Cetakan Kedua Budak Meja Belakang

Budak Meja Belakang

Budak Meja Belakang mula memasuki toko-toko buku utama serata Malaysia sepanjang bulan Oktober 2017. Menjelang hujung tahun saya terima banyak rungutan daripada teman-teman yang telah bersusah-payah ke kedai dengan semangat berkobar-kobar untuk mendapatkan BMB, namun hampa setelah diberitahu oleh petugas kedai “buku kehabisan stok.” Anggapan saya, stok tersimpan di cawangan-cawangan tersebut memang sedikit. Situasi normal buat pendatang baru yang belum kukuh nama. Barangkali itu sebabnya buku ‘cepat habis’.

Tanggal 4 Januari 2018, saya mendapat khabar daripada wakil Komrad Buku mengatakan stok BMB di stor penerbit sendiri juga telah habis licin. Lantas mereka terus melancar gerak kerja cetakan berikutnya. Sejujurnya, tak sesekali saya menjangka yang diari perjalanan meniti alam persekolahan ini bakal mendapat respon luar biasa.

Cetakan kedua BMB siap dicetak (keluar kilang) pada tarikh 9 Februari dan mula diagih ke kedai-kedai. Dalam kalangan rakan-rakan pembaca, ada yang berbesar hati berkongsi dengan saya penemuan naskhah terbaharu. Contohnya, foto bertarikh 4 Mac kiriman seorang teman pembaca sewaktu kunjungan beliau ke MPH Bookstore cawangan Mid Valley.

Budak Meja Belakang
Foto kiriman Ly Liena

Boys of 509

Budak Meja Belakang Boys of 509

Boys of 509 dalam perjalanan menuju ke Taman Suria. Dah jadi senior, bolehlah pakai baju tuck out. Sebelum era kemunculan kamera digital dengan fungsi pemasa sebagai teknologi mampu milik, salah seorang terpaksa beralah menjadi tripod. Terpulanglah, sama ada hendak berlala-tamplom atau guna kaedah lain yang sewaktu dengannya. Pendek kata, gambar akan sentiasa terkurang seorang ahli. Untuk foto ini, individu terpilih tersebut ialah Zaha Mira. Nama sebenar, walaupun bunyinya macam watak novel fiksyen.

Barangkali kurang jelas ekoran kelusuhan kualiti foto, baju sedondon yang kami pakai itu bertulis Sapphire. Nilam dalam bahasa orang putih. Nama salah satu Homeroom besar di MARESMART (Maktab Rendah Sains Mara Taiping) yang diambil sempena spesis batu-batu berharga. Di saat menulis, saya sendiri tak pasti sama ada tradisi ini masih dikekalkan. Maklum saja, dua dekad sudah berlalu.

Apa jua pun, rekaan baju Homeroom (merangkap seragam rumah sukan) pada zaman itu berubah-ubah setiap tahun. Secara tak langsung, menyumbang kepada periuk nasi tauke cetak baju sekitar pekan Taiping. Pada tahun 1998, ini hasil rekaan usahasama saya dengan Badrul Sham AKA Dobong AKA Bob. Versi baju pelajar puteri pula hanya tambah lengan panjang.

Walau bagaimanapun, bukanlah hal baju yang ingin saya nukilkan di sini.

Dalam pembentukan identiti seorang anak remaja, pengaruh rakan sebaya sangat penting. Sungguhpun klise dan seringkali diulang sebut, saya yakin pasti ramai yang tetap bersetuju. Apatah lagi kalian yang kini sudahpun berpangkat ibu ayah. Kredibiliti bertambah setelah masing-masing berjaya menempuh sendiri fasa remaja yang penuh pancaroba.

Ada sesetengah benda yang kita buat betul. Ada sesetengah benda yang kita buat salah. Termasuk perihal memilih kawan. Seboleh-boleh, kita tak mahu generasi pelapis mengulangi kesilapan hidup yang serupa. Dari sini, timbullah ‘pesan orang tua-tua’. Sesuatu yang kita sendiri cukup menyampah dengar suatu masa dahulu. Tipikal. Padan muka, sekarang masing-masing dah jadi orang tua-tua juga. Haha.

Berbalik ke zaman MRSM.

Selaku individu kekok yang kurang mahir berkawan, cukup sukar bagi saya memulakan langkah pertama. Kombinasi rasa malu, segan, kurang keyakinan diri dan boleh jadi ada juga elemen sampukan jin. Pendek kata, orang lain kena mulakan dahulu. Barulah saya respon. Ini baru interaksi melibatkan kaum sejenis. Apatah lagi, jantina lawan. Memang saya lebih rela menyorok bawah meja.

Walaupun saya lebih banyak diam sewaktu hari-hari terawal di MARESMART, diri tetap diterima masuk ke dalam kumpulan yang para ahlinya berbeza personaliti, semangat negeri serta latarbelakang. Survival di asrama menyatukan kami. Kalau tidak kerana insan-insan ini, setamat orientasi hujung minggu pertama saya dah menarik diri keluar dari MARESMART untuk kembali ke sekolah harian lama di Johor Bahru. Keberadaan mereka di sisi sepanjang perjalanan membuatkan harungan seksa menuju ke garisan penamat sebagai suatu ‘adventure’ yang berbaloi.

Antara ciri rakan sebaya berkualiti ialah dorongan kuat ke arah positif. Saya belajar keluar dari kepompong perlahan-lahan pun gara-gara mereka. Cuma tak sempat bertukar menjadi rama-rama. Detik tersebut jauh lagi. Lain kali saya cerita. Namun, pujian mencurah-curah ini tidaklah bermakna kami semua malaikat. Bak kata Backstreet Boys, “Woah woah oh oh woah woah… boys will be boys.” Nakal tetap nakal. Tetapi, biarlah segala kenakalan tersebut tersemat sebagai memori eksklusif sesama kami.

