Rumah Tak Mesti Bahagia Karya Arif Zulkifli

Novel Rumah Tak Mesti Bahagia Karya Arif Zulkifli

Protagonis utama bernama Ain.

Ain yang tidak ngam dengan kaum kerabatnya lantas terdorong untuk merapati kelompok asing tatkala dia berkhidmat di sebuah premis jagaan warga emas.

Di situ, Ain berkenalan dengan Pak Yazid (penghuni yang bengis dan serba cerewet). Perlahan-lahan, kemesraan berputik sesama mereka menerusi aktiviti seni origami.

Usah tertipu dengan nama. Watak Ain ini seorang lelaki. Anak muda yang berhadapan dengan konflik kecelaruan seksualiti. Topik sensitif yang jarang dibicara dalam novel Melayu. Serta-merta saya terimbau karya fiksyen penulis Muharikah yang pernah dibaca beberapa tahun lalu. Juga terbitan Iman Publication. Judulnya STIGMA kalau tak silap (isu kecelaruan seksualiti dari sudut pandang watak perempuan pula).

Berbalik kepada Rumah Tak Mesti Bahagia, saya fikir elemen LGBT sebenarnya suatu plot twist besar. Cuma sekarang bukan lagi rahsia. Gara-gara amaran cetus yang sering diangkat oleh ramai pembaca tatkala mengulas judul popular ini. Makna kata, saya pun dah terlanjur tahu sebelum mula membaca.

Jikalau anda menggemari karya-karya jenis found family trope seperti novel A Man Called Ove (Fredrik Backman), Rumah Tak Mesti Bahagia nukilan Arif Zulkifli tentu menepati selera.

Di tangan saya ini cetakan pertama tahun 2023. Semaklum saya, judul ini dah cecah cetakan ke-12.

Rumah Tak Mesti Bahagia malah mendorong saya yang bertangan keras untuk mencuba seni origami. Ini cubaan pertama saya buat ikan. Cantik tak?

Karya-Karya Slice of Life Iman Publications

Iman Publication Slice of Life
Berehat sejenak daripada membaca novel-novel horror/thriller. Saya sedang maraton beberapa judul terbitan Iman Publication. Teringin menyelami ‘house style’ rumah penerbitan ini. Terutama sekali bagi karya-karya bergenre ‘slice of life’.
Baru saja selesai Terima Kasih, Luka. Karya pertama Hasif Rayyan yang saya baca. Saya rasa judul ini berkategori YA (young adult).
Buku berkisar hubungan rapuh sekeluarga tiga beranak. Seorang bapa (Karim) yang merupakan anggota polis, Poji (watak utama) serta Naura si bongsu yang seakan halimunan di mata Karim atas sebab tertentu yang akan dirungkai sepanjang naratif.
Konflik utama meletus apabila Naura tiba-tiba hilang pada suatu hari. Lantas membawa kepada spekulasi yang si gadis lari dari rumah. Turut memaparkan subplot ‘crush’ Poji terhadap seorang gadis beberapa tahun lebih senior, bernama Rahayu. Si Rahayu ada rahsia besar.
Emosi pasti turun naik tatkala menyaksi interaksi sesama ahli keluarga Poji. Boleh dikatakan 24-jam hanya berkelahi. Watak paling best bagi saya ialah Ijat, kawan baik Poji. Sekaligus memain peranan sebagai comic relief. Walhal, Ijat hanyalah watak sampingan.
Keseluruhan cerita berlatar Kelantan serta melibatkan watak-watak orang sana. Cuma saya langsung tak jangka pula yang dialog akan sarat dengan dialek setempat. Selaku orang luar yang tak mahir, banyak yang saya kurang faham. Terpaksa meneka maksud ayat menerusi konteks aksi.
Penutup cerita Terima Kasih, Luka menyajikan unsur ‘healing’ serta perasaan ‘feel good’ buat kalian yang mencari buku-buku dengan vibe sebegini. Saya tak menyesal baca. Malah terdorong untuk mencari karya-karya lain tuan penulis.
On to the next book:
Biar Sembuh Luka Semalam (karya Aidil Ghazali)
ATAU
Sampai Masa, Benci Jadi Rindu (karya Aiden Adi Syah)
Payah juga hendak memilih. Kedua-duanya sama kuat memanggil.
error: Content is protected !!