Protagonis utama bernama Ain.
Ain yang tidak ngam dengan kaum kerabatnya lantas terdorong untuk merapati kelompok asing tatkala dia berkhidmat di sebuah premis jagaan warga emas.
Di situ, Ain berkenalan dengan Pak Yazid (penghuni yang bengis dan serba cerewet). Perlahan-lahan, kemesraan berputik sesama mereka menerusi aktiviti seni origami.
Usah tertipu dengan nama. Watak Ain ini seorang lelaki. Anak muda yang berhadapan dengan konflik kecelaruan seksualiti. Topik sensitif yang jarang dibicara dalam novel Melayu. Serta-merta saya terimbau karya fiksyen penulis Muharikah yang pernah dibaca beberapa tahun lalu. Juga terbitan Iman Publication. Judulnya STIGMA kalau tak silap (isu kecelaruan seksualiti dari sudut pandang watak perempuan pula).
Berbalik kepada Rumah Tak Mesti Bahagia, saya fikir elemen LGBT sebenarnya suatu plot twist besar. Cuma sekarang bukan lagi rahsia. Gara-gara amaran cetus yang sering diangkat oleh ramai pembaca tatkala mengulas judul popular ini. Makna kata, saya pun dah terlanjur tahu sebelum mula membaca.
Jikalau anda menggemari karya-karya jenis found family trope seperti novel A Man Called Ove (Fredrik Backman), Rumah Tak Mesti Bahagia nukilan Arif Zulkifli tentu menepati selera.
Di tangan saya ini cetakan pertama tahun 2023. Semaklum saya, judul ini dah cecah cetakan ke-12.
Rumah Tak Mesti Bahagia malah mendorong saya yang bertangan keras untuk mencuba seni origami. Ini cubaan pertama saya buat ikan. Cantik tak?