Buat julung kali program seumpamanya diperkenalkan di Malaysia, Doodle For Unity merupakan usahasama antara stesen radio Selangor FM, pihak Muzium Seni Asia Universiti Malaya serta tadika KEMAS sempena bulan Merdeka 2013. Di samping mencungkil bakat-bakat baru, program turut bertujuan meninjau tahap pemahaman konsep kesatuan masyarakat menerusi kaca mata kanak-kanak.
Tanggal 25 Julai 2013, sekitar 7000 penyertaan bertemakan ‘I Love Malaysia’ diterima daripada murid-murid tadika KEMAS serata Selangor. Dalam kalangan penyertaan terhimpun, 30 karya terbaik telah disenarai pendek. Kemudian, 30 orang pelukis dewasa dari serata tanahair dijemput memilih satu daripada karya tersenarai. Saya salah seorang. Setiap pelukis dikehendaki menghasilkan semula karya pilihan masing-masing dengan interpretasi serta gaya tersendiri.

Di saat memilih, identiti sebenar pengkarya cilik di sebalik setiap satu lukisan langsung tidak kami ketahui. Untuk projek ini, saya memilih teknik komik. Sejurus melukis, pendakwatan dilakukan secara manual sebelum lukisan terhasil diimbas ke dalam komputer bagi kerja-kerja pewarnaan secara digital.


Hasil karya siap cetak telah saya bingkaikan sebelum diberi judul ‘Afternoon Delight’. Hendak tampak gah, mestilah kena letak nama orang putih. Haha.

Kesemua karya asli berserta versi interpretasi telah dipamer di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya sepanjang bulan September 2013. Sungguhpun pameran telah dibuka kepada umum lebih awal, pelancaran rasmi hanya berlangsung pada 21 September. Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Norhyati Ismail hadir selaku VIP terhormat. Kedua-dua barisan pelukis (tua dan muda) seramai 60 orang turut dijemput hadir. Berdebar-debar juga rasa di hati hendak ketemu pengkarya asal buat pertama kali.


Dalam kesesakan suasana galeri, saya tercari-cari individu yang dimaksudkan. Oh, ya. Memandangkan wajah saya bisa membuatkan anak kecil menangis sebelum matahari terbenam, saya terpaksa mengajak dua orang adik perempuan saya selaku peneman merangkap jurufoto. Pada suatu ketika, kami terpandang seorang budak perempuan berbaju kuning sedang berdiri. khusyuk merenung lukisan saya. Kami fikir dialah orangnya. Saya pun tampil menghampiri lantas memperkenalkan diri.

Adik Danish Ardianah dari Tadika KEMAS Pandan Jaya hadir ditemani kakak serta seorang guru pengiring. Orangnya pemalu. Oleh itu, masa saya banyak terhabis bersembang dengan si guru. Di samping itu, saya turut berpeluang berkenalan dengan ramai pelukis/ilustrator profesional yang sudah punyai nama dan telah lama aktif dalam industri. Peluang buat kawan tak sesekali saya lepaskan. Memandangkan respon pengunjung di luar jangkaan, tempoh pameran dilanjutkan sebulan lagi.



