Novel Salina Karya A Samad Said

Novel Salina Karya A Samad Said
Setelah diulang cetak oleh beberapa penerbit berbeza, saya pun tak pasti novel Salina sebenarnya ada berapa banyak versi. Antara karya terawal sasterawan negara, A Samad Said. Ini edisi ulang tahun ke-60. Terbitan Helmy Samad Publications.
Edisi terjemahan Inggeris pun ada. Berdasarkan saranan beberapa orang teman, hasil kerja Lalita Sinha bagi pihak ITBM disifatkan sebagai edisi terjemahan terbaik. Sekiranya stok masih wujud, saya berazam mencari.
Sejak zaman sekolah lagi saya dah perasan kewujudan Salina dan teringin membaca. Dari kaca mata seorang budak, gerun juga melihat ketebalannya. Buku teks sekolah menjadi prioriti pada waktu itu. Lagipun, saya takut mak marah sebab baca buku tentang pelacur. Maka, judul klasik ini kekal lama berada dalam wish list.
Bercakap tentang pelacur, Salina membuatkan kita menung panjang memikir sejauh manakah dosa silam akan terus menghantui seseorang. Cerita ini berlatar era 50-an. Hanya buah mulut orang menjadi mekanisma sebaran aib. Perlahan-lahan, gosip akan pudar ditelan masa. Berbeza sungguh dengan kehidupan moden zaman kita sekarang. Segala perkara lekas viral dan bersifat kekal di internet.
Hairan juga mengapa karya ini belum pernah diadaptasi menjadi filem atau siri TV? Saya perasan ada satu filem berjudul Salina keluar pada tahun 2021. Tapi rupa-rupanya, itu cerita seram yang tiada kaitan dengan novel yang dimaksudkan.
error: Content is protected !!