Selama empat penggal saya menghuni hostel sewaktu bergelar pelajar di Leeds.
Setiap penggal, saya berpeluang hidup bersama empat wajah asing. Habis satu penggal, masing-masing yang ingin melanjutkan kontrak sewa akan diagih ke blok-blok lain secara rambang. Menjadikan jumlah teman serumah yang sempat saya kenal seramai 16 orang.
Pelbagai usia. Pelbagai agama. Pelbagai negara. Dan tentulah bermacam ragam. Namun, kesemua mereka lelaki. Sebab saya tak pilih blok co-ed yang bercampur. Payah fokus nanti (if you know what I mean).
Dalam pada itu, saya tiada kuasa melarang teman-teman serumah yang mengusung perempuan. Kadang-kadang sewaktu saya bangun untuk berwuduk Subuh, tak semena-mena bertembung dengan makwe di bilik air.
Cukuplah setakat empat penggal untuk saya himpun pengalaman, walaupun garis penamat pengajian masih jauh (di persimpangan cerita). Saya akhirnya serik dan memutuskan untuk menyewa seorang diri di studio apartment sahaja. Lebih aman. Kurang drama.
Sewaktu menghuni hostel, teman serumah yang seagama pun menyeksa jiwa dan raga.
Saya masih ingat salah seorang. Lelaki Iraq berusia 54 tahun. Pada waktu itu, saya pula baru awal 20-an. Setelah bertaaruf, baru saya maklum yang dia seorang hakim besar di Iraq. Terbang ke Leeds untuk kursus intensif Bahasa Inggeris selama 3 bulan. Tiga orang lagi teman serumah kami pula berasal dari Korea Selatan, India serta Latvia. In-Hyuk, Puneet dan Vladimir. Nama sebenar.
Walaupun saya dan tuan hakim sama-sama Islam, saya lebih ngam dengan tiga orang yang lain itu. Terutama sekali In-Hyuk yang bersungguh-sungguh nak ‘adjust’ saya dengan awek Korea. Sedangkan saya dapat merasakan yang awek-awek Korea langsung tak berminat dengan seseorang yang berwajah mamak. Ini motivasi kuat buat saya mengumpul dana untuk plastic surgery.
(Maaf, tak sengaja melalut pula. Kembali semula ke topik asal…)
Ruang tandas, bilik mandi, dapur serta koridor flat kami saban hari semakin kotor. Tidak menghairankan sangat kerana sejak hari pertama berpindah masuk, belum pernah dibersihkan lagi. St. Mark’s Residences berkadar sewa paling murah. Khidmat pencuci tidak disediakan oleh pihak pengurusan hostel. Maknanya, kenalah usahakan sendiri.
Seseorang harus tampil mengambil inisiatif. Saya mengajak In-Hyuk, Puneet, Vladimir dan tuan hakim untuk berbincang mengenai pembahagian tugasan mencuci. Gotong-royong berlima setiap hujung minggu. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bukankah semoleknya begitu?
Semua sepakat bersetuju menyumbang tenaga kecuali si hakim. Seiring pangkat, dia berpendapat bahawa kerja-kerja mencuci suatu penghinaan kepada golongan elit sepertinya.
“No No No… I am judge. I no clean!”
Ini hujah tuan tubuh sendiri berapi-api dalam tutur kata Inggeris yang tunggang-langgang. Tanpa rasa bersalah, dia meninggalkan perbincangan lantas masuk semula ke bilik dengan selamba.
Kami yang lain tergamam seribu kata. Apakan daya, agihan tugas mencuci terpaksa kami kongsi berempat sahaja. Sebagai orang Islam, saya tersangatlah malu.
Pernah sekali saya ternampak si hakim bertegang leher dengan Puneet. Mereka nyaris bertumbuk. Setelah disiasat, punca konflik mula jelas. Puneet ingin memasak. Tetapi kolam singki dipenuhi perkakas dapur milik tuan hakim yang sudah lama terperam, berbau dan semakin bertimbun. Puneet kemudiannya (secara baik) memohon si hakim agar mengalihkan timbunan tersebut supaya singki dapat digunakan oleh orang lain.
Malang sekali, si hakim berkeras enggan memberi kerjasama. Katanya, dia hanya akan membasuh perkakas peribadi apabila perlu digunakan semula. Macam biasa, dia akan lari masuk bilik. Belum dikira lambakan cenderamata terapung yang dia suka tinggalkan dalam jamban. Panjang lagi senarai onarnya. Saya malas nak cerita.
Nyaris saya mencadangkan agar kami menyerkup si hakim dengan guni beras sebelum dibantai beramai-ramai. Alhamdulillah, akal saya masih lagi waras untuk kawal emosi. Selama tiga bulan kami berempat yang lain bersabar. Setiba masa, sang hakim pun pulang jua. Malam pertama setelah dia berlepas, kami raikan dengan jamuan gah.
Maka tepatlah kata-kata berikut yang selalu saya dengar…
Baik lelaki mahupun perempuan, kita hanya berupaya kenal sisi sebenar seseorang setelah bermusafir bersama ATAU tinggal sebumbung.