Fenomena Twilight

Jasper and Alice Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Fenomena Twilight bukan setakat berjaya melonjak karier para pelakon yang sebelumnya belum cukup dikenali. Malah, turut menjadi pencetus inspirasi buat EL James menulis siri 50 Shades. Fenomena terbaharu yang menyusul kemudian. Buat kalian yang mungkin belum sedia maklum, buku pertama siri 50 Shades sebenarnya lahir sebagai Fan Fiction Twilight.

Membelek potret ini membawa saya kembali kepada memori sedekad lalu di UK. Dalam buku Kuantum saya ada menceritakan bagaimana tatkala kemuncak populariti Twilight, boleh dikatakan tak putus-putus datang permintaan melukis potret watak-watak siri filem tersebut. Asyik-asyik sama ada sang pontianak jambu atau si mamat serigala yang tak suka pakai baju.

Di persimpangan kisah, pengetahuan saya tentang dunia Twilight nihil.

“Abang seriously kena tengok. Cerita ni best!”

Atas saranan adik-adik perempuan di Malaysia, saya pun cuba jejak DVD.

Mujur di perpustakaan Edward Boyle, boleh tahan gah koleksi filem dalam arkib universiti. Saya pun layan sambil cuba menghayati setiap aspek. Not bad. Not bad at all. Pemilihan tona warna suram. Muzik latar penuh melankoli. Variasi watak. Plot pula berkisar cinta tiga segi di sebalik ketegangan antara puak pontianak dan serigala jadian. Barulah saya faham dari mana datangnya istilah TeamEdward serta TeamJacob. Patut pun tiada seorang pernah meminta saya lukis potret Bella Swan.

Menilai daripada filem semata-mata (sehingga ke hari ini belum berpeluang baca novel), saya tak pasti sama ada kekakuan Bella berkait rapat dengan deskripsi watak dalam buku atau bakat lakonan Kristen Stewart. Sebagai lelaki, saya tak faham mengapa watak gadis annoying macam Bella tetap boleh menjadi objek rebutan. Rebutan bertahap epik mengalahkan plot filem Hindustan.

Sungguhpun hanya watak tambahan, secara peribadi saya merasakan pasangan Alice Cullen dan Jasper Hale jauh lebih menyerlah.

Apa pun jua, perhatian saya paling tertarik kepada Jessica Stanley. Rakan sekelas Bella di sekolah baharu. Kali pertama diri ini menyedari kewujudan pelakon Anna Kendrick. Alahai, cair!

#TeamJessica

Anna Kendrick Smile Blog Coretan Sang Flowerman GIF

Carl & Ellie

Carl and Ellie Pencil Sketch by Shah Ibrahim

You jump, I jump.

Titanic (1997) akan dikenali sebagai filem tangkap leleh sepanjang zaman. Sehingga menjadi tanda aras ukuran kesedihan plot filem-filem yang menyusul sesudahnya.

Tanpa perlu memberi amaran ‘Spoiler Alert’, saya yakin kelompok yang seumur hidup belum pernah menonton Titanic tentu sedia maklum yang watak lakonan diCaprio mati di penghujung cerita.

Dari bibit-bibit awal perkenalan, si Rose yang memilih untuk menjual mahal, fasa pikat-memikat sehingga ke detik tragedi menimpa; lebih tiga jam juga emosi para penonton dibuai sebelum tiba di kemuncak babak hiba. Ditambah pula dengan deru lagu tema berhantu Celine Dion dalam versi instrumental. Sehingga ke hari ini, irama tersebut melekat dalam kepala.

Now, that’s the power of storytelling. Penonton turut bersedih sebab peduli dan bersimpati dengan watak-watak. Tidak semua sang penglipur lara era moden berkebolehan sebegini.

Anehnya filem Up (2009), seawal cerita, hati penonton dirobek kasar. Tanpa amaran pula. Kalian yang pernah tonton pasti faham babak bisu yang dimaksudkan. Hanya snapshot kehidupan Carl & Ellie diiringi muzik tema “Married Life”. Sedangkan Up filem animasi. Sasaran penonton tentunya budak-budak. Tak mustahil, hanya kita yang dewasa ini sahaja terkesan.

Kata orang, filem Coco (2017) jauh lebih sedih. Tetapi saya sendiri belum berpeluang menonton. Kena usaha cari juga suatu hari nanti agar tidak ketinggalan.

Terry Crews

Terry Crews Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Vanessa Carlton muncul dengan ‘A Thousand Miles’ sewaktu saya berada dalam tahun ke-3 pengajian universiti di Indiana, US. Dipakej dengan sentuhan piano ikonik selaku intro, irama feminin yang terhasil luar biasa menenangkan. Berbulan-bulan jugalah mp3 lagu tersebut berada dalam playlist Winamp.

Dua tahun kemudian, muncul filem White Chicks. Ada satu babak dalam filem tersebut yang telah merubah definisi mahakarya Vanessa Carlton buat seluruh umat manusia sejagat. Sehingga ke hari ini, saya tak mampu dengar lagu A Thousand Miles tanpa tergelak kecil. Seawal intro petikan piano sahaja saya dah terbayang wajah bengis Terry Crews menggeleng-geleng kepala.

TerryCrews WC Gif2

Apa-apa pun, lelaki ini seorang individu yang sangat berbakat besar. Tahukah anda, Terry Crews juga seorang pelukis potret yang hebat?

