Lorong Belakang Fakulti

Lorong belakang blok kejuruteraan University of Leeds. Foto dirakam sekitar penghujung November 2011. Musim sejuk sudah menjelma. Cuma salji sahaja yang belum tiba di bumi West Yorkshire.

Tatkala berjalan menyusuri lorong ini dari pusat kampus menuju ke pinggir, fakulti kejuruteraan elektronik (EE) yang pertama sekali akan ditemui. Di sebelah kiri melepasi tembok tinggi berpagar itulah letaknya Woodhouse Cemetery, tanah kubur yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Lorong tersorok di belakang bangunan ini sunyi. Sekali-sekala sahaja orang berlalu-lalang. Kenderaan yang dibenarkan berlalu pun setakat kereta pensyarah serta trak penghantaran berjadual seperti pembekal gas dan bahan kimia kegunaan fakulti.

Jikalau di Malaysia, lokasi ini pantas menjadi port lepak merokok. Cuma mengundang nahas memandangkan di sini tersimpannya segala tangki dan silinder gas buat kegunaan makmal-makmal penyelidikan.

Oh ya, himpunan tangki serta silinder yang dimaksudkan ini terselindung di sebalik tong ro-ro biru dalam foto. Secara kebetulan, aktiviti perluasan fakulti kami sedang giat berlangsung di persimpangan cerita.

Construction bukan sebarang construction. Kerja-kerja pembinaan berskala besar sampai tahap kami warga fakulti EE terpaksa mengosongkan ofis untuk menumpang sementara waktu di blok Kejuruteraan Civil dan Bahan. Situasi leceh buat diri ini secara peribadi yang sedang sibuk dengan persiapan viva akhir. Adoi. Habis berterabur buku-buku nota dan fail data fizikal.

Nampak tak langsir bidai betul-betul di sebelah kanan tong ro-ro? Di sebalik tingkap tersebut letaknya lobi cleanroom, makmal pemprosesan semikonduktor. Salah satu fasiliti terbaik di benua Eropah.

Saya berpeluang menjadi salah seorang tenaga pelatih sambilan di situ. Ajar bebudak undergrad. Ajar bebudak masters. Latih calon-calon PhD tahun satu. Sekali-sekala, kena buat demonstrasi untuk pelawat dari luar. Demonstrasi sains. Bukan demonstrasi bersepanduk.

Bayaran per jam pun boleh tahan. Tiga kali ganda daripada apa yang saya peroleh mencuci jamban pada sebelah malam.

Sebelum memulakan syif mengajar, di lorong damai inilah saya lepak menenangkan fikiran. Belek nota. Belek manual. Bertemankan udara segar dan kicauan burung. Menerusi cermin tingkap dua hala, akan saya pantau jumlah pelajar yang terkumpul di dalam. Cukup korum, baru saya masuk.

Boleh tahan ramai awek-awek undergrad dalam kelas-kelas semikonduktor. Berbagai bangsa dan latar belakang. Tidaklah menghairankan sangat kerana fakulti kami gigih mempromosi bidang kejuruteraan kepada golongan wanita. Malah, banyak insentif khas ditawarkan seperti biasiswa khusus serta anugerah penghargaan kecemerlangan. Semuanya eksklusif buat kelompok hawa. Tak dinafi, sebagai pelajar lelaki saya cemburu juga.

Betapa dahsyatnya kesungguhan universiti mahu memecah monopoli bidang yang lazimnya dipenuhi lelaki. Sesuatu yang murni, pada hemat saya. Sebagai bonus, kami yang lelaki pun dapatlah mencuci mata. Tidaklah berhari-hari hanya melihat mesin dan wajah bermisai semata-mata.

Sebarang komen/pertanyaan?