Rumah Tak Mesti Bahagia Karya Arif Zulkifli

Novel Rumah Tak Mesti Bahagia Karya Arif Zulkifli

Protagonis utama bernama Ain.

Ain yang tidak ngam dengan kaum kerabatnya lantas terdorong untuk merapati kelompok asing tatkala dia berkhidmat di sebuah premis jagaan warga emas.

Di situ, Ain berkenalan dengan Pak Yazid (penghuni yang bengis dan serba cerewet). Perlahan-lahan, kemesraan berputik sesama mereka menerusi aktiviti seni origami.

Usah tertipu dengan nama. Watak Ain ini seorang lelaki. Anak muda yang berhadapan dengan konflik kecelaruan seksualiti. Topik sensitif yang jarang dibicara dalam novel Melayu. Serta-merta saya terimbau karya fiksyen penulis Muharikah yang pernah dibaca beberapa tahun lalu. Juga terbitan Iman Publication. Judulnya STIGMA kalau tak silap (isu kecelaruan seksualiti dari sudut pandang watak perempuan pula).

Berbalik kepada Rumah Tak Mesti Bahagia, saya fikir elemen LGBT sebenarnya suatu plot twist besar. Cuma sekarang bukan lagi rahsia. Gara-gara amaran cetus yang sering diangkat oleh ramai pembaca tatkala mengulas judul popular ini. Makna kata, saya pun dah terlanjur tahu sebelum mula membaca.

Jikalau anda menggemari karya-karya jenis found family trope seperti novel A Man Called Ove (Fredrik Backman), Rumah Tak Mesti Bahagia nukilan Arif Zulkifli tentu menepati selera.

Di tangan saya ini cetakan pertama tahun 2023. Semaklum saya, judul ini dah cecah cetakan ke-12.

Rumah Tak Mesti Bahagia malah mendorong saya yang bertangan keras untuk mencuba seni origami. Ini cubaan pertama saya buat ikan. Cantik tak?

Pengembaraan Laki-Laki Scorpio Karya Hadi M Nor

Pengembaraan Laki-Laki Scorpio karya Hadi M Nor
Pengembaraan Laki-Laki Scorpio.
Menilai dari segi judul serta ilustrasi kulit hadapan, anggapan saya ini buku serius. Entah mengapa, naluri turut merasakan buku ini bergenre spy-thriller. Saya pun capai tanpa langsung melihat sinopsis. Rupa-rupanya, buku kelakar.
Buat anda yang mencari karya santai, ini satu judul yang menepati kriteria. Terbitan Roman Press. Karya pertama Hadi M Nor yang saya baca.
Kisah perjalanan surreal seorang anak muda bernama Hurei (Hurairah) yang gagal SPM. Asalnya, dia tinggal sebumbung dengan ibu kandung serta nenek yang obses dengan siri filem Die Hard. Pada suatu hari, Hurei memutuskan untuk lari dari rumah setelah merasakan dirinya bak loser.
Pelbagai watak aneh yang Hurei ketemu sepanjang kembara. Antaranya termasuklah jin sungai, makhluk asing jelita yang tersesat di bumi serta sepasang pari-pari hijabster.
Judul sempoi buku ini hanya akan masuk akal setelah anda sampai ke satu bab khusus. Saya enggan spoil.
Jikalau anda menggemari gaya humor Hasrul Rizwan AKA Mat Gorn, saya yakin anda mampu terima nukilan Hadi M Nor ini juga. Imaginasi tinggi yang lazimnya hanya tercapai oleh individu di bawah pengaruh dadah (ini suatu pujian).
Mohon cadangan daripada kawan-kawan sekiranya maklum akan kewujudan penulis-penulis tempatan lain yang memiliki gaya penulisan serupa.

