Zara & Bodington Hall

Sepanjang minggu terakhir bulan Oktober 2007, seorang pelajar Masters (by research) dari Pakistan memerlukan bimbingan pengendalian mesin di makmal pemprosesan semikonduktor. Kamran namanya. Umur kami sebaya. Saya pula baru genap sebulan memulakan pengajian pasca siswazah. Masih berstatus provisional PhD (calon sementara).
Sejurus mendapat restu daripada penyelia masing-masing, saya membantu Kamran apa yang patut di Wolfson Nanotechnology Cleanroom. Fasa pertama projeknya berakhir dengan jaya. Banyak data berguna untuk penerbitan jurnal ilmiah. Saya tumpang gembira (walaupun tak dapat apa-apa manfaat).
Pada hari Sabtu hujung minggu tersebut, tiba-tiba Kamran menelefon saya awal pagi. Matahari pun belum naik. Panggilan masuk ini sedikit menjengkelkan kerana dah jadi amalan saya untuk sambung tidur selepas subuh setiap hujung minggu. Maklum sajalah, mental dan fizikal sama-sama letih.
Dari hujung corong telefon, Kamran menjemput saya makan tengahari di hostelnya (Bodington Hall). Selaku seorang subwarden di sana, sewa bulanan Kamran diberi subsidi. Sebagai bonus, tiga kali sehari dia boleh makan percuma di kantin hostel.
Rezeki jangan ditolak. Saya menaiki bas nombor 95 ke hentian terakhir, iaitu Bodington Hall.
Sebagaimana dijanji, Kamran sudahpun menunggu saya di hentian bas. Mula-mula, dia membawa saya mengelilingi kompaun hostel. Ada bilik TV umum (menonton TV di UK memerlukan lesen). Ada gelanggang skuash. Ada meja pingpong. Ada padang ragbi. Ada bilik snuker. Fuh! Kagum saya. Fasiliti sebegini satu habuk pun tiada di St. Mark’s Residences. Patutlah sewa hostel saya paling murah.
Sekurang-kurangnya, para penghuni dibenarkan memasak di hostel saya (dapur kongsi). Sedangkan aktiviti ini dilarang sama sekali di Bodington Hall.
Usai meneroka, kami beransur pula ke kantin. Makanan halal ada disediakan. Menu ala-ala India/Pakistan. Kaunter berasingan daripada seksyen tidak halal. Saya masih ingat hidangan tengah hari itu berupa nasi pilau dengan lauk jenis masala. Masala tiada masalah buat saya. Rasa macam nak tambah 500 kali. Tetapi segan pula kerana orang belanja (hidangan ala-carte menggunakan kredit bulanan Kamran sebagai penghuni).
Oh, ya. Sekadar trivia: kantin Bodington Hall juga terbuka kepada orang luar. Tidak terbatas kepada penghuni tetap. Namun memandangkan lokasinya agak terperosok di hujung dunia, siapalah yang sanggup datang dari jauh ke sini semata-mata untuk makan? Sebagaimana saya katakan tadi, hostel ini hentian terakhir bagi salah satu servis bas dari bandar Leeds.
Sedang kami berdua ralit menjamu selera, seorang gadis tinggi lampai mampir lantas menegur Kamran. Setelah mereka berbasa-basi dalam bahasa Urdu, Kamran memperkenalkan Zara kepada saya. Rambut si gadis hitam berbalut selendang. Lurus dan panjang mencecah punggung. Wajah tanpa secalit mekap. Sekadar bercelak comot. Tambah menyerlahkan sepasang biji mata berwarna kelabu.
Zara seorang gadis Pashtun (Afghanistan) tetapi keluarganya sudah lama berhijrah ke Pakistan (saya lupa nama daerah yang disebutnya). Dia sedang mengikuti kursus perguruan di School of Education (Leeds). Keramahannya membuatkan saya jadi tak senang duduk. Kupu-kupu mulalah berterbangan dalam perut walaupun dah penuh terisi dengan nasi pilau.
Seumur hidup, itu kali pertama saya dengar perkataan Pashtun. Tahun berikutnya, barulah nama Malala Yousafzai mula viral serata dunia. Orang Pashtun juga.
Setelah berborak panjang, Zara meminta izin untuk beredar ke bilik. Katanya, baru nak mandi. Aduhai, belum mandi pun dah sempurna begini?! Bak kata AR Tompel dalam filem Nasib Do Re Mi, “Impossible!”
Habis makan, saya mengorak langkah kembali ke hostel. Sebentar lagi, saya perlu bersiap pula untuk syif over-time kerja cleaner di bandar. Kamran ikut saya naik bas menuju ke kampus. Dia tertinggal buku nota penting di makmal. Sewaktu kami sama-sama menunggu bas di hentian Bodington, saya memberanikan diri untuk bertanya soalan cepumas.
“Err… Is Zara your girlfriend?”
Kata Kamran, bukan. Si gadis hanyalah teman sekampungnya. Malah, Kamran sendiri dah ada buah hati yang sedang menunggunya habis belajar.
Mendengar jawapan ini, saya tersenyum lebar selama beberapa hari. Seolah-olah ada harapan. Haha. Biasalah, jejaka tak sedar diri.
Apa-apa pun, ada hikmah juga episod pendek bersama Kamran ini sebenarnya. Kerana perlahan-lahan membuka jalan buat saya menjadi pelatih bergaji di makmal clean room. Kebolehan saya mengajar diyakini oleh pengurus makmal. Dan pelajar-pelajar yang dilatih pun selesa dengan saya yang tak garang.
Meskipun stres melayan kerenah pelajar yang pelbagai ragam, kadar bayarannya berganda lebih ‘sedap’ berbanding kerja tukang cuci. Dalam pada itu, kerja cleaner saya tetap tak mahu lepaskan. Ada ketenangan aneh tatkala mencuci jamban yang sukar disangkal.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!