Ini edisi terbitan 2014 Lejen Press dalam koleksi saya. Tak pasti jikalau wujud edisi lebih moden. Awek Chuck Taylor, karya Nami Cob Nobbler merupakan salah satu judul ikonik dari fasa kegemilangan buku-buku indie di Malaysia.
Zaman yang sinonim dengan promo ‘3 for RM50’ di reruai jualan pesta buku. Zaman Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M).
Selaku konsumer, saya cukup rindu zaman tersebut. Aura dunia perbukuan Malaysia kala itu lain macam berbanding sekarang. Entah ke mana agaknya magis menghilang.
Awek Chuck Taylor sebuah kisah cinta. Sebenarnya, adik perempuan saya yang rekomen. Bukti betapa judul ini memang fenomena buat kaum hawa.
Saat pertama kali membaca dahulu, saya mampu relate dengan watak hero bernama Hafiz kerana jiwa sendiri juga sedang kecamuk dengan soal hati.
Anyway…
Tahun berganti tahun, buku-buku indie sering menjadi sasaran kritikan. Tatabahasa caca marba lah. Terlalu vulgar lah. Tiada mesej lah. Ada kalanya memang berasas serta munasabah. Namun, itu diskusi untuk hari lain.
Biarpun ramai memandang lekeh, ada hakikat yang tak dapat kita nafi. Era buku indie seakan gerbang yang membuka jalan kepada generasi penulis baharu menyusup masuk arus perdana. Termasuklah saya sendiri. Umum tahu betapa sukarnya memasuki mainstream. Ruang terbatas. Standard tinggi. Gate keepers juga teramat selektif.
Selain melahirkan penulis pelapis, era buku indie juga telah berjaya menyemai kembali minat terhadap bahan bacaan berbahasa Melayu. Laksana gateway drug menuju ketagihan membaca. Kesan positifnya dapat dilihat pada hari ini.
PS: Lepas membaca, barulah saya tahu yang Chuck Taylor rupa-rupanya jenama kasut. Walhal, pembayangnya jelas ketara menerusi rekaan kulit buku. Haha. Apakan daya, saya hanyalah seorang Pakwe Selipar Asadi.