Realiti Kembara Hari Ini

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman UK Border Control
Xenofobia (ejaan Dewan Bahasa). Sentimen negatif terhadap warga asing. Merangkumi perasaan takut, sangsi dan juga benci.
Hari ini, pelbagai slogan protes mula bercambah. Kempen ‘Foreigners Must Go’ di South Africa. Slogan ‘Japanese First’ di negara matahari terbit dan ‘Britain First’ di UK. Ideologi MAGA (Make America Great Again) laungan Trump. Satu selepas satu.
Ledakan emosi ini ada yang berasas, setelah mengambil kira kacau-bilau yang dibawa oleh kelompok pelarian serta migran bermasalah.
Lonjakan kadar jenayah terutamanya. Gangguan seksual. Jajah tapak niaga. Pulun buat duit tapi tak bayar cukai. Malah di beberapa negara, pencari suaka serta pelarian diberi hostel penginapan selesa. Sedangkan rakyat tempatan sendiri ramai yang menderita hidup gelandangan. Adilkah? Mana mungkin anak watan tak melenting.
Kita di Malaysia turut sama merasai impak negatif pendatang asing. Yang masuk secara sah pun segelintirnya tak reti bawa diri.
Tak dinafi, Barat juga bimbang melihat kebangkitan Islam yang berpotensi menghakis adat tradisi serta identiti bangsa/negara mereka. Berapa banyak gereja dah berubah menjadi masjid? Sebab itulah sasaran utama serangan di sana ialah kelompok migran berkulit coklat. Ireland turut menyaksikan lonjakan drastik dalam serangan rambang terhadap individu berwajah Asia Selatan. Kes terbaharu semalam, seorang pemandu teksi diserang dengan botol.
Perlahan-lahan, perasaan benci terhadap orang luar membarah sehinggakan pelancong turut sama terpalit. Malah, Sepanyol kini secara terang-terangan bersikap anti-pelancong. Wajah asing akan ditembak dengan pistol air (lagak menghalau binatang). Serius, saya tak tipu. Bayangkan jikalau ini rakaman memori pertama anda selaku pelancong sejurus keluar dari lapangan terbang.
Sebagai lelaki berkulit coklat yang ada perkataan ‘Bin’ dalam pasport, saya sendiri dah jemu dan letih mengharungi saringan tambahan di lapangan terbang. Entah apa pula kejutan lain yang menanti di jalanan.
Lantaran itu, masih berbaloikah tabiat berbelanja besar untuk pergi menjengah tempat orang yang tak sudi terima kehadiran kita? Saya tak nampak lojiknya.
Apa-apa pun, saya tetap kagum dengan kalian yang masih optimis mengembara. Semoga baik-baik saja meneroka dunia. Buat masa ini, cukuplah saya dengan aktiviti membaca. Alternatif murah yang pada hakikatnya juga sebentuk kembara.

Perasaan Buku Masuk Kedai

Novel Kifayah Shah Ibrahim di rak kedai

Apakah perasaan saya tatkala melihat karya sendiri terpamer di kedai-kedai buku? Jawapan setiap penulis tentu sekali berbeza.

Kifayah merupakan buku solo saya yang ke-4 memasuki toko buku. Terus terang kata, perasaan yang berbaur itu serupa saja bak kali pertama.

Lega… Setelah berjaya menyiapkan sebuah lagi manuskrip.

Syukur… Kerana ada pihak yang sudi menerbit.

Risau… Melihat hasil fizikal (kecacatan pembukuan, muka surat hilang, kesilapan teknikal dan seumpamanya).

Debar… Menanti reaksi/penerimaan pembaca.

Panik… Apabila para penyokong tegar mendesak supaya karya seterusnya disiapkan segera.

Novel Kifayah boleh didapati di MPH, Popular Bookstore, Kinokuniya, Karangkraf Mall serta platform Shopee.

Legasi HAMKA

Legasi HAMKA
Senarai karya HAMKA terlalu panjang. Merangkumi fiksyen, memoir serta kitab-kitab ilmu. Legasi saham akhirat yang wajar dicemburui.
Sebut tentang memoir, saya sarankan anda cari 4 Bulan di Amerika. Yang saya baca ialah terbitan semula Jejak Tarbiah. Ada dua jilid. Bayangkan saja ‘culture shock’ seorang anak nusantara berlatar agama yang berpeluang menjejak kaki di bumi Uncle Sam pada era 50-an.
Apa-apa pun, saya lebih tertarik dengan karya-karya fiksyen arwah penulis seperti Terusir dan Merantau Ke Deli. Dua judul paparan foto ini pula (edisi terbitan PTS) merupakan top-favourite yang kerap saya ulang baca. Secara kebetulan juga, dua karya HAMKA yang telah diadaptasi menjadi filem.
Tahukah anda, HAMKA ialah nama pena bagi Haji Abdul Malik Karim Amrullah?
Begitu kuatnya aura ketokohan beliau, sehingga ramai mak ayah yang mengambil acronym figura ini menjadi nama zuriat masing-masing.
Berapa ramai HAMKA dalam jaringan persahabatan anda? Saya sendiri baru jumpa dua orang.
error: Content is protected !!