Penamatan Operasi Google Plus

Google Plus Logo Blog Coretan Sang Flowerman

Akaun Google Plus Bakal Ditutup April 2019

Your Google+ account is going away. Makluman ini sampai secara e-mel. Sekilas lalu, saya hampir tak percaya. Setelah mendaftar masuk dan melihat sendiri paparan notis terapung, barulah saya yakin.

Akaun Google Plus Bakal Ditutup April 2019 B

Umum tahu, akaun Google Plus memang kita akan dapat secara automatik seiring pendaftaran akaun gmail. Cuma sejak hari pertama, saya tak nampak cara-cara untuk memanfaatkannya. Anggapan saya, notis ini diterima atas dasar akaun tidak aktif.

Setelah disiasat, rupa-rupanya bukan. Sebaliknya penamatan operasi secara besar-besaran (kecuali akaun korporat).

Menurut Google, penutupan ini kononnya disebabkan oleh faktor ‘platform kurang mendapat sambutan’. Tetapi jikalau diselidik lebih mendalam, banyak pihak yang berspekulasi bahawa perkembangan ini bersangkutan dengan cubaan menutup kes kebocoran data pengguna.

Impak penamatan operasi Google Plus barangkali kurang terasa buat kita. Sebab tak ramai pun yang guna benda alah ini di rantau Asia Tenggara (Facebook ternyata lebih popular). Sedangkan di sebelah Barat, ramai sahaja yang guna Google Plus sebagai platform utama. Terutama sekali, kelompok yang telah lama boikot serta meninggalkan FB.

Daripada episod penutupan servis Google Plus, saya bertambah yakin akan keperluan platform milikan sendiri dalam dunia siber. Sekurang-kurangnya, sebuah dot com dengan hosting berbayar.

Google yang gah pun secara tiba-tiba boleh tamatkan produk mereka. Hal yang serupa bisa menimpa Twitter, Youtube, Facebook, Instagram dan yang lain. Ingat lagi Friendster dan Fotopages? Tiba-tiba sahaja lenyap daripada muka bumi ini, kan?

Memandangkan saya sendiri jarang guna Google Plus, kehilangannya kelak tidaklah memberi impak. Malah mengurangkan beban pengendalian satu lagi platform. Terlalu banyak akaun media sosial untuk dikendali pun pening juga.

Oh, ya. Sesiapa yang belum back up keluar data daripada akaun Google Plus peribadi, lekas-lekaslah bertindak sebelum akaun dipadam.

Kisah Berpindah URL

Blog Coretan Sang Flowerman Mesra Mudah Alih

Laluan saya ke arah menjadi penulis agak aneh. Tidak konvensional. Saya sebenarnya seorang pelukis. Cubaan ‘menulis’ pula bermula dengan komik. Beberapa siri webkomik eksperimental (telah ditamatkan). Serta dua judul komik bercetak (terbit sendiri).

Bertahun-tahun lamanya portfolio atas talian saya hanya dipenuhi lakaran pensel, kartun dan komik. Setiap kali siap hasil seni terbaharu, saya muat naik. Tanpa sesuatu untuk dikongsi, makin bersawanglah laman sesawang.

Itu kisah sebelum terjebak menulis novel bukan grafik.

Sebagai penulis, antara kelebihan memiliki blog ialah mendesak diri menulis secara konsisten. Ya, boleh saja menulis di media sosial. Namun, saya merasakan nukilan blog lebih intim. Maklum saja, rumah sendiri. Seseorang bebas meluah apa jua. Tanpa kekangan garis panduan yang ditentukan oleh ‘polis’ media sosial.

Buat makluman pengunjung setia Coretan Sang Flowerman, blog saya telah berpindah URL dari blog.mrflowermanstudio.com (subdomain portfolio lukisan saya) ke CoretanSangFlowerman.com

Dengan kata lain, blog saya kini memiliki domain tersendiri.
Rentetan kisah sebenarnya jauh lebih panjang yang bermula dengan episod berpindah server serta pakej webhosting. Ini akan saya kupas dengan lebih mendalam dalam nukilan lain untuk manfaat bersama.

Berbalik kepada kisah berpindah URL. Kenapa tiba-tiba berpindah?

