You Are Not Everyone’s Cup of Tea

Setiap sajian teh boleh dibancuh menerusi pelbagai resipi. Uncang sahaja ada beraneka jenama untuk dipilih, hasil kutipan daun teh daripada pelbagai sumber. Tempoh masa uncang terperam di dalam air panas akan menghasilkan kepekatan teh berbeza-beza.

Ada orang suka manis gula. Ada orang suka manis madu. Tak kurang juga yang gemar versi pahit (atas alasan selera lidah mahupun faktor kesihatan).

Sesetengah orang memilih untuk tambah susu. Ada pula yang membiarkan susu sekadar terbenam di dasar cawan tanpa dikacau. Tak kurang juga kelompok yang ‘tarik kaw kaw’ sehingga permukaan gelas berbusa. All which brings us to the point…

“You are not everyone’s cup of tea.”

Sekiranya anda sekapal dengan saya yang langsung tak gemar minum teh, ungkapan di atas tetap relevan. Saya dah pernah cuba teguk. Tetapi tekak sukar menelan. Dalam hal ini, teh tak bersalah. Dan saya pun tiada kewajiban untuk memaksa diri.

Pertama kali mendengar ungkapan “you are not everyone’s cup of tea” semasa bersekolah dahulu, saya terus faham. Ini bukan soal mahir Bahasa Inggeris. Saya fikir metaforanya cukup ketara. Sekaligus menjelaskan beberapa hal yang sedang menimpa diri pada waktu itu. Terutama sekali dalam bab membuat kawan. Mengapakah ramai sangat yang tidak sudi?

Tak kenal, maka tak cinta. Sudah kenal, belum tentu suka. Suka bisa bertukar rupa. Sebab hati manusia sukar diduga.

Wujudkah formula mujarab yang terjamin membuatkan orang suka kita, anda bertanya? Tentulah ada. Namanya minyak senyonyong. Haha. Cuma saya tak rekomen.

Baiklah. Ilmu hitam tolak ke tepi, pokoknya kita tak mampu buat semua orang sukakan kita. Dan dalam kebanyakan situasi, suka atau tak suka tidak memerlukan sebarang penjelasan lanjut. It is what it is. Tak suka sekadar tak suka, itu hak individu.

Ini baru perihal berkawan. Diskusi ‘cup of tea’ dalam bicara soal hati dan perasaan sahaja pantas meleret panjang berjela tanpa ada kesudahan. Dari hal semudah selera paras rupa sehinggalah ke penilaian lebih abstrak seperti gerak naluri serta bisikan hati, masing-masing pasti ada kriteria spesifik yang dicari.

Teringat saya pada suatu pengalaman sewaktu zaman belajar dahulu. Seorang akak senior tampil mengatakan, “Akak berkenan sangatlah dengan Shah.” Eh, kalian jangan salah sangka pula. Akak ini sudah bersuami. Hajat di hati beliau adalah untuk menjodohkan saya dengan adik sepupu. Atau dalam istilah saintifiknya, ‘kenen-mengkenen’.

Usia saya sekitar pertengahan 20-an di persimpangan cerita. Sebagai lelaki yang sedang belajar dan kewangan belum kukuh, sejujurnya tekanan untuk berumah tangga itu masih jauh. Dalam pada itu, apa salah pergi ke langkah seterusnya andai keserasian telah wujud. Begitulah fikiran saya pada waktu tersebut.

Saya kata, “OK.” Lantas mengirim foto paling hensem dalam simpanan (hensem di mata saya lah). Akak tadi masih bertindak selaku orang tengah. Oh perlu dijelaskan, masa itu Facebook baru lahir. Masih ramai yang belum jadi pengguna. Termasuk saya.

Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Namun, tiada sebarang maklum balas. Maka timbullah rasa tertanya-tanya. Sekadar ingin tahu tanpa menaruh harapan tinggi, saya memberanikan diri.

“Kak, adik sepupu akak hari tu apa khabar?” (kebetulan, ini sahaja ilham spontan yang timbul sebagai buah modal mukadimah bicara)

Dengan riak wajah bersalah, beliau menjawab, “Errr… Sepupu akak tu rupa-rupanya minat yang Chinese-look. Mamak-look dia tak berapa berkenan. Akak pun serba salah nak kasi tau Shah. Takut Shah kecik ati.”

“Eh takpe Kak. Saya OK.” Balas diri ini diiringi senyuman badut paling lebar. Selaku insan yang berjiwa kental, saya tidaklah terasa hati sangat. Sekadar menangis 3 hari 3 malam sambil mendengar lagu-lagu Celine Dion. Kemudian, pulihlah diri. What more can I do? I was not her cup of tea. And it’s not her fault.

Setelah menjadi memori dan masa pun berlalu, memang lucu setiap kali dikenang kembali. Kenangan yang telahpun melangkaui usia lebih sedekad. How time surely flies!

Bagaimanalah kesudahan adik sepupu akak tadi? Sudah kahwin gamaknya. Mungkin juga sudah berderet-deret cahaya mata. Segan pula hendak bertanya khabar. Apa pun jua, saya doakan yang baik-baik sahaja. Buat dia. Buat saya.

And I sincerely hope that she has found her cup of Chinese tea.

Sebarang komen/pertanyaan?