DC (Detective Comics) merupakan pesaing utama Marvel Comics di dunia sebelah Barat. Sewaktu membesar dahulu, saya lebih banyak membaca karya-karya terbitan Marvel berbanding DC. Warna ceria. Paparan aksi menarik. Kadang-kadang terselit unsur humor. The way a comic is supposed to be.
Secara am, daya tarikan karya-karya terbitan DC pada zaman tersebut kurang memanggil buat golongan pembaca kanak-kanak. Naratif panjang (banyak perkataan). Lukisan lebih abstrak. Tona warna suram. Pendek kata, aura serius. Identiti yang pada saya sudah sebati dengan DC Comics sehingga ke hari ini. Malah, seingat diri (berdasarkan memori membelek komik-komik Batman di Johore Central Store sekitar hujung 80-an), Batman lebih banyak bersembang berbanding berlawan. Bosan!
Tak dinafi, Superman dan Batman antara dua watak utama DC yang dikenali umum meskipun dalam kalangan bukan peminat komik. Seorang dengan topeng bertanduk. Seorang lagi pakai seluar dalam di luar. Nenek saya pun boleh cam.
Dalam dunia DC, kedua-dua ikon tersebut berpengkalan di dua bandar berbeza. Superman di Metropolis. Batman di Gotham City. Di sebalik perwatakan adiwira, masing-masing ada kerjaya hakiki. Clark Kent sebagai wartawan. Bruce Wayne… urm… tak perlu kerja pun sebenarnya sebab dia pewaris kemewahan mak bapak. Sudah berharta pun dia tetap perlu bawa imej ‘badboy’ untuk memikat wanita. Tak faham saya.
Tidak cukup sekadar bertopeng, Bruce Wayne siap memilih untuk tukar suara selaku ikhtiar tambahan mengalis identiti tatkala menentang jenayah. Batman versi Ben Affleck guna teknologi peranti ubah suara. Versi Christian Bale pula sanggup menyeksa diri buat suara serak macam iklan Strepsils. Menariknya, Superman hanya perlu ubah gaya sikat rambut dan buang cermin mata.
Dari sini tidak keterlaluan jika kita simpulkan yang tahap IQ warga Metropolis barangkali lebih rendah berbanding penduduk Gotham.