Windy Oklahoma

Tahun 2003. Dari Indiana, kami merentas Illinois serta Missouri untuk ke Oklahoma. Oklahoma dijejak awal pagi Jumaat, 15 Ogos setelah 12 jam memandu tanpa henti.

Berpandukan buku peta, ini sudah separuh jalan ke sasaran pertama kami iaitu Arizona. Makna kata, ada 12 jam lagi sebelum tiba di sana. Seeloknya beri peluang enjin kereta berehat. Kami singgah di pam minyak Laguna Superette tepi lebuhraya untuk isi petrol, tambah stok jajan, buang air mana yang patut lantas berwuduk.

Kebetulan ada sebuah pondok berteduh berhampiran. Ini menjadi markas rehat, solat subuh dan sarapan pagi. Meskipun pondok tersebut sedikit tersorok, kami tetap bersolat penuh hati-hati. Mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat penangan serangan 9-11, tak berani kami hendak berjemaah. Ketara sangat nanti. Jadi, masing-masing makan dan solat secara bergilir.

Juadah bekal kami berupa nasi putih lauk ayam goreng. Sos cili dan tomato dari botol menjadi penambah rasa. Ayam dan nasi, Pa yang masak. Seriau juga kami duduk di satu-satunya pondok berteduh dikelilingi tanah lapang sebab kilat petir sabung-menyabung tanpa henti. Nasib baik hari tak hujan.

Sebarang komen/pertanyaan?