Wes Mangan Urong

Usahasama penulis bernama Fikri (AKA Fikri Kacak) serta Kartunis Ahm Ahmad. Terbitan Moque Press yang berkonsep indie production. Tiada ISBN segala bagai. Pembukuan sekadar menggunakan dawai kokot. Barang rare. Besar kemungkinan sudah tiada dalam pasaran.

Judul ini saya beli secara terus daripada Tuan Fikri sewaktu Pesta Konvo UTM Skudai (Oktober 2013).

Terus terang kata, saya sebenarnya tiada sebarang niat pun hendak mencari buku. Sekadar meneman adik-adik perempuan saya yang berhajat meneroka reruai jualan. Mereka sibuk usyar tudung. Saya ambil kesempatan usyar marka-marka UTM. Boleh tahan juga gadis-gadis zon selatan. Gerek, seh!

Kata para bijak pandai, aktiviti menjamu mata lebih afdal dilaksanakan seorang diri. Maka saya pun berpecahlah daripada adik-adik. Mereka jalan bertiga. Saya terbang solo. Puas berpusing kelak, pakat bertemu semula di parkir. Setel.

Kala meneroka tapak pesta, saya terjumpa sebuah reruai bernama Gobok Buku. Yup, gobok. You can’t get any more Johorer than this. Kebetulan pula, giliran Tuan Fikri Kacak menjaga booth. Kami pun berkenalan. Tuan Fikri memang kacak orangnya. Sorry ladies, he’s already taken.

Sejurus perkenalan ini, saya mula menjejak karya-karya lain hasil tangan penulis. Terutama sekali siri popular beliau ‘Madame Bokary’. Himpunan anekdot lucu kisah-kisah benar melibatkan tuan penulis bersama ibu tersayang.

Oh ya. Di persimpangan cerita, buku Madame Bokary 1 pun belum siap terbit sebenarnya. Buku sulung saya pula baru hendak mencecah usia setahun dalam pasaran. Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman. Produksi indie juga. Maka, bolehlah dikatakan yang saya dan Tuan Fikri sama-sama masih ‘hijau’ dalam industri penulisan tanahair pada waktu itu. Still a long way to go, for both of us.

Daripada Wes Mangan Urong jugalah saya sedar akan kewujudan seorang kartunis hebat bernama Ahm Ahmad. Dan mula mengumpul hasil karya beliau. Cuma sehingga kini kami belum ada rezeki bersua muka.

Meskipun kartun-kartun beliau tetap mengekalkan konsep satu panel, stroke lukisan dalam Wes Mangan Urong (seingat saya) sedikit berbeza dengan gaya Birat yang umum kenali hari ini. Evolusi gaya merupakan suatu yang normal.

Eh, sekejap. Pasti ada yang tertanya-tanya, Wes Mangan Urong itu binatang apa?

Bahasa Jawa, kawan-kawan. Terjemahannya lebih kurang ialah “Dah makan?” Chewah, macam pandai pula saya. Padahal saya bertanya terus kepada tuan penulis saat membeli. Walaupun lama juga saya membesar di bumi Johor dan makan tempe hari-hari, sayang sekali penguasaan bahasa Jawa diri ini tetap nihil.

Mengharapkan gerak hati semata-mata, pada mulanya saya fikir Wes Mangan Urong ini barangkali nama kugiran heavy metal dari Indonesia.

Ash to ash. Dust to dust. Fade to black. Wes Mangan Urong. Yay-Yeargghhhh!!!! (Jerit gaya Bandi Amuk… yang juga orang Johor)

Sebarang komen/pertanyaan?