Laman utama MrFlowerman Studio saya mahu kekalkan sebagai laman portfolio berbahasa Inggeris buat pengunjung antarabangsa. Memandangkan blog saya pula dalam BM, sewajarnya ada platform berasingan. Apa yang saya terlepas pandang sewaktu melancarkan blog (tanpa ilmu) dahulu, Google kurang berkenan terhadap laman-laman bersifat subdomain.

SubDomainAnda.DomainUtama.com

Sampai tahap langsung tak layak memohon masuk program Adsense (pengiklanan bersama Google). Berdasarkan apa yang saya mula faham, ranking pencarian juga cenderung berada di lubuk bawah berbanding laman-laman berURL DomainUtama.com.

Patutlah jika ditaip ‘blog Shah Ibrahim’ guna enjin pencarian Google, blog lama saya hanya terpapar dalam halaman kedua Google Search Results (meskipun sudah lebih setahun aktif beroperasi).

Memikirkan aspek jangka panjang, saya perlu menyesuaikan diri. It is time to change or continue to be left behind.

Berbekalkan ilmu teknikal terbatas, perlahan-lahan saya kendalikan segalanya sendiri. Hendak mengupah orang, perlu keluar wang. Dan di penghujung jalan, satu apa pun saya tak belajar. Terkenang kembali, hampir dua minggu lamanya juga saya luang masa untuk buat kerja-kerja yang para pakar (besar kemungkinan) hanya perlukan masa sehari!

Saya tonton pelbagai video panduan di YouTube. Saya terjah forum. Saya usyar blog para pakar. Selebihnya, trial and error. Banyak kali juga tersangkut sehingga terpanggil untuk menggigit bucu meja. Alah bisa tegal biasa. Sesiapa yang dah baca BMB: Pax Americana tentu sedia maklum yang saya agak ‘mangkuk’ dalam bab IT.

Kerja-kerja berpindah URL sememangnya leceh. Sungguhpun wujud kaedah pintas seperti penggunaan plug-in, saya kurang yakin setelah membaca maklumbalas serta ulasan para pengguna yang menghadapi banyak masalah setelah melalui kaedah ini. Untuk menjamin kestabilan, fail-fail serta database sewajarnya dipindah secara manual. Kaedah ini yang saya pilih. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, ini contoh anak muda yang serbu tembok tak pakai helmet.

Alhamdulillah, laman terbaharu tampak stabil. Punyalah lega dan gembira hati ini. Sehingga saya terpanggil untuk cetak Sijil Khidmat Cemerlang buat diri sendiri.

Oh, ya. Buat kawan-kawan yang pernah mendaftar e-mel untuk melanggan Newsletter mingguan daripada laman lama, kalian tak perlu daftar semula. Sebab saya dah pindahkan data kalian ke laman terbaharu. Kalian akan terus menerima info terkini (insyaAllah setiap Jumaat).

Laman baharu, semangat baharu. Harap-haraplah begitu.

Blog Post Ke-100

Shah Ibrahim TheMrFlowerman Blog Post Ke-100

6 April 2018. Tarikh pelancaran blog Coretan Sang Flowerman. Berbanding era 90-an dahulu, laman web dan blog kini dilancar secara senyap-senyap sahaja. Tak perlu jemput pak menteri datang potong riben.

Laman web rasmi MrFlowerman Studio sebenarnya sudah wujud lebih awal, iaitu enam tahun sebelum. Cuma laman tersebut sekadar portfolio hasil seni lukis dan conteng-conteng. Purata kunjungan pelawat pun boleh tahan memberangsangkan juga. Sekitar tiada orang setiap bulan.

Dengan kelahiran beberapa buah judul buku berbahasa kebangsaan tahun lalu, saya fikir perlu ada platform berasingan untuk berbicara segala hal berkaitan buku. Lagipun, laman portfolio MrFlowerman Studio sudah terlanjur dikerangka dalam bahasa Inggeris. Bercelaru nanti.

Maka lahirlah blog. OK, dari mana pula datangnya nama ‘Coretan Sang Flowerman’?

Buat pengetahuan kawan-kawan, itulah judul asal novel grafik pertama saya: Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Namun sewaktu permohonan ISBN, hati saya tiba-tiba berbelah bahagi. Selaku judul sebuah buku, istilah ‘coretan’ seakan berbaur nukilan rambang. Sedangkan buku tersebut merupakan catatan kembara saya di bumi asing. Catatan kembara? Hmm. Sedap juga bunyinya.

