Saya jatuh cinta dengan bidang animasi pada tahun 1992 selepas menonton dokumentari belakang tabir filem Beauty & The Beast. Stesen TV3 rajin ulang dokumentari ini setiba musim cuti sekolah. Mungkin dalam slot ‘Alam Ria Cuti Sekolah’ (andai tak silap memori).
Tercengang besar saya tatkala para animator Disney membuat demo. Mereka selak-selak beberapa helai kertas berlakaran pensel. Hasilnya, imej watak tampak hidup dan bergerak-gerak. Oh, macam itu rupanya!!! Saya yang naif seakan-akan baru peroleh pencerahan agung.
Maka bermulalah obsesi mencipta animasi bajet. Buku-buku sekolah menjadi mangsa. Hujung helaian setiap halaman sarat dengan lukisan orang lidi. Hasil kemudian dipersembah (penuh bangga) kepada teman sekelas. Adegan sepakan gol. Adegan gaduh ala-ala Street Fighter. Dan macam-macam adegan merepek lagi. Tapi kesemuanya melibatkan orang lidi. Banyak kali juga saya dimarahi guru sebab conteng buku. Kreatif langsung tidak bertempat.
Sayang seribu kali sayang, tidak banyak saluran buat kelompok segenerasi saya untuk mengembangkan minat serta mengasah bakat pada zaman itu. Kursus animasi di universiti tempatan belum resam. Apatah lagi, menjejak biasiswa ke arah itu. Ringkas cerita, minat seni terkubur begitu saja tanpa nisan. Minat, bakat serta peluang jarang bertindan serentak buat semua orang. Tuhan dah tetapkan jalan rezeki masing-masing. Begitulah resam kehidupan.
Generasi sekarang ternyata beruntung. Akses kepada perkakas dan tutorial semakin mudah dan murah. Banyak juga teknik pintas (berasaskan komputer) yang lebih efisyen berbanding kaedah selak-selak kertas gaya old school. Tambahan pula dengan kemunculan teknologi Artificial Intelligence, the possibilities are endless. Dalam pada itu, kaedah tradisional ‘selak-selak kertas’ tetap ada nilai estetikanya yang tersendiri.
Kebetulan, saya terjumpa klip pendek ini semasa mengaudit hard drive lama beberapa hari lepas. Lantas terdorong untuk berkongsi dengan anda semua.
Klip berdurasi sekadar 10 saat pun memakan puluhan kertas. Hasil kerja sekitar tahun 2017. Projek solo. Waktu itu, buku Budak Meja Belakang (1) baru terbit.
Klip animasi primitif ini sebenarnya bertujuan. Errr… Malu pula nak cerita. Kononnya sebagai intro video channel Youtube saya yang haram tidak ke mana. Orang lain ada Youtube Channel, saya pun nak ada Youtube Channel. Haha. Di persimpangan cerita, saya belum ada akses kepada Adobe Premier Pro. Jadi, saya cuma pakai perisian percuma Windows Movie Maker sahaja. Features & tools amatlah terbatas.
Tika dan saat ini, minat untuk buat animasi tetap ada. Cuma stamina melukis dah tak semantap dahulu. Lagipun, sebahagian besar daripada waktu produktif ingin saya salurkan ke arah kerja-kerja penulisan yang momentumnya sedang terbina perlahan-lahan.
Kata orang, usia bukan penghalang. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih. Tetapi realiti pahitnya, sempatkah seseorang menceburi dan meneroka semua? Takut-takut yang dikejar tak dapat… yang dikendong pula keciciran.