Pernah suatu ketika, seorang akak senior mahu ‘kenen’ saya dengan adik sepupunya. Cuma akak senior ini terlanjur memberi foto saya kepada si gadis, SEBELUM meminta izin tuan empunya badan.
Ringkas cerita, si gadis reject saya sebab dia mencari calon yang Korean-look. Lebih perit lagi, maklum balas ini saya terima daripada si akak senior (selaku perantara).
Apakan daya, itu hak si gadis. Semoga dia temui kebahagiaan yang dicari. Di persimpangan cerita, saya pun move on.
Beberapa tahun berlalu. Tiba-tiba terkenang semula memori tersebut. Ungkapan ‘Korean-look’ kembali membelenggui diri. Lantas saya termenung panjang memikirkan suatu perkara:
Apabila seseorang menyebut Korean-look, adakah wajah lelaki marhaen Korea yang dimaksudkan? Atau wajah plastik selebriti Korea selepas surgeri? Hmm…
Anyway…
Bercakap tentang apa jua melibatkan Korea, saya sebenarnya tak minat. Termasuklah budaya, lenggok bahasa, irama muzik, filem, lambakan siri TV mahupun resipi masakan mereka.
Bau kimchi saya tak lalu. Squid Games musim pertama (yang jadi fenomena global) saya hadap setakat mengelak FOMO. Hajat melancong ke Korea Selatan pun tak pernah masuk dalam wish list.
Tak suka bukanlah bermakna benci. Selera manusia berbeza. Saya hormat saja citarasa kelompok yang minat.
Tapi entah mengapa, Winter Sonata satu-satunya siri Korea yang saya berjaya khatam sehingga habis. Cerita murung ini malah diulang tonton beberapa kali. Lagu temanya yang berhantu pun saya tak jemu-jemu dengar. Maksud saya, versi asal. Bukan versi Hazami. Dan hanya ini mp3 lagu Korea yang saya ada dalam koleksi peribadi.
Meskipun segan hendak mengaku, saya pernah juga berhajat buat rambut gaya Bae Yong-joon. Tapi niat terbatal lepas saya tenung muka sendiri di cermin.


