6 April 2018. Tarikh pelancaran blog Coretan Sang Flowerman. Berbanding era 90-an dahulu, laman web dan blog kini dilancar secara senyap-senyap sahaja. Tak perlu jemput pak menteri datang potong riben.
Laman web rasmi MrFlowerman Studio sebenarnya sudah wujud lebih awal, iaitu enam tahun sebelum. Cuma laman tersebut sekadar portfolio hasil seni lukis dan conteng-conteng. Purata kunjungan pelawat pun boleh tahan memberangsangkan juga. Sekitar tiada orang setiap bulan.
Dengan kelahiran beberapa buah judul buku berbahasa kebangsaan tahun lalu, saya fikir perlu ada platform berasingan untuk berbicara segala hal berkaitan buku. Lagipun, laman portfolio MrFlowerman Studio sudah terlanjur dikerangka dalam bahasa Inggeris. Bercelaru nanti.
Maka lahirlah blog. OK, dari mana pula datangnya nama ‘Coretan Sang Flowerman’?
Buat pengetahuan kawan-kawan, itulah judul asal novel grafik pertama saya: Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Namun sewaktu permohonan ISBN, hati saya tiba-tiba berbelah bahagi. Selaku judul sebuah buku, istilah ‘coretan’ seakan berbaur nukilan rambang. Sedangkan buku tersebut merupakan catatan kembara saya di bumi asing. Catatan kembara? Hmm. Sedap juga bunyinya.
Hasil taakulan seorang diri sambil beratur menanti giliran untuk berurusan di kaunter ISBN Perpustakaan Negara, ‘Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman’ terus diangkat sebagai judul akhir. Borang diisi lantas diserah sebelum saya kembali semula ke JB dengan bas ekspres.
Mujur juga segala idea yang belum diguna pakai, saya tak pernah buang. Rugi! Lantaran itu, Coretan Sang Flowerman tadi masuk semula ke dalam bakul idea.
Beberapa tahun berlalu. Rambut atas kepala semakin berkurang. Saiz pinggang pula semakin bertambah walaupun hari-hari keluar berjogging.
Saya korek semula bakul idea. Ini ritual peribadi setiap kali ingin mendapatkan inspirasi buat projek terbaharu. Lebih spesifik lagi, buku apakah pula saya mahu tulis selepas terbitnya Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir (April 2018). Tatkala itulah saya terjumpa semula tiga patah perkataan pada secarik kertas.
Coretan.
Sang.
Flowerman.
Hati terus berkenan. Malah padan dengan blog yang berusia hampir mencecah seminggu pada waktu itu.
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Alhamdulillah, hari ini genap 100 blog post. Terima kasih buat kalian yang sudi singgah. Berdasarkan statistik WordPress, semakin hari pengunjung pun semakin bertambah. Lega juga hati ini. Tidaklah sekadar blog syok sendiri.
Buat kawan-kawan yang baru mengenali penulisan saya, segala perkongsian lampau di media sosial (FB, Twitter, IG dan Pinterest) saya himpunkan di blog. Oleh itu, tak perlulah kalian tercari-cari semula entri-entri silam di FB (yang cenderung tenggelam entah ke mana). Segalanya telah saya arkibkan secara tersusun di blog.
Apakah yang ada di blog Coretan Sang Flowerman?
-Babak-babak terbuang daripada buku sudah terbit.
-Status perkembangan terkini projek-projek akan datang.
-Di sebalik tabir proses pembikinan setiap karya.
-Perkongsian hal-hal teknikal.
-Senarai karya dan cara-cara membeli produk MrFlowerman Studio.
-BONUS: Entri sulit yang saya tak kongsi di FB. Nukilan-nukilan ini sengaja saya sorok daripada menu navigasi. Pandai-pandailah kalian cari. Rezeki buat sesiapa yang terjumpa.
InsyaAllah, elemen meroyan hal peribadi saya cuba bataskan pada kadar minima. 😁
Saya ada blog. Tetapi saya bukan blogger. Jemputlah teroka.
Next milestone… 500 blog posts. 💪💪