IT By Stephen King

Nama Stephen King sudah sebati dengan genre seram. Dalam pada itu, banyak juga mahakarya beliau yang jauh menyimpang daripada identiti tersebut. Sekaligus menjadi testimoni betapa King seorang pengkarya serba boleh.

Malah, novel pertama King yang saya berjaya baca sampai habis ialah ‘Rita Hayworth And The Shawshank Redemption’. Novel pendek (sekitar 200 halaman) yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem lakonan Morgan Freeman. Kisah penjara. Tiada hantu.

Selain melihat baki buku akaun bank, tak banyak buku atas muka bumi ini yang mampu buat seorang lelaki sebak. Namun, Shawshank ternyata menyengat. Emosi bisa bergelut dalam jiwa kebanyakan orang setiap kali ulang baca (termasuklah saya). Boleh jadi kerana Shawshank bermain dengan tema harapan.

Novel IT juga sudah lama berada dalam radar saya. IT memang kisah hantu. Sudahlah hantu, dia pergi menjelma pula dalam rupa badut sarkas. Siot betul!

Atas saranan teman-teman sepengajian saya era universiti dahulu, novel IT dikhabarkan “seram bangat, dong!” (mereka orang Indonesia). Namun setelah terpandang novel ini dengan mata kepala saya sendiri di rak perpustakaan, ketebalan halamannya jauh lebih menyeramkan. Inilah punca utama niat membaca asyik tertangguh. Novel ini tebal yang amat.

Sejurus memutuskan untuk menambah judul IT ke dalam koleksi peribadi, edisi terbitan Scribner yang PALING saya dambakan. Ilustrasi kulit hadapan berkonsep minimalis. Sekadar memapar lorekan gincu badut berlatarbelakang kanvas putih. Pergh, Mengancam! Puas saya cari merata. Malangnya, tak jumpa. Edisi terpakai memang ada di laman-laman lelong. Tapi saya tak minat.

Stephen King's It Scribner Edition 2016 Blog Coretan Sang Flowerman
Novel IT (edisi idaman saya)

Sekitar dua tahun lepas, tiba-tiba muncul adaptasi filem yang dibikin semula. Seiring pelancaran IT: Chapter I (2017), novel asal turut diterbit ulang. Dengan reka kulit hadapan yang boleh tahan juga. Georgie berdiri menghadap Pennywise yang wajahnya terlindung di sebalik belon merah.

Secara kebetulan, Popular Bookstore sedang buat promo pada waktu itu. Akhirnya, dapatlah saya memiliki edisi terbitan Hodder pada harga RM34.90. Not bad for a 1000++ page imported book. Edisi ini berketebalan 1376 halaman (tulisan halus). Mengandungi naratif utama semata-mata, tanpa sebarang lampiran bonus.

Tak sangka, empat tahun lamanya tempoh masa yang King ambil bagi menyiapkan naskhah ini (dicoret sejurus selepas perenggan penutup). Usaha gah ibarat menyiapkan tesis PhD. Cuma novel ini ternyata banyak buat duit. Sementara buat PhD pula lazimnya banyak perhabis duit.

Sungguhpun berjela panjang, pengalaman membaca novel ini sangat menyeronokkan. IT sarat dengan pelbagai subplot menarik yang belum pernah diteroka oleh mana-mana versi adaptasi filem. Sebab itu saya berpendapat bahawa IT lebih sesuai diadaptasi menjadi siri TV berbanding filem. Ala-ala siri Castle Rock (juga berdasarkan karya Stephen King) yang tayangannya baru khatam semusim.

Berbalik kepada IT,

Cara King menggarap babak kematian Georgie (adik Bill) di awal buku berganda lebih brutal dan menyayat hati berbanding versi filem. Baik filem versi 1990 mahupun versi 2017. Aspek ini sukar dihurai dengan kata-kata. Kalian perlu baca sendiri.

Menilai daripada novel, saya nampak Mike Hanlon sebagai watak utama. Satu-satunya budak kulit hitam dalam Losers Club. Malah, naratif keseluruhan juga banyak mengambil POV (point-of-view) si Mike. Ini langsung tidak menghairankan memandangkan Mike seorang sahaja yang kekal tinggal di pekan Derry usai pertembungan sulung mereka sekumpulan menentang Pennywise. Sementara anggota Losers Club yang lain berpindah merata sejauh mungkin.

Walau bagaimanapun, kedua-dua versi filem setakat ini seolah-olah mengangkat Bill yang gagap selaku teraju utama. Perbezaan ketara yang pertama saya perasan kala membandingkan buku dengan filem.

Oh, ya. Asal usul Pennywise turut dihurai secara panjang lebar dalam novel. Dari mana dia datang. Apa agenda dia yang sebenar. Kenapa dia sering muncul dalam rupa badut. Dan persoalan terbesar, kenapa Pennywise suka makan daging budak?

Meskipun novel IT sarat dengan adegan seram, sejujurnya saya lebih tertarik kepada elemen nostalgia zaman kanak-kanak yang dipapar selaku latar belakang. Unsur realism yang menyentuh saya banyak datang daripada sini. Seolah-olah watak-watak ini semua wujud di alam nyata. Kita selaku pembaca peduli akan nasib mereka. Kita mahu mereka semua selamat. Kita mahu mereka semua menang. Penulis yang bijak memancing pembaca menerusi pendekatan sebegini, saya cukup tabik.

Dalam pada itu, ada satu babak spesifik menghampiri penghujung novel yang membuatkan saya terganggu. Boleh tahan juga imaginasi Stephen King. Kerana adegan tersebut melibatkan watak kanak-kanak. Babak kontroversi yang dimaksudkan masih menjadi perbualan komuniti buku sedunia sehingga sekarang. Pembikin filem pun pasti tiada yang berani sentuh adegan ini. Maka kekallah ia sebagai rahsia yang hanya diketahui oleh kelompok yang pernah baca. It’s one of those things that once read, cannot be unread.

Sebulan sahaja lagi sebelum IT: Chapter II muncul di pawagam. Tak sabar!

Bill Skarsgard as Pennywise The Clown Pencil Sketch By Shah Ibrahim
“We all float down here. You’ll float too…” – Pennywise The Dancing Clown

Sebarang komen/pertanyaan?