Hasil taakulan seorang diri sambil beratur menanti giliran untuk berurusan di kaunter ISBN Perpustakaan Negara, ‘Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman’ terus diangkat sebagai judul akhir. Borang diisi lantas diserah sebelum saya kembali semula ke JB dengan bas ekspres.

Mujur juga segala idea yang belum diguna pakai, saya tak pernah buang. Rugi! Lantaran itu, Coretan Sang Flowerman tadi masuk semula ke dalam bakul idea.

Beberapa tahun berlalu. Rambut atas kepala semakin berkurang. Saiz pinggang pula semakin bertambah walaupun hari-hari keluar berjogging.

Saya korek semula bakul idea. Ini ritual peribadi setiap kali ingin mendapatkan inspirasi buat projek terbaharu. Lebih spesifik lagi, buku apakah pula saya mahu tulis selepas terbitnya Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir (April 2018). Tatkala itulah saya terjumpa semula tiga patah perkataan pada secarik kertas.

Coretan.

Sang.

Flowerman.

Hati terus berkenan. Malah padan dengan blog yang berusia hampir mencecah seminggu pada waktu itu.

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Alhamdulillah, hari ini genap 100 blog post. Terima kasih buat kalian yang sudi singgah. Berdasarkan statistik WordPress, semakin hari pengunjung pun semakin bertambah. Lega juga hati ini. Tidaklah sekadar blog syok sendiri.

Buat kawan-kawan yang baru mengenali penulisan saya, segala perkongsian lampau di media sosial (FB, Twitter, IG dan Pinterest) saya himpunkan di blog. Oleh itu, tak perlulah kalian tercari-cari semula entri-entri silam di FB (yang cenderung tenggelam entah ke mana). Segalanya telah saya arkibkan secara tersusun di blog.

Apakah yang ada di blog Coretan Sang Flowerman?

-Babak-babak terbuang daripada buku sudah terbit.

-Status perkembangan terkini projek-projek akan datang.

-Di sebalik tabir proses pembikinan setiap karya.

-Perkongsian hal-hal teknikal.

-Senarai karya dan cara-cara membeli produk MrFlowerman Studio.

-BONUS: Entri sulit yang saya tak kongsi di FB. Nukilan-nukilan ini sengaja saya sorok daripada menu navigasi. Pandai-pandailah kalian cari. Rezeki buat sesiapa yang terjumpa.

InsyaAllah, elemen meroyan hal peribadi saya cuba bataskan pada kadar minima. 😁

Saya ada blog. Tetapi saya bukan blogger. Jemputlah teroka.
Next milestone… 500 blog posts. 💪💪

Memilih WordPress Theme

Portfolio Lukisan Shah Ibrahim TheMrFlowerman

Sewaktu meredah diri membikin laman web pertama dahulu tanpa ilmu, aspek teknikal segala bagai saya tolak ke tepi. Mana tidaknya pabila kriteria asas yang patut dikaji pun belum terjangkau dek akal. Maklum saja, saya pernah tergolong dalam kelompok buta IT. Maka, ciri-ciri astetik menjadi faktor utama pendorong keputusan. Asalkan laman web kelihatan cantik serta berfungsi, saya lebih daripada berpuas hati.

Atas dasar kekangan bajet, saya sekadar memilih WordPress theme yang nampak paling canggih dari senarai pilihan percuma. Fullscreen (keluaran Graph Paper Press) merupakan WordPress theme pertama MrFlowerman Studio. Rekaletak berupa grid tersusun dalam tona warna gelap. Pergh! Memang sempoi untuk sebuah laman portfolio seni. Para pengunjung yang datang singgah tentu kagum. Silap-silap, saya ditawar menjadi menantu.

Fullscreen WordPress Theme
Fullscreen WordPress theme by Graph Paper Press. Ya, memang gelap.

Sekiranya tidak dimaklumkan oleh kawan-kawan terdekat, saya sendiri terlepas pandang yang laman MrFlowerman Studio tampak hampeh tatkala cuba diakses menggunakan smart phone. Bagi individu ketinggalan zaman yang belum memiliki smart phone di persimpangan cerita, tidak menghairankan sangat bagaimana saya boleh terlepas pandang. Masih setia bersama Nokia 3310, saya terpaksa pinjam phone Samsung milik adik untuk mengesahkan sendiri situasi.