Hantu Kak Limah

Usop Wilca Pencil Sketch by Shah Ibrahim

“Siapa yang setuju nak bakar rumah Kak Limah, sila angkat tangan macam saya…”

Sabtu, 19 Mac 2011. Genap tujuh tahun berlalu.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sedang hangat menjadi sebutan. Rata-rata semua orang memuji. Dalam komuniti kecil kelompok Melayu bawah tanah di Leeds, umum mengetahui Mat Zain ‘Hacker’ stokis terbaik filem-filem serta drama-drama tempatan dari tanahair. Dari mana dia dapat, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Dari rumah sewa Kelso, saya menapak ke Woodsley Terrace. Bersama Dr Farid dan Azmi Sapian yang hidup berjiran di situ, sesi ziarah ke rumah Mat Zain disepakati bertiga. Outing spontan dalam usaha memecah rutin melayan Xbox 360 setiap hujung minggu. Kalau tidak, para ayah sahaja yang bolot gamepad. Kasihan anak-anak tengok ternganga.

Perjalanan dimulakan sekitar jam 10 malam dari Woodsley. Kami naik kereta Dr Farid. Di persimpangan cerita, Mat Zain sedang menetap di Lunan Place, Harehills. Serumah dengan Joe Bantal Kekabu yang banyak disebut dalam buku Kuantum.

Logo Astro First yang tertera pada skrin sepanjang tayangan jelas membuktikan sumber salinan video yang kami tonton. Berbekalkan kudapan dari Chicken Cottage, filem sempoi terbaharu arahan Mamat Khalid dilayan penuh keterujaan. Lawak pun lawak. Seram pun seram. Tak dinafi, watak Usop Wilca lebih menonjol kali ini berbanding Zombi Kampung Pisang. Segala benda mahu dibakarnya.

Tayangan tamat sekitar tengah malam. Tuan rumah pun dah berpura-pura menguap dalam usaha menghalau secara sopan. Tiba masanya kami pulang. Nasib baik datang berkereta sebab servis bas awam Leeds berakhir jam 11:30 malam.

Dari parkir Woodsley Terrace, saya berjalan kaki pulang ke Kelso Road. Setiap langkah yang diambil terasa luar biasa laju. Sepanjang menapak, saya terbayang-bayang kemunculan figura berdiri senget persis adegan Kak Limah menyakat Pak Abu (lakonan arwah Zami Ismail).

Seperti yang pernah dinukilkan sebelum ini, aura seram langsung tak terasa tatkala berjalan malam di negara-negara sebelah barat. Hatta merentas tanah perkuburan. Dalam pada itu, adegan statik sekadar beberapa saat yang dimaksudkan tadi berjaya melekat dalam kepala sehingga menganggu jiwa. Seriau betul.

Andai ditakdirkan Kak Limah tiba-tiba muncul, memang saya lari dengan kasut but Karrimor di tangan.

Awie Lari Hantu Kak Limah Blog Coretan Sang Flowerman GIF

Kuch Kuch Hota Hai

Kuch Kuch Hota Hai Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Di manakah letaknya kekuatan Rahul Khanna?

Pada namanya kah?

Atau pada t-shirt sendatnya?

Para pembaca Budak Meja Belakang pasti sedia maklum betapa besarnya pengaruh filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) terhadap generasi saya. Sewaktu KKHH mula ditayang di Malaysia sekitar hujung tahun 1998, saya masih tersangkut di asrama. Sibuk menghadap kertas-kertas SPM.

Kali pertama menonton KKHH, terganggu sungguh diri ini dengan jalan cerita. Perlu ditekankan, saya tak kisah jikalau dalam filem ada elemen tahyul tahap melampau mahupun aksi lagak ngeri yang tak masuk akal. Selaku peminat tegar filem Tamil, saya boleh terima. Termasuklah aksi hero membelasah sekumpulan penjahat berbekalkan sebatang tiang lampu jalan (mentol pun tak sempat dicabut). Ya, filem ini memang benar wujud.

Walau bagaimanapun, bab yang melibatkan soal hati dan perasaan… saya lebih sensitif.

Berbalik kepada filem KKHH.

Zaman kolej, Rahul tak putus-putus menyindir dan mengejek Anjali. Kemunculan Tina Malhotra secara tiba-tiba langsung tak membuatkan Rahul teragak-agak memilih. Cinta hati yang mahu dikahwini ketara jelas. Si gadis berskirt pendek. Anjali yang terpaksa memendam perasaan pula hanya mampu menggigit bucu tingkap kereta api. Ditemani hujan serta trek lagu sedih, dia membawa diri pulang ke kampung halaman.

Masa berlalu. Kehidupan diteruskan. Muncul seorang jejaka baru dalam hidup Anjali. Aman Mehra namanya. Orang yang segak, menetap di London, berkebolehan menari spontan tanpa raptai dan bijak mengambil hati bakal mak mertua. Apa lagi kau mahu?

Andai kata Shah Ibrahim yang berada di tempat Aman Mehra sewaktu majlis tunang, saya tak sesekali terkejut jikalau Anjali yang lengkap bersari terjun tingkap lari dari rumah. Tak sempat menyanyi lagu Saajanji Ghar Aaye. Sebagai lelaki, rasa terkilan sudah tentu terbit di hati. Pokoknya, saya tak terkejut.

Pendek kata, tiada apa yang kurang pada Aman Mehra. Dalam pada itu, si Anjali tetap memilih Rahul.

Hmm…

Anjali Sharma KKHH Blog Coretan Sang Flowerman GIF

error: Content is protected !!