Garis Penamat Cabaran Inktober 2018

Shah Ibrahim TheMrFlowerman Achievement Unlocked Inktoberer

Alhamdulillah, berakhir sudah cabaran Inktober tahun ini. Tak sangka pula, saya mampu siapkan 31 karya setiap hari sepanjang bulan walaupun ini kali pertama mencuba. Cabaran bukan setakat mencuri masa untuk melukis. Lebih perit lagi, memerah idea apa yang hendak dilukis setiap hari.

Terima kasih atas komen-komen positif serta kata-kata semangat di segala platform media sosial yang telah saya muat naik karya. Kalian memang awesome!

Andai kata umur panjang, kita bertemu lagi tahun hadapan.

Galeri penuh Inktober 2018 saya boleh dilayari di SINI.

Cabaran Inktober 2018

Cabaran Inktober 2018 Shah Ibrahim TheMrFlowerman

Saya mengenali karya-karya kartunis Jake Parker menerusi antologi ‘Flight’. Flight ini salah satu platform memperkenal bakat-bakat baru dalam dunia komik di sebelah Barat. Sesiapa yang teringin cuba baca, saya sarankan anda cari Volume 3 (terbitan 2006). Ini naskhah kegemaran saya secara peribadi daripada set berjumlah lapan buku. Tatkala menerjah pesta buku Big Bad Wolf, jenguk-jenguklah sama. Saya dengar ramai yang berjaya menjejaki antologi Flight di situ.

Flight Volume 3 Shah Ibrahim TheMrFlowerman
Flight Volume 3 dalam koleksi peribadi

Sepanjang bulan Oktober tahun 2009, Jake Parker mula memuat naik hasil karya beliau setiap hari diiringi hashtag ‘inktober’. Objektif asal sekadar latihan memperbaiki mutu lukisan sendiri. Tanpa diduga, perlahan-lahan aktiviti ini tular di media sosial. Lantas menjadi ikutan sehingga tersebar luas serata dunia. Menjangkau hampir sedekad kemudian, setiap rantau sudah ada gerakan cabaran tersendiri. Misalnya, hashtag inktoberMalaysia. Secara tak langsung, Jake Parker dinobat sebagai pengasas.

Memandangkan ramai ilustrator telah beralih ke proses penghasilan karya seni menerusi pendekatan digital secara eksklusif, cabaran inktober ternyata signifikan dalam menarik para artis kembali berkarya secara tradisional. Sehubungan itu, karya-karya yang terhasil sempena inktober seharusnya terhad kepada media berasaskan dakwat. Pen, marker, perkakas kaligrafi, berus celup dakwat dan seumpamanya. Sudah nama pun ‘ink’.

Bolehkah pakai krayon? Bolehkah karya diwarnakan dengan cat air? Bolehkah hasil kerja tetap dibuat sepenuhnya secara digital guna perisian komputer?

Sungguhpun soalan-soalan sebegini lazimnya berakhir dengan lemparan pemadam papan hitam daripada guru-guru zaman saya bersekolah dahulu, “Tak salah” ialah jawapan ringkas Jake Parker setelah ramai bertanya.

Aspek ‘31 karya dalam tempoh 31 hari’ diharap dapat menjana konsistensi serta keyakinan diri. Namun, tidaklah wajib berkarya sebanyak ini. Bagi kelompok sibuk, ada pilihan ‘half-marathon’ (berkarya selang sehari) atau sekerap seminggu sekali. Hakikatnya, bukan semua orang pelukis sepenuh masa tanpa komitmen lain.

Umum tahu, melukis bukannya boleh buat duit pun. Lebih-lebih lagi di Malaysia. Asal lukisan sahaja, mesti minta percuma sebagai hadiah! Eh, melencong pula. Maaf, teremosi sebentar sebab belum minum kopi. Kembali semula ke topik asal.

Selama ini belum pernah lagi saya muat naik sebarang karya sempena inktober. Maka pada tahun ini, saya ingin mencabar diri. Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mesti cuba.

Berapa banyak karya yang bakal terhasil, saya sendiri tak pasti. Kita tunggu dan lihat. Tak dinafi, bab konsistensi melukis saya semakin terjejas sejak aktif menulis. Gerak tangan harus digilap semula.

Sementara menanti menjelmanya bulan menyimpan misai, apa kata kita bermain dengan dakwat dahulu. Manalah tahu, dakwat berbaki kelak boleh dibuat modal melukis sendiri misai sempena cabaran Mo-vember.

PBAKL 2018: Pertandingan Melukis Komik

Pertandingan Komik Strip PBAKL 2018

Bersempena kedatangan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018, pihak penganjur ada melancarkan beberapa pertandingan.  Salah satunya ialah pertandingan komik satu muka. Jikalau tidak diberitahu, saya sendiri pun bakal terlepas pandang. Terima kasih saudari Fadzida Ismail atas peringatan mengenai pertandingan. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 25 Mac.