Ya Tuhan, memang benar laman web MrFlowerman Studio menjadi berkecamuk dan sukar diteroka tatkala diakses menggunakan smart phone. Saiz tulisan maha halus. Menu utama banyak yang hilang. Malah, paparan kebanyakan halaman turut terpotong suku. Sekilas pandang ibarat laman web tak siap. Ternyata, selama ini saya yang syok sendiri.

Lanjutan daripada episod memalukan ini, barulah saya belajar erti ‘responsiveness’ sesuatu WordPress theme. Responsiveness merujuk kepada kemampuan WordPress theme menyesuaikan diri secara automatik mengikut gajet serta platform akses (PC, tablet atau smart phone). Automatik, dalam erti kata tidak memerlukan sebarang pengaturcaraan tambahan mahupun setting lanjutan daripada pihak pengguna gajet.

Memandangkan bilangan pengguna internet menerusi gajet mudah alih kian bertambah, responsiveness dikatakan sudah menjadi kriteria wajib setiap laman web. Elemen ini tidak wajar dipandang enteng. Buat seorang peniaga internet, prospek boleh hilang begitu sahaja gara-gara laman web tidak berfungsi dengan betul! Kecantikan semata-mata bukanlah tarikan utama.

Berbekalkan ilmu baharu, saya beralih pula ke theme ‘Fictive’ (masih lagi percuma). Terus terang kata, Fictive kurang menarik sebagai portfolio berbanding theme Fullscreen dahulu. Namun, kemantapan aspek responsiveness yang akhirnya membuatkan diri ini terpikat. Biasalah, you win some, you lose some. Mustahil dapat WordPress theme percuma yang sempurna. Fullscreen saya pakai kurang setahun. Fictive pula hampir lima tahunlah juga.

Fictive-WordPress-Theme
Fictive WordPress theme by Automattic

Tema ketara berulang yang saya perasan dalam rata-rata WordPress theme percuma ialah sokongan terbatas. Makna kata, sokongan (dalam bentuk kerja-kerja penambahbaikan coding secara berkala daripada pihak pengeluar) boleh terhenti serta-merta pada bila-bila masa tanpa diduga. Tidak menghairankan, produk percuma. Dan trend ini mendatangkan masalah lain pula.

Antara objektif penambahbaikan coding secara berkala ialah menutup segala lubang kelemahan perisian yang bisa dieksploitasi. Bukan sahaja coding WordPress theme yang perlu sentiasa dikemaskini. Bahkan perisian teras (WordPress Core) yang menjadi tunjang segala laman web berasaskan WordPress. Sebagai pengguna, hal WordPress Core kita tak perlu bimbang sebab akan senantiasa dikemaskini. Meskipun percuma, ada komuniti besar yang aktif bekerja memberi sokongan berterusan. Usaha gratis mahupun bergaji, saya sendiri kurang pasti.

Di saat menulis, versi terkini ialah WordPress 4.9.6 (dilancar 17 Mei 2018). Perlu diingatkan, Core laman web akan dinaiktarafkan secara automatik selepas tempoh masa tertentu, walaupun laman web tersebut sudah lama terbiar tidak aktif. Memandangkan WordPress Core sentiasa berubah, segala ‘aksesori’ WordPress yang lain (seperti theme serta plugin) turut sama perlu dikemaskini bagi mengelakkan kemungkinan timbul isu kompatibiliti kelak.

Hendak dijadikan cerita, sekali lagi saya terpaksa belajar daripada kesilapan bila mana laman web MrFlowerman Studio ‘crash’ sebaik WordPress Core dinaiktaraf secara automatik pada suatu hari. Puas saya mengkaji punca. Akhirnya, terjumpa. Tanpa saya sedar, WordPress theme Fictive yang selama ini digunakan rupa-rupanya telah tiga tahun terhenti sokongan daripada pihak pengeluar. Maka, coding asal Fictive sudah tidak padan lagi dengan coding Core terbaharu. Andai kata diri ini ada sekelumit kemahiran pengaturcaraan, bolehlah cuba-cuba tengok apa yang patut.

