Setelah diulang cetak oleh beberapa penerbit berbeza, saya pun tak pasti novel Salina sebenarnya ada berapa banyak versi. Antara karya terawal sasterawan negara, A Samad Said. Ini edisi ulang tahun ke-60. Terbitan Helmy Samad Publications.
Edisi terjemahan Inggeris pun ada. Berdasarkan saranan beberapa orang teman, hasil kerja Lalita Sinha bagi pihak ITBM disifatkan sebagai edisi terjemahan terbaik. Sekiranya stok masih wujud, saya berazam mencari.
Sejak zaman sekolah lagi saya dah perasan kewujudan Salina dan teringin membaca. Dari kaca mata seorang budak, gerun juga melihat ketebalannya. Buku teks sekolah menjadi prioriti pada waktu itu. Lagipun, saya takut mak marah sebab baca buku tentang pelacur. Maka, judul klasik ini kekal lama berada dalam wish list.
Bercakap tentang pelacur, Salina membuatkan kita menung panjang memikir sejauh manakah dosa silam akan terus menghantui seseorang. Cerita ini berlatar era 50-an. Hanya buah mulut orang menjadi mekanisma sebaran aib. Perlahan-lahan, gosip akan pudar ditelan masa. Berbeza sungguh dengan kehidupan moden zaman kita sekarang. Segala perkara lekas viral dan bersifat kekal di internet.
Hairan juga mengapa karya ini belum pernah diadaptasi menjadi filem atau siri TV? Saya perasan ada satu filem berjudul Salina keluar pada tahun 2021. Tapi rupa-rupanya, itu cerita seram yang tiada kaitan dengan novel yang dimaksudkan.



Salam Tuan,
Secara tak sengaja tersampai disini sebab carian google sinopsis novel Salina. Saya pernah baca novel ini 10 thn lepas dan cuba nak mengingati kembali tema dan isu yg dibawa oleh Sasterawan Negara kita. Sebabnya saya tengah tengok drama melayu yang membawa isu yg lebih kurang sama, tentang seorang yg merasa dirinya pendosa ingin mendapatkan redemption dengan caranya tersendiri walaupun tersepit dengan takdir. Tahulah saya bahawa isu ini walaupun pernah ditulis 60 thn dahulu masih lagi relevan pada masa kini.