Saya teramat bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana ditakdirkan sekelas dengan insan-insan ini. Semoga Tuhan merahmati. Semoga umur masing-masing terus panjang agar dapat kita bersua muka semula suatu hari nanti sambil memakai baju Sapphire. Itupun, jikalau baju masing-masing masih lagi muat. 

Sejarah Budak Meja Belakang

Budak Meja Belakang Shah Ibrahim Kertas Rentang

Februari 2018. Empat bulan telah berlalu semenjak Budak Meja Belakang masuk kedai buku. Respon luar jangkaan yang diterima mengejutkan diri saya sendiri selaku penulis memandangkan manuskrip yang pernah diaju kepada banyak pihak semenjak 2012 tak putus-putus ditolak. Di alaf status populariti menjadi kayu ukur laburan kepercayaan, cukup payah mendapat peluang sebagai pendatang baru. Malah, ada pihak yang menolak mentah-mentah (tanpa langsung menilai proposal).

“We all dah selidik you punya FB & IG. Followers you terlalu sikit. So, kami rasa tak boleh jual… Sorry.”

Kriteria yang mereka sendiri letak. Sungguhpun pahit, inilah realiti.

Dalam pada itu, saya tetap menghantar proposal Budak Meja Belakang merata. Etika serta tertib penghantaran dijaga. Pihak pertama menolak, barulah saya aju pula kepada pihak kedua. Pihak kedua menolak, barulah proposal berpindah ke tangan pihak ketiga dan seterusnya. Jikalau langsung tiada respon setelah tiga bulan, saya faham-faham sendiri. Pendek kata, prosesnya perlahan. Tak dapat dinafi, penantian maklumbalas sememangnya menyeksakan.

Diturutkan hati, ada jalan pintas – Cetak sendiri. Setelah menerbit sendiri dua komik (Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman serta Taki&Dira), sejujurnya saya tak lagi berkemampuan. Umum tidak mengetahui, kos percetakan komik berwarna jauh lebih mahal.

Lewat Julai 2017, saya terkejut bila mana sebuah rumah penerbitan bernama Komrad Buku berkenan dengan proposal. Manuskrip penuh Budak Meja Belakang saya ajukan. Maklumbalas positif yang diterima serta-merta membuatkan diri teruja. Kata barisan editor, isi manuskrip tak perlu diolah. Mereka suka ‘suara’ saya. Malah, tajuk asal ‘Budak Meja Belakang’ (yang langsung tak canggih) diizin kekal. Aspek ini saya paling terharu. Diringkaskan cerita, rentetan persetujuan berlalu pantas. Cukup mudah kami mencapai kata sepakat. Barangkali ini yang dinamakan jodoh.

Lewat Ogos 2017, buku siap dicetak. Pihak penerbit ada mengirim foto kepada saya menerusi aplikasi Whatsapp dengan kapsyen ‘Budak Meja Belakang naskhah berlabel Komrad paling tebal setakat ini’. Hampir menitis juga air mata saat menyaksikan hasil karya yang selama ini terperam dalam format word document tiba-tiba bermanifestasi secara fizikal. Apatah lagi pabila Budak Meja Belakang mula terpamer di rak toko-toko besar seperti MPH serta Popular sekitar Oktober 2017. Satu impian akhirnya terlaksana.

Budak Meja Belakang
Penampakan pertama buku Budak Meja Belakang di MPH cawangan Setia Mall. Foto kiriman adik saya.

Paling tak sangka, Budak Meja Belakang masuk carta laku keras bermula bulan yang sama. Terima kasih kawan-kawan (baru dan lama) yang sudi mencapai buku Budak Meja Belakang. Tak lupa juga kepada yang sanggup pre-order sejurus siap cetak. Sambutan begitu positif sampai tahap stok habis di kebanyakan cawangan kedai serta stor penerbit sendiri. Buat kawan-kawan yang masih tercari-cari, saya difahamkan pihak penerbit dalam proses melaksanakan cetakan kedua dalam masa terdekat.

Perlu ditekankan, di sebalik kejayaan satu-satu judul buku ada banyak elemen terselindung di belakang tabir. Terselindung mahupun tidak, tiada satu pun yang remeh.

Terima kasih saudara Ahmad Affzan Abdullah (Mat Cleaner UK) dan saudara Rafiuddin Rabu (Cerita Bangsa Gemuk) atas sumbangan blurb luar biasa. Selaku pendatang baru, terharu saya membaca testimoni positif daripada kedua-dua penulis otai ini.

Terima kasih saudara Ahm Ahmad, (kartunis seangkatan yang saya kagumi) atas sumbangan ilustrasi kulit berkonsep minimalist. Sekaligus menjadi identiti Budak Meja Belakang. Terkenang kembali, cadangan cover art asal yang saya usulkan kepada penerbit entah apa-apa. Pabila amatur buat kerja, itulah jadinya. Wajar dilempar ke longkang. Saya hendak kongsikan rekaan sendiri di sini pun terasa malu.

Front Cover Artwork Budak Meja Belakang Shah Ibrahim
Konsep awal reka kulit buku (sentuhan kartunis Ahm Ahmad) sebelum kulit muka tuan penulis digelapkan menghampiri realiti.

Akhir sekali, terima kasih Komrad Buku kerana memberi peluang. Peluang yang mengubah hidup. Kejayaan Budak Meja Belakang pencapaian kita bersama.

Syukur, alhamdulillah.

Budak Meja Belakang Berkongsi Rak Dengan Pelukis Jalanan
Budak Meja Belakang di Popular @ Setapak Central. Foto kiriman Editor saya, Tuan Haeqal.
error: Content is protected !!