Boys of 509

Boys of 509 dalam perjalanan menuju ke Taman Suria. Dah jadi senior, bolehlah pakai baju tuck out. Sebelum era kemunculan kamera digital dengan fungsi pemasa sebagai teknologi mampu milik, salah seorang terpaksa beralah menjadi tripod. Terpulanglah, sama ada hendak berlala-tamplom atau guna kaedah lain yang sewaktu dengannya. Pendek kata, gambar akan sentiasa terkurang seorang ahli. Untuk foto ini, individu terpilih tersebut ialah Zaha Mira. Nama sebenar, walaupun bunyinya macam watak novel fiksyen.

Barangkali kurang jelas ekoran kelusuhan kualiti foto, baju sedondon yang kami pakai itu bertulis Sapphire. Nilam dalam bahasa orang putih. Nama salah satu Homeroom besar di MARESMART (Maktab Rendah Sains Mara Taiping) yang diambil sempena spesis batu-batu berharga. Di saat menulis, saya sendiri tak pasti sama ada tradisi ini masih dikekalkan. Maklum saja, dua dekad sudah berlalu.

Apa jua pun, rekaan baju Homeroom (merangkap seragam rumah sukan) pada zaman itu berubah-ubah setiap tahun. Secara tak langsung, menyumbang kepada periuk nasi tauke cetak baju sekitar pekan Taiping. Pada tahun 1998, ini hasil rekaan usahasama saya dengan Badrul Sham AKA Dobong AKA Bob. Versi baju pelajar puteri pula hanya tambah lengan panjang.

Walau bagaimanapun, bukanlah hal baju yang ingin saya nukilkan di sini.

Dalam pembentukan identiti seorang anak remaja, pengaruh rakan sebaya sangat penting. Sungguhpun klise dan seringkali diulang sebut, saya yakin pasti ramai yang tetap bersetuju. Apatah lagi kalian yang kini sudahpun berpangkat ibu ayah. Kredibiliti bertambah setelah masing-masing berjaya menempuh sendiri fasa remaja yang penuh pancaroba.

Ada sesetengah benda yang kita buat betul. Ada sesetengah benda yang kita buat salah. Termasuk perihal memilih kawan. Seboleh-boleh, kita tak mahu generasi pelapis mengulangi kesilapan hidup yang serupa. Dari sini, timbullah ‘pesan orang tua-tua’. Sesuatu yang kita sendiri cukup menyampah dengar suatu masa dahulu. Tipikal. Padan muka, sekarang masing-masing dah jadi orang tua-tua juga. Haha.

Berbalik ke zaman MRSM.

Selaku individu kekok yang kurang mahir berkawan, cukup sukar bagi saya memulakan langkah pertama. Kombinasi rasa malu, segan, kurang keyakinan diri dan boleh jadi ada juga elemen sampukan jin. Pendek kata, orang lain kena mulakan dahulu. Barulah saya respon. Ini baru interaksi melibatkan kaum sejenis. Apatah lagi, jantina lawan. Memang saya lebih rela menyorok bawah meja.

Walaupun saya lebih banyak diam sewaktu hari-hari terawal di MARESMART, diri tetap diterima masuk ke dalam kumpulan yang para ahlinya berbeza personaliti, semangat negeri serta latarbelakang. Survival di asrama menyatukan kami. Kalau tidak kerana insan-insan ini, setamat orientasi hujung minggu pertama saya dah menarik diri keluar dari MARESMART untuk kembali ke sekolah harian lama di Johor Bahru. Keberadaan mereka di sisi sepanjang perjalanan membuatkan harungan seksa menuju ke garisan penamat sebagai suatu ‘adventure’ yang berbaloi.

Antara ciri rakan sebaya berkualiti ialah dorongan kuat ke arah positif. Saya belajar keluar dari kepompong perlahan-lahan pun gara-gara mereka. Cuma tak sempat bertukar menjadi rama-rama. Detik tersebut jauh lagi. Lain kali saya cerita. Namun, pujian mencurah-curah ini tidaklah bermakna kami semua malaikat. Bak kata Backstreet Boys, “Woah woah oh oh woah woah… boys will be boys.” Nakal tetap nakal. Tetapi, biarlah segala kenakalan tersebut tersemat sebagai memori eksklusif sesama kami.

Saya teramat bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana ditakdirkan sekelas dengan insan-insan ini. Semoga Tuhan merahmati. Semoga umur masing-masing terus panjang agar dapat kita bersua muka semula suatu hari nanti sambil memakai baju Sapphire. Itupun, jikalau baju masing-masing masih lagi muat. 

Sebarang komen/pertanyaan?