Sewaktu cabutan tahunan pemenang Sijil Simpanan Premium BSN, hadiah utama bernilai satu juta yang kita harapkan sentiasa menjadi habuan orang lain. Satu-satunya peluang kenaikan pangkat yang timbul di tempat kerja kita, tiba-tiba boleh terlepas pula ke tangan musuh ketat. Si Dia yang menjadi rebutan para pelajar sama batch dengan kita semasa zaman belajar di kampus universiti ditakdirkan bertemu jodoh dengan individu yang tidak disangka.
Pendek kata, asyik-asyik masuk angin keluar asap. Siapa tak kecewa? Namun, sedarkah kita bahawa kekecewaan ini sebenarnya berkait rapat dengan kecenderungan melihat diri sebagai pusat alam semesta? Hakikatnya, tidak semestinya kita watak utama dalam setiap adegan layar kehidupan yang ditempuhi. Malah, dalam cinta tiga segi pun kadang-kadang KITA sebenarnya orang ketiga (cuma tak sedar). Dengan kata lain, segalanya bergantung pada perspektif mata yang menilai. Selaku tuan empunya mata, tentu sekali kita ada bias dan prejudis. We deserve all the goodness in the world. Let all the badness fall on everyone else. Amboi, banyak cantik!
Tak dinafi, realiti ini sukar diterima oleh kebanyakan orang kerana tersangatlah pahit untuk ditelan. Saya sendiri tidak terkecuali. Proses mengubah diri sememangnya mengambil masa. Perlahan-lahan kita kayuh. Dalam pada itu, usahlah sampai terbabas. Jangan sampai tahap dalam mimpi tidur sendiri pun kita sekadar watak tambahan yang tak banyak dialog (bercakap dari pengalaman diri sendiri yang pernah terbabas).
Percayalah, kehidupan bakal menjadi jauh lebih tenang setelah mentaliti sempit ini diubah. Tuhan dah aturkan segalanya. Habuan semua dah tertulis.
Que sera sera, whatever will be will be.