Epistolary novel secara tradisinya merujuk kepada format buku yang berkonsep himpunan surat atau dokumen. Makna kata, naratif dirungkai secara komunikasi surat. Pembaca seakan-akan berpeluang mengakses siri interaksi sulit sesama watak-watak di dalam sesebuah novel. Novel klasik Dracula terbitan 1897 juga dikerangka sebegini. Barangkali suatu pendekatan aneh pada zaman tersebut.
Cuma dalam konteks moden, saya rasa epistolary tidak lagi terikat kepada komunikasi surat semata-mata. Malah kini wajar merangkumi format e-mel, diari individu, jurnal akademik serta laporan berita. Walau bagaimanapun, topik pengkelasan ini kekal kontroversi. Kelompok ‘purist’ masih mempertahan format surat secara eksklusif selaku syarat.
Apa pun jua, format epistolary ternyata berkesan untuk novel bergenre horror. Cerita yang sedang kita hayati ibarat perkongsian sebenar pengalaman peribadi seseorang yang seeloknya kekal rahsia. Gimik ini menjadikan cerita bertambah ‘real’. Dalam pada itu, Dracula bukanlah karya berformat epistolary yang pertama saya hadam.
Sebaliknya novel ‘84 Charing Cross Road’. Karya Helene Hanff (terbit era 70-an kalau tak silap). Cuma novel ini bukanlah kisah hantu. Tetapi interaksi surat di antara dua tokoh industri penerbitan. Selama 20 tahun, hubungan profesional mereka perlahan-lahan berputik ke arah persahabatan. Buku ini saya pinjam dari perpustakaan sewaktu zaman universiti. Saya tiada naskhah peribadi.
Berbalik kepada epistolary seram, saya dah baca novel The Troop (Nick Cutter) serta novel Carrie (Stephen King) jauh sebelum membaca Dracula (sebab niat asyik tertangguh). Selama menonton pelbagai versi filem Dracula, tak sangka pula novel asal rupa-rupanya berformat epistolary.
Naskhah paparan foto ialah versi yang ada dalam simpanan saya (beli di Popular Bookstore beberapa tahun lepas). Sengaja saya alas kertas merah. Warna darah sinonim dengan Dracula. Jikalau anda penggemar genre horror, novel ini berbaloi masuk koleksi. Walaupun tebal, harga di pasaran tempatan selalunya tak cecah RM10. Dan anda juga harus bersabar menghadap gaya bahasa klasik.
Umum tahu, Dracula berlambak-lambak versi sebab dah bebas daripada perlindungan hak cipta. Malah, harta intelek ini lebih awal memasuki public domain berbanding karya-karya klasik lain seperti Jungle Book dan Sherlock Holmes. Rasa-rasanya, terjemahan Melayu novel Dracula pun dah wujud. Teringin juga nak cari.
Setiap kali mengulang baca novel Dracula, saya terbayang-bayang bagaimana agaknya reaksi manusia bertuah yang pertama kali berpeluang membaca novel ini saat terbit lebih seabad lalu. Kerana belum pernah wujud karya asli seumpama ini pada zaman itu. Apatah lagi, format epistolary juga belum resam. Pasti ramai yang cemas dan beranggapan Dracula benar-benar wujud dan sedang bermaharajalela serata England. Sehingga masing-masing takut keluar rumah. Haha.
Memang kena baca Dracula versi novel untuk benar-benar merasai keseramannya. Segala adaptasi filem setakat ini pada saya kurang berjaya menangkap ‘feeling’ seram. Bukan kerana kelemahan pembikin filem. Tetapi kelemahan medium itu sendiri. Untuk fiksyen seram, kekuatan filem terletak pada elemen ‘jump-scare’ sementara kekuatan novel pula terletak pada dread/terror build up.
Secara peribadi, saya merasakan perjalanan Jonathan Harker menuju ke istana Dracula berganda lebih cemas berbanding detik kemunculan makhluk keji tersebut. Ini salah satu contoh terbaik ‘dread/terror build up’ yang tak ramai penulis seram mampu kuasai (termasuk saya sendiri). Sebagai pembaca, kita dah resah membayangkan binasa yang menanti.
Sekiranya anda meminati Dracula, saya rekomen sangat-sangat Salem’s Lot. Saranan ini untuk versi novel tebal. Bukan adaptasi filem yang terlalu ringkas. Benih inspirasi karya Stephen King ini bermula dengan persoalan ‘what if’. Dari markas asal Dracula di Eropah Timur, bagaimana jikalau si makhluk keji mendarat di Amerika dan bukannya England?
Oh ya… Lupa nak cakap. Novel Salem’s Lot tidak mengguna pakai format epistolary.