Naskhah Pemula Segalanya

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Naskhah Pemula Segalanya

Saya mula kenal huruf dengan komik.

Daripada kanak-kanak liat membaca, minat kemudiannya tercetus perlahan-lahan melalui komik.

Tahukah anda, komik jugalah titik mula perjalanan saya sebagai penulis?

Dari sini, saya pelajari asas pembukuan. Dari sini, saya selami selok-belok penerbitan sendiri. Sampai sekarang, masih banyak yang saya belum faham.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Naskhah yang memulakan segalanya.

Rekaan alternatif kulit hadapan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Alternate Cover Art

Pemuzik jalanan dan bangku taman berpisah tiada. Semoga Komeng dan kuncu-kuncunya tak datang buat kacau. “Dulu kau tolak pinangan aku, Nora. Sekarang kau lihat. Lihat, apa jadi Lokman… Mati kena lanyak!”

Circa 2012, saya cukup obses terhadap reka huruf jenis berpintal-pintal ini. Jiwang dan lembut. Sesuai dengan tema buku yang sedang diusahakan pada waktu itu. Saya hanya mula perasan kewujudan reka huruf ini selepas terpandang novel Valentine Datang Lagi Dan Pergi, nukilan penulis legenda Tuan Ahadiat Akashah.

Buat kawan-kawan yang berminat ingin tahu, nama reka huruf ini ‘gigi’. Lazimnya tersedia ada dalam senarai percuma perisian komputer seperti Photoshop dan Adobe Illustrator. Makna kata, bukan font kategori premium. Kalau tak silap saya, dalam Microsoft Words pun ada.

Satu lagi alternatif ialah ‘giddyup standard’. Juga percuma. Berdasarkan eksperimentasi peribadi, saya nampak gigi sesuai dalam penggunaan aksara besar (capital letters) sementara giddyup pula lebih molek untuk huruf-huruf kecil.

Sekadar berkongsi, ini salah satu cover art dalam pertimbangan akhir bagi novel grafik pertama saya, Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman. Tetapi saya tak jadi guna memandangkan topi jenis bucket hat yang dilukis sedang menekup muka si hero, sekilas pandang macam pasu bunga terbalik.

Catatan Harian Seorang Flowerman

Sampel Catatan Harian Seorang Flowerman

Suatu ketika dahulu, saya pernah lancar beberapa siri webkomik. Salah satunya Catatan Harian Seorang Flowerman. Tetapi telah dihentikan atas sebab-sebab peribadi. Atau dalam bahasa saintifiknya, malas.

Itulah saya, insan tamak. Semua benda nak buat. Nak menulis. Nak melukis. Nak buat komik. Nak buat kraf. Nak gubah lagu. Nak jual minyak. Dan macam-macam lagi. Kata para bijak pandai, individu berbintang Aquarius cenderung begini.

Pada saya, kunci kejayaan sesebuah webkomik yang sering dilepas pandang ialah konsistensi. Kualiti idea serta kecantikan lukisan soal kedua. Sayang sekali, aspek konsistensi ini tak semua kartunis mampu jaga. Lebih-lebih lagi yang berkarya secara sambilan. Di mana nak korek masa?

Apa jua pun, keterlanjuran membuat webkomik ini ternyata tak sia-sia sebab gaya lukisan serta watak-watak ini akhirnya saya serap ke dalam projek lain. Barangkali ada yang kenal… Itu si Takiyuddin, protagonis utama Taki & Dira (2013).

Batman

Batman Begins Pencil Sketch by Shah Ibrahim

DC (Detective Comics) merupakan pesaing utama Marvel Comics di dunia sebelah Barat. Sewaktu membesar dahulu, saya lebih banyak membaca karya-karya terbitan Marvel berbanding DC. Warna ceria. Paparan aksi menarik. Kadang-kadang terselit unsur humor. The way a comic is supposed to be.

Secara am, daya tarikan karya-karya terbitan DC pada zaman tersebut kurang memanggil buat golongan pembaca kanak-kanak. Naratif panjang (banyak perkataan). Lukisan lebih abstrak. Tona warna suram. Pendek kata, aura serius. Identiti yang pada saya sudah sebati dengan DC Comics sehingga ke hari ini. Malah, seingat diri (berdasarkan memori membelek komik-komik Batman di Johore Central Store sekitar hujung 80-an), Batman lebih banyak bersembang berbanding berlawan. Bosan!

Tak dinafi, Superman dan Batman antara dua watak utama DC yang dikenali umum meskipun dalam kalangan bukan peminat komik. Seorang dengan topeng bertanduk. Seorang lagi pakai seluar dalam di luar. Nenek saya pun boleh cam.

Dalam dunia DC, kedua-dua ikon tersebut berpengkalan di dua bandar berbeza. Superman di Metropolis. Batman di Gotham City. Di sebalik perwatakan adiwira, masing-masing ada kerjaya hakiki. Clark Kent sebagai wartawan. Bruce Wayne… urm… tak perlu kerja pun sebenarnya sebab dia pewaris kemewahan mak bapak. Sudah berharta pun dia tetap perlu bawa imej ‘badboy’ untuk memikat wanita. Tak faham saya.

Tidak cukup sekadar bertopeng, Bruce Wayne siap memilih untuk tukar suara selaku ikhtiar tambahan mengalis identiti tatkala menentang jenayah. Batman versi Ben Affleck guna teknologi peranti ubah suara. Versi Christian Bale pula sanggup menyeksa diri buat suara serak macam iklan Strepsils. Menariknya, Superman hanya perlu ubah gaya sikat rambut dan buang cermin mata.

Dari sini tidak keterlaluan jika kita simpulkan yang tahap IQ warga Metropolis barangkali lebih rendah berbanding penduduk Gotham.

error: Content is protected !!