Catatan pengalaman penulis ini membawa kita mengimbau kembali zaman persekolahan yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Mereka yang membesar dalam era 80-an dan 90-an pastinya sering kali tersenyum dan mengangguk sendirian sambil membaca buku ini. Ia bagai mesin masa yang menyelusuri kisah hidup seorang pelajar dari zaman hiruk-pikuk sekolah rendahnya, hingga ke era kematangan di sekolah menengah.
Budak Meja Belakang – Menuju Status Laku Keras
Seawal bulan yang sama buku masuk kedai (Oktober 2017), Budak Meja Belakang berjaya tersenarai dalam carta laku keras (bagi kategori bukan fiksyen) di jaringan toko Popular Bookstore. Tak sesekali saya menjangka, memandangkan ini naskhah sulung nukilan penulis tanpa nama. Malah, karya pertama yang masuk kedai. Respons luar biasa positif daripada pembaca tersangatlah di luar jangkaan.

Sepanjang November 2017, saya mula menerima kiriman foto dari teman-teman pembaca serata negara.





Selain kedai buku Popular, BMB juga berjaya meraih status bestseller di MPH Bookstore.

Menjelang Disember, BMB terpilih sebagai salah satu daripada Christmas Picks (pilihan Krismas) MPH Bookstore bagi tahun 2017. Terasa terharu dan bangga sekali.

Bulan yang sama turut menyaksikan peningkatan prestasi BMB dalam carta dari tangga kelapan ke tangga ketiga.

Setinggi-tinggi BMB mendaki, buku masih belum ada rezeki mencapai puncak carta. Dalam pada itu, saya tetap bersyukur kerana menerusi episod ini sahaja, beberapa impian hidup telah terlaksana.
- Karya pertama diterima penerbit.
- Karya pertama masuk kedai.
- Karya pertama mencapai status laku keras.
Syukur, alhamdulillah. More books to come, insyaAllah.
Keluasan Jelajah Budak Meja Belakang
Di samping kelompok peminat dari serata Malaysia, saya cukup terharu pabila mula dihubungi rakan-rakan pembaca dari Brunei serta Singapura. Malah, Budak Meja Belakang sudah termasuk dalam koleksi buku-buku perpustakaan Singapura.

Dalam pada itu, saya paling terkejut setelah mendapat maklum balas dari peminat-peminat dari Indonesia. Teruja sungguh!

Apa jua pun, kiriman foto terjauh saya peroleh daripada rakan pembaca setakat ini ialah dari bumi kangaru.

Street Fighter 2
Di Holiday Plaza Johor Bahru sekitar hujung 80-an dahulu, ada sebuah cawangan KFC di tengah-tengah kompleks. Setelah dua dekad tak menjengah masuk (di saat menulis), saya pun tak pasti sama ada Holiday Plaza masih lagi wujud. Apatah lagi reka susun kedai-kedai di dalamnya. Barangkali, kawan-kawan JB boleh tolong komen.
Apa jua pun, di sebelah kanan KFC yang dimaksudkan ada sebuah kedai permainan video yang sedikit tersorok. Beberapa unit TV gemuk jenis tiub sinar katod terpasang konsol permainan video. Ada SEGA. Ada Nintendo.
Diturutkan hati, lebih nikmat sebenarnya bermain di arked. Walau bagaimanapun, reputasi arked gelap pada zaman itu luar biasa negatif. Sesiapa yang masuk, pasti terjebak dengan dadah. Begitulah gambarannya. Lantas menghalang diri ini daripada memperolehi restu orang tua untuk pergi berkunjung. Mujurlah premis-premis terbuka yang menjual katrij serta konsol video wujud sebagai alternatif.
Street Fighter 2: The World Warrior keluar pada tahun 1991. Berbanding versi sebelumnya, para pemain kini boleh memilih watak untuk digunakan daripada senarai lapan pilihan. Sekaligus mencatat sejarah sebagai permainan video pertama dalam genre ‘gaduh-gaduh’ sebegini. Buat kawan-kawan yang belum sedia maklum (atau sudah lupa), para pemain hanya boleh menggunakan Ryu dalam Street Fighter 1. Malah, nama Ryu pun belum diketahui pada waktu itu sebab hanya label ‘Player 1’ terpapar atas watak.
Kali pertama memandang skrin TV di kedai tatkala Street Fighter 2 terpasang, saya menjadi terkesima. Walaupun tiada orang bermain, demo akan berputar ulang. Cukup memanggil. Apa lagi? Dua ringgit dikeluarkan daripada dompet velcro untuk dibayar kepada tauke kedai.
Hadouken!
Shoryuken!
Ryu tetap menjadi pilihan. Selama sejam, saya melepas geram terpendam. Wajah setiap seorang pembuli di sekolah saya bayangkan pada watak lawan. Memang teruk mereka dikerjakan. Tanpa simpati.
KO!
Ryu wins!
Hari persekolahan minggu berikutnya, mahu tak mahu terpaksa kembali ke alam realiti.
Cendawan Rahsia
Rata-rata ramai kanak-kanak pernah merasa bermain Super Mario Bros (1985). Sama ada di kedai, rumah kawan atau rumah sendiri. Pada suatu hari, dalam cubaan melompat melepasi gaung pertama dalam dunia 1-1, entah macam mana si Mario boleh terhantuk keluar sekaki cendawan hijau secara rambang. Tiba-tiba dapat satu nyawa percuma.
Dagu serta-merta jatuh mencecah lantai. Apa sebenarnya yang berlaku? Game rosak? Unsur mistik? Entahlah. Di peringkat umur satu angka, penjelasan rasional agak terbatas.
Keterujaan diri menggunung tinggi sampai tahap saya tak sabar nak cerita pada kawan-kawan di sekolah. Apatah lagi, saudara-mara di kampung. Rupa-rupanya, ramai dah tahu. Semua orang boleh dapat cendawan rahsia tersebut.
Bercakap soal cendawan hijau, hanya dalam dunia Super Mario sahaja boleh dapat nyawa percuma. Dalam kehidupan nyata, fikirlah dahulu masak-masak.