Genre Road Trip

Pengikut tegar novel-novel K-Lit Karangkraf tentu sedia maklum yang imprint ini khususnya mengangkat genre hybrid. Tak boleh bercinta 24-jam. Tak boleh seram semata-mata. Mahupun hanya kandungan sci-fi sepanjang buku. Sewaktu proposal diajukan, saya declare manuskrip Kifayah sebagai 40% thriller, 30% seram dan 30% road trip.
Sebagai kaki filem, genre road trip juga saya cukup minat. Sekumpulan manusia menempuh perjalanan bersama-sama. Mungkin saling kenal. Mungkin masing-masing langsung tiada pertalian. Itu semua belakang kira. Pokoknya, watak-watak yang terlibat mahu bergerak dari titik A menuju ke titik B. Sudah tentulah ada misi penting yang harus dicapai.
Contoh-contoh tersenarai adalah sebahagian daripada karya-karya kegemaran saya. Secara langsung, turut menyumbang inspirasi terhadap penulisan.
Dalam filem komedi Senario Lagi (2000), Azlee yang baru naik pangkat ingin membawa anak bininya bercuti di Cherating.
Dalam filem seram Jeepers Creepers (2001), dua beradik sepakat memandu pulang ke kampung dari kolej sempena cuti.
Dalam filem Little Miss Sunshine (2006), sebuah keluarga ada 48 jam untuk sampai ke California dari New Mexico agar si bongsu berpeluang menyertai pertandingan ratu cantik kanak-kanak.
Zombieland (2009) pula filem komedi-seram yang mengisahkan seorang anak muda yang berusaha pulang ke pangkuan mak ayahnya dalam dunia pasca wabak zombi.
Dalam filem 3 Idiots (2009), ada 2 timeline. Salah satunya melibatkan road trip bagi menjejak sahabat lama bernama Rancho yang tiba-tiba ghaib secara misteri setamat kolej. Satu lagi timeline pula, flashback zaman kolej.
The Last of Us (saya lebih gemar versi video game 2013) memaparkan usaha seorang lelaki berumur yang diupah menyeludup seorang gadis remaja tak dikenali merentas zon-zon kuarantin serata Amerika yang dilanda virus dalam usaha menuju ke sebuah fasiliti penyelidikan.
Dalam filem Chef (2014), seorang bapa (yang baru hilang kerja) merentas Amerika bersama anak lelakinya menaiki sebuah food truck pinjam.
American Gods (2017) mengisahkan seorang bekas banduan yang ditawar kerja menjadi khadam (merangkap pemandu jarak jauh) bagi satu susuk misteri bernama Mr Wednesday.
Dalam novel Kifayah (2025), lima orang terheret menjadi bidan terjun untuk menguruskan jenazah seorang wanita Melayu tua terpinggir yang mati mengejut di UK. Destinasi kebumi berada nun jauh di selatan Britain.
Anda nampak ramuan-ramuan penting road trip? Sekumpulan manusia. Destinasi. Kenderaan. Time limit (optional).
Kelebihan novel yang ada unsur road trip ialah rentak cerita cenderung laju memandangkan watak-watak harus sentiasa bergerak. Latar lokasi yang kerap bertukar juga mampu mengelakkan pembaca lekas jemu. Sepanjang perjalanan, macam-macam hal boleh terjadi. Sekaligus membuka ruang untuk pelbagai subplot.
Dalam pada itu, menulis genre road trip ada risiko juga. Segelintir pembaca sukar menerima situasi bila mana watak-watak tak sampai ke destinasi. Seolah-olah penulis gagal tepati janji. Andai kata sinopsis buku menyebut lokasi X selaku titik sasaran, maka wajiblah kesudahan cerita berlangsung di lokasi tersebut.
Walhal dalam bermusafir, ada satu pepatah Inggeris yang popular. It’s not the destination, but the journey. Apakah pengajaran besar yang dikutip sepanjang kembara lantas memacu transformasi watak-watak terlibat? Bukankah ini cerminan realiti kehidupan sebenar?
Begitulah adat orang bermusafir. Kadang-kadang sampai. Kadang-kadang sesat. Kadang-kadang perlu melencong. Kadang-kadang, kita ternampak kereta Umie Aida berasap di tepi jalan.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!