Jelita. Baik dengan kanak-kanak. Pencinta buku. Alahai…
Secara peribadi, adegan tari-menari di istana sampai sekarang menjadi detik kegemaran saya sepanjang filem. Belle berbusana serba kuning. Beast pula biru dan tersengih kekok. Adegan ikonik ini tambah berimpak kerana dilatari oleh lagu tema nyanyian Mrs Potts. Sejujurnya, suara makcik teko ini lebih mencetus goosebumps berbanding versi nyanyian rasmi Celine Dion.
Mana tidaknya. Kita sebagai penonton berupaya menyelami perasaan Mrs Potts yang sangat berharap agar cinta terus bersemi sesama Belle dan Beast. Lantas mematahkan sumpahan yang telah lama menimpa warga istana. Romantik bukan? Memang layaklah mencatat sejarah sebagai filem animasi pertama yang tercalon Oscar.
Namun, ini hanyalah satu daripada sisi cerita. Ramai juga yang mengaju teori betapa Belle sebenarnya mangsa Sindrom Stockholm. Gadis tebusan yang perlahan-lahan dimanipulasi perasaannya supaya meredai tindakan kelompok penahan. Melihat dari sudut pandang ini, keseluruhan cerita terus berubah makna.
Tetapi seingat saya, Beast merelakan si Belle pergi sebelum istananya diserang oleh penduduk kampung. Entahlah. Debat ini tiada kesudahan. Terpulang kepada interpretasi masing-masing.