Memandangkan baru sangat DUA judul buku saya keluar pada suku akhir tahun lepas, saya tak jangka akan berpeluang melancar sebarang karya baharu sempena PBAKL 2018 yang bakal menjelma. Jikalau baru hendak menulis sekarang, sah tak sempat. Maklum saja, menulis buku bukan macam masak mi segera. Dua minit siap. Apatah lagi yang sanggup balun mentah-mentah seakan keropok Mamee. Sejujurnya, saya pernah berangan untuk mengeluarkan buku 99 Kata-Kata #TheMrFlowerman. Namun, gerak hati merasakan tiada orang akan beli. Hatta ibu kandung sendiri.
Tiba-tiba, datang pula sepotong berita gembira.
Artikel yang pernah saya hantar untuk sebuah projek penerbitan dikhabarkan terpilih. Terasa bangga menjadi sebahagian daripada 21 penulis pelbagai latarbelakang yang bertuah. Alhamdulillah, rezeki kurniaan Tuhan. Kata orang, pertambahan rezeki buat orang bujang boleh jadi petanda kuat yang jodoh bakal menjelma. Saya aminkan sahaja.
‘Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir’ bakal mencatat sejarah sebagai karya sulung persatuan Goodreads Malaysia (dengan kerjasama pihak Jejak Tarbiah selaku penerbit). Inisiatif yang bermula seawal 2014. Buku berkategori bukan fiksyen ini menghimpunkan pengalaman peribadi para penyumbang saat berjinak dengan amalan membaca. Dengan kata lain, buku tentang buku. Suatu sisi yang jarang diteroka.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas khas kepada Puan Najibah A. Bakar selaku penyelaras. Ternyata banyak dugaan dan cabaran beliau tempuhi agar projek ini terlaksana. Terima kasih juga buat Jejak Tarbiah atas kiriman foto pertama ilustrasi hadapan kulit buku. Cantik sangat!
Nantikan kemunculan buku cetakan terhad ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. Pra-pesan telah pun dibuka buat proses tempahan awal. Sama-samalah kita menyokong Goodreads Malaysia.