Tergelak besar saya tatkala membaca tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Jodoh di Pesta Buku. Hahaha.

Apa salahnya mencuba, kan? Walaupun boleh tahan sengit juga persaingan. Dikhabarkan sebanyak beratus-ratus penyertaan dihantar. Tetapi banyak yang ditolak. Rata-rata disebabkan tak ikut tema. Daripada sekitar 200 penyertaan yang berjaya melepasi saringan pertama, 23 yang terbaik telah disenarai pendek. Pengumuman berkenaan hal ini telah dibuat menerusi Facebook rasmi urusetia pada 19 April. 

Malang sekali, karya saya tidak terpilih. Bukan rezeki kali ini. Sungguhpun tak terpilih, semoga diri masih berpeluang bertemu jodoh di Pesta Buku.

Amin.  

PBAKL 2018 Komik Shah Ibrahim 1 PBAKL 2018 Komik Shah Ibrahim 2 PBAKL 2018 Komik Shah Ibrahim 3

Doodle For Unity 2013

Doodle Malaysia 2013

Buat julung kali program seumpamanya diperkenalkan di Malaysia, Doodle For Unity merupakan usahasama antara stesen radio Selangor FM, pihak Muzium Seni Asia Universiti Malaya serta tadika KEMAS sempena bulan Merdeka 2013. Di samping mencungkil bakat-bakat baru, program turut bertujuan meninjau tahap pemahaman konsep kesatuan masyarakat menerusi kaca mata kanak-kanak.

Tanggal 25 Julai 2013, sekitar 7000 penyertaan bertemakan ‘I Love Malaysia’ diterima daripada murid-murid tadika KEMAS serata Selangor. Dalam kalangan penyertaan terhimpun, 30 karya terbaik telah disenarai pendek. Kemudian, 30 orang pelukis dewasa dari serata tanahair dijemput memilih satu daripada karya tersenarai. Saya salah seorang. Setiap pelukis dikehendaki menghasilkan semula karya pilihan masing-masing dengan interpretasi serta gaya tersendiri.

Doodle Malaysia 2013
Karya pilihan saya

Di saat memilih, identiti sebenar pengkarya cilik di sebalik setiap satu lukisan langsung tidak kami ketahui. Untuk projek ini, saya memilih teknik komik. Sejurus melukis, pendakwatan dilakukan secara manual sebelum lukisan terhasil diimbas ke dalam komputer bagi kerja-kerja pewarnaan secara digital.

Doodle Malaysia 2013
Hasil lukisan sebelum diimbas masuk komputer
Doodle Malaysia 2013
Hasil lukisan siap diwarna secara digital

Hasil karya siap cetak telah saya bingkaikan sebelum diberi judul ‘Afternoon Delight’. Hendak tampak gah, mestilah kena letak nama orang putih. Haha.

Doodle Malaysia 2013
‘Afternoon Delight’

Kesemua karya asli berserta versi interpretasi telah dipamer di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya sepanjang bulan September 2013. Sungguhpun pameran telah dibuka kepada umum lebih awal, pelancaran rasmi hanya berlangsung pada 21 September. Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Norhyati Ismail hadir selaku VIP terhormat. Kedua-dua barisan pelukis (tua dan muda) seramai 60 orang turut dijemput hadir. Berdebar-debar juga rasa di hati hendak ketemu pengkarya asal buat pertama kali.

Doodle Malaysia 2013
Suasana dalam galeri
Doodle Malaysia 2013
30 + 30 lukisan terpamer

Dalam kesesakan suasana galeri, saya tercari-cari individu yang dimaksudkan. Oh, ya. Memandangkan wajah saya bisa membuatkan anak kecil menangis sebelum matahari terbenam, saya terpaksa mengajak dua orang adik perempuan saya selaku peneman merangkap jurufoto. Pada suatu ketika, kami terpandang seorang budak perempuan berbaju kuning sedang berdiri. khusyuk merenung lukisan saya. Kami fikir dialah orangnya. Saya pun tampil menghampiri lantas memperkenalkan diri.

Doodle Malaysia 2013
Lukisan saya bersama versi pencetus idea.

Adik Danish Ardianah dari Tadika KEMAS Pandan Jaya hadir ditemani kakak serta seorang guru pengiring. Orangnya pemalu. Oleh itu, masa saya banyak terhabis bersembang dengan si guru. Di samping itu, saya turut berpeluang berkenalan dengan ramai pelukis/ilustrator profesional yang sudah punyai nama dan telah lama aktif dalam industri. Peluang buat kawan tak sesekali saya lepaskan. Memandangkan respon pengunjung di luar jangkaan, tempoh pameran dilanjutkan sebulan lagi.

Doodle Malaysia 2013
Adik Danish
error: Content is protected !!