Novel Mandatori karya Ramlee Awang Murshid

Dalam usaha memperkasa kemahiran menulis, kita sering disaran untuk menghayati karya-karya kelompok penulis lebih otai. Salah satu contoh tentu sekali novelis thriller nombor satu Malaysia, Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM).
Saya bermula dengan novel Tumbiruo (1998) disusuli dengan Fiksyen 302 (2011). Mandatori ini pula novel ketiga beliau yang sedang saya baca (Edisi baharu 2022, terbitan asal 2003). Senarai karya RAM terlalu panjang. Siri popular Laksamana Sunan pun saya belum terjebak. Tak sempat mengejar semua.
Apa-apa pun, saya juga gemar mendengar pengisian tentang selok-belok dunia penulisan Malaysia serta tips-tips fiksyen daripada Tuan RAM. Pernah sekali saya menghadiri seminar beliau secara fizikal. Selebihnya pula, saya tonton menerusi rakaman-rakaman video yang dimuat naik ke Youtube serta FB.
Ada satu pandangan menarik daripada RAM mengenai ‘idea’.
Kata beliau, idea merupakan kurnia Tuhan. Tabiat rajin membaca, banyak menulis dan segala petua klise yang lain hanyalah ikhtiar kita selaku manusia ke arah mencapai kurnia tersebut. Pandangan munasabah. Makna kata, agak angkuh buat seseorang penulis untuk merasa hebat apabila satu-satu karyanya dipuji.
Percikan idea itu ternyata kurnia bernilai daripada Tuhan. Kesihatan serta kelapangan masa untuk menulis juga suatu kurnia. Apatah lagi motivasi. Semua ini mampu digapai dengan cara berdoa. Tuan Ramlee Awang Murshid malah menyaran kita agar rajin berdoa memohon ilham menulis. Rasa-rasanya, nasihat ini sentiasa diulangi dalam setiap sesi perkongsian RAM.
Idea satu hal.
Namun, disiplin untuk pulun menyiapkan satu-satu manuskrip sehingga selesai pula cerita lain. Itu PILIHAN sendiri.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!