Lantaran ini, kita sebagai pemilik blog atau laman web kenalah rajin memantau. Perkara remeh jikalau blog atau laman web sekadar projek suka-suka. Namun, bahananya lebih besar buat peniaga internet. Perlu ditekankan, memilih WordPress theme jenis premium (berbayar) tidak semestinya menjamin penyelesaian. Ada sahaja pilihan percuma. Terutama sekali produk-produk keluaran Automattic, pasukan belakang tabir rasmi WordPress. Pilihan terhad, saya akui. Tetapi mantap dari segi kualiti buat produk berstatus percuma. Ironinya, Fictive juga salah satu daripada keluaran Automattic. Hmm…

Mahu tak mahu, rasa-rasanya saya perlu belajar asas pengaturcaraan CSS serba sedikit agar dapat menyelenggara sendiri masalah mendatang. Leceh juga sekejap-sekejap kena bertukar theme setiap kali masalah kompatibiliti timbul.

Apa sekalipun, buat masa ini saya terpaksa meneroka direktori WordPress dalam usaha memberi nafas baharu kepada laman rasmi MrFlowerman Studio. Antara WordPress theme popular yang tersenarai (bagi laman web jenis portfolio lukisan), saya terjumpa theme ini. Serba-salah pula hendak mencuba.

Adakah Blog Masih Relevan?

Blog Shah Ibrahim

Pendedahan terawal diri ini kepada dunia web log atau istilah rangginya, ‘blog’ adalah sekitar penghujung tahun satu pengajian di bumi Uncle Sam. Awal millenium, ramai pengguna internet segenerasi mula beralih dari Geocities yang malap ke platform Blogspot yang ceria. Tatkala budaya menulis blog sedang berkembang mekar, saya tergolong dalam kelompok pengguna pasif. Dengan kata lain, tukang baca.

Aspek paling menarik berkenaan dunia blogging di awal kemunculannya ialah bila mana ramai penulis cenderung mencurah perasaan secara mentah ke alam maya. Tiada tapisan. Tiada suntingan. Segalanya rambang. Seolah-olah wadah tersebut tidak boleh diakses oleh orang awam. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa banyaknya luahan pelik serta mengejutkan yang pernah saya jumpa. Impak kejutan pasti bertambah pabila para ‘penulisnya’ kita sendiri kenal.

Apa pun jua, pembaca tak wajar dipersalahkan. Internet is public domain. Jikalau tak mahu orang lain baca, seeloknya tulis dalam diari. Kemudian sorok bawah tilam. Segala pengalaman menskodeng secara maya ini akan saya ceritakan dengan lebih terperinci dalam sambungan Budak Meja Belakang, Life in the USA (judul sementara buat masa ini). Mohon sokongan serta doa kawan-kawan agar projek ini berjaya.

Sebelum mendaftar MrFlowerman Studio dengan SSM lagi, saya sudah terpanggil untuk melancar laman web. Satu cabang aktiviti yang belum pernah saya teroka seumur hidup sebab memang tak minat di samping buta IT. Kini, segalanya jauh lebih mudah dengan kewujudan pelbagai kaedah template seperti WordPress. Kadar web hosting pun semakin hari semakin kompetitif. Fuh, macam iklan Trivago pula.

Walaupun belum ada sebarang produk, resam di tanahair mendesak seseorang peniaga agar memiliki kad bisnes cantik berkilat serta laman web. Barulah masyarakat memandang tinggi. Kita pun bakal dilihat sebagai CEO yang serius malah disegani. Hendak tampak hebat lagi, bolehlah beli sijil PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Sepanjang tempoh laman web MrFlowerman Studio beroperasi, saya hanya sekadar memuat naik portfolio hasil seni lukis semata-mata. Belum pernah tergerak hati memuat naik sebarang entri bertulis. Tetapi, sejak akhir-akhir ini tiba-tiba rasa terpanggil pula. Sekurang-kurangnya, selaku arkib himpunan segala entri penulisan yang pernah dimuat naik ke FB (sebagai permulaan). Dari situ, tengoklah kemudiannya macam mana.

Sehubungan ini, saya ingin bertanya pendapat kawan-kawan yang berpengalaman, adakah blogging masih relevan pabila ramai lebih mengerumuni Facebook? Jika tak keberatan, ada tak yang sudi berkongsi alamat blog kalian (yang masih aktif) buat saya skodeng?

error: Content is protected !!