11 11 11

Patah Hati Shah Ibrahim TheMrFlowerman

11 November 2011. Siapa masih ingat tarikh istimewa ini?

Ramai betul kenalan serta saudara-mara saya di Malaysia yang pakat berlumba menyasar tarikh ini sebagai detik bersejarah dalam hidup mereka. Ijab kabul pada hari Jumaat yang penuh berkat. Sayang sekali, saya tidak berpeluang hadir untuk memeriahkan majlis. Dengar kata, jadual tempahan dewan-dewan kahwin di tanahair penuh belaka. Mak andam, DJ serta jurufoto popular memang buat duit.

Sama ada versi vokal penuh mahupun instrumental, lagu ‘A Thousand Years’ rata-rata wajib ada dalam wedding playlist. Berhantu sungguh gubahan Christina Perri itu. Tidak kurang juga pihak pengantin yang meletak RM 11,111.11 sebagai nilai hantaran. Selepas ini tinggal hanya satu lagi tarikh istimewa, iaitu 12.12.12. Sekitar penghujung tahun berikutnya. Sesudah itu, kombinasi nombor tak lagi cantik.

Bercakap soal kahwin, seakan penghormatan besar bila mana ada dalam kalangan teman-teman rapat yang berhasrat menyatukan diri ini dengan darah daging mereka sendiri. Ataupun insan yang istimewa dalam hidup mereka. Secara tidak langsung, itu suatu pengiktirafan betapa mereka menerima saya seadanya. Suku terakhir tahun 2011 kelana West Yorkshire usai PhD bertambah aneh dengan usaha match-making oleh beberapa orang taulan di Leeds. Ibarat durian runtuh, empat tawaran serius telah saya perolehi.

Pertama, ada seorang adik undergrad ingin menawarkan kakaknya. Kedua, ada seorang akak postgrad pula menawarkan adiknya. Ketiga, sepasang suami-isteri ingin menyatukan saya dengan rakan baik mereka yang lebih berumur. Keempat (paling tak masuk akal), seorang member menawarkan bekas teman wanitanya (juga seorang pelajar kolej di Leeds).

Konon-konon, sang jejaka sudah ketemu cinta hati yang baharu. Tak fasal-fasal, saya pula disaran agar mengambil alih kekasih lama. Saya turut difahamkan yang sang gadis telah sedia maklum akan ‘usaha murni’ bekas kekasihnya menyatukan kami.

Wow, dia ingat ini macam tukar milik kereta ke apa?

Kemesraan luar biasa yang sering mereka paparkan menerusi himpunan foto di laman sosial (tatkala masih bersama) menjadi faktor utama saya memangkah tawaran ke-4 serta-merta tanpa perlu berfikir panjang. Bukan niat hendak menghina si gadis. Sejujurnya, saya sendiri tidak semulia mana.

Cuma saya kurang berkenan mengenangkan gaya hidup lampau si gadis. Sekadar gambaran kasar, saya berikan tiga elemen contoh. Perokok tegar, tatu di lengan serta koleksi foto berbikini putih tepi pantai di Instagram. Ciri-ciri pada seorang calon menantu Melayu Islam yang tidak patut saya bawa berjumpa menghadap Mama.

Lebih menarik lagi, gambar-gambar intim si gadis bersama kekasih lama masih kekal dalam akaun Facebook masing-masing buat tatapan satu dunia. Agak menghairankanlah juga memandangkan mereka sudah lama putus. Justeru itu, saya sendiri kurang jelas apakah sebenarnya peranan saya nanti. Saya bukan Pak Sanggup.

Tawaran ke-3 melibatkan seorang pelajar wanita lebih senior. Di luar pengetahuan pasangan suami-isteri yang berhasrat mengkenen kami, saya dan dia sebenarnya sudah saling mengenali. Suatu insiden kecemasan telah mempertemukan kami. Namun, kisah terperincinya tidaklah relevan untuk dikongsikan di sini.

Semenjak detik awal perkenalan, pelajar tersebut insist saya menggunapakai gelaran ‘akak’ tatkala berkomunikasi. Atas faktor beza umur yang agak ketara, saya terpaksa akur. Masalahnya apabila sudah ‘beradik-kakak’ segala bagai, sukar untuk wujud sebarang hubungan perasaan. Terutama sekali daripada pihak saya. Canggung peringkat tujuh petala langit.

Merujuk kepada tawaran pertama dan kedua pula, gerak hati dapat meramal keserasian. Sama minat. Sama baya. Sama impian hidup. Malah, saya sudah dibawa bersemuka dengan salah seorangnya di Leeds. Sesi taaruf (menggunapakai istilah rakan-rakan usrah) bertemankan kakak serta abang ipar si gadis. Yang seorang lagi pula berada jauh di Malaysia. Jadi, kami sekadar berinteraksi secara online.

Respon spontan daripada pihak saya jelas menunjukkan yang diri ini kurang berminat. Tidak mustahil jika ada dalam kalangan mereka berempat yang menganggap saya bersikap sombong. Mentang-mentanglah baru dapat PhD. Perasan bagus. Sudahlah tak kacak, jual mahal pula!

Dalam hal ini, saya tidak sesekali menyalahkan mereka. Hakikat sebenar, mereka langsung tidak tahu yang hati saya sudah tertutup di persimpangan cerita. Suatu rahsia yang saya cuba pendam daripada pengetahuan komuniti Melayu Leeds. Ternyata payah untuk jatuh hati pada mana-mana gadis baharu (dalam tempoh terdekat) memandangkan apa yang baru sahaja menimpa diri.

Perlu ditekankan di sini, bukan ‘si Dia‘ semata-mata menjadi punca. Si Dia sekadar insan yang berjaya membuka penutup kotak pandora. Kotak sempit yang terkandung seribu satu definisi hubungan yang dah sebati dengan seorang Shah Ibrahim.

Friend-zone (hanya kawan).

Rebound-zone (jejaka tempelan).

Big brother-zone (abang angkat).

Twilight-zone (status tergantung yang kekal misteri sampai ke sudah)!

Himpunan kegagalan terperam tidak dapat dibendung lagi lalu memuntah keluar segala keperitan lampau berserta dividen serta bonus akhir tahun. Bak kata pepatah orang putih, the straw that finally broke the camels back.

Lanjutan daripada episod ini, hati yang tercedera telah saya semadikan dalam inkubator berkunci. Semoga putaran masa dapat merawat segala luka. Detoksifikasi. Cuma kunci inkubator saya tak jadi campak ke dalam Sungai Mersey seperti yang pernah dirancang dahulu. Jenuh nak cari semula nanti.

Oleh itu, saya minta Mama tolong simpankan. Saya fikir lebih elok meletak fokus bagi memantapkan dahulu kerjaya serta kewangan diri sebelum menyambung usaha-usaha mencari ‘ganti’. Seperti orang lain, saya juga mahu hidup berteman kelak.

Andai gadis-gadis match-make* yang disebutkan di atas terbaca nukilan ini, saya doakan mereka menemui imam yang lebih berkualiti. Aturan Ilahi sentiasa sempurna. Mereka gadis yang baik-baik. Mereka layak dapat jodoh yang terbaik.

Buat wakil keluarga gadis-gadis yang gigih berusaha menyatukan kami pula, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan. Saya yakin kalian sememangnya ikhlas membantu. Semoga apa yang dijelaskan di sini serba-sedikit menjawab kemusykilan lalu.

* Di saat menulis, dua daripada empat orang gadis yang dimaksudkan telahpun selamat diijabkabul. Alhamdulillah, saya tumpang gembira. Tahniah!

error: Content is protected !!