Wallyball

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 4)

Tahun 2003. Penghujung semester musim bunga.

Kala memberus gigi awal pagi pada suatu hari, terasa sayu hati ini melihat kelibat Rubeus Hagrid dalam cermin. Makan fast food tak ingat dunia. Kemudian, malas bersenam. Inilah hasilnya.

Tak boleh jadi! Saya harus lakukan sesuatu. Kalaulah bermain gitar bisa menurunkan berat badan…

Halangan terbesar buat diri (di persimpangan cerita) ialah saya langsung tak suka beriadah. Bermain sukan tak minat. Aktiviti gym apatah lagi. Atas dorongan Geng Wasted, perlahan-lahan saya mula terjebak dengan permainan wallyball di COREC (pusat sukan Purdue University).

Saya tak pasti sama ada permainan ini wujud di luar Amerika.

Berkonsepkan bola tampar (volleyball), permainan berlangsung dalam gelanggang tertutup seakan skuash. Secara tak langsung, bola dibenarkan melantun ke dinding (wall). Dari sinilah asal-usulnya nama. Pabila bola terperangkap di dalam ruangan sempit, suasana tentu sekali luar biasa ganas dan gila.

Bayangkan mesin pinball. Pang! Pung! Pang! Ting! Ting! Ting!

Apa jua permainan sukan, pasti ada had pemain. Namun, populariti wallyball yang cukup dahsyat pada zaman itu mewujudkan situasi sukar memperoleh gelanggang. Pelajar mat salih pun rata-rata obses.

Kedengaran sahaja mana-mana pelajar Malaysia berjaya menempah bilik, kami yang lain pakat turun buat ramai. Hasilnya, bilik skuash sesak mengalahkan permainan bola sepak suku padang. Berbelas minit berlalu, bola lebih kerap menampar muka berbanding menyembah lantai.

Ibarat orang dirasuk hantu, saya cenderung naik syeikh setiap kali bermain wallyball. Biasalah, orang jarang pegang bola. Pernah sekali saya tertampar bola kuat sehingga memecahkan cermin mata seorang junior.

Aspek paling sukar diterima daripada episod tersebut ialah junior yang dimaksudkan tadi berada di sebelah gelanggang yang sama dengan saya. Ya, saya spike ahli pasukan sendiri. Sebab inilah, jangan sesekali ajak Shah Ibrahim turun bersukan. Ahli pasukan sendiri, penonton, cheer leader dan referee; semua dia rembat!

Terkenang kembali, penglibatan saya dalam sukan wallyball ternyata tidak sia-sia. Berat badan turun mendadak sepanjang musim panas 2003. Malah, saiz pinggang turut susut. Memang dah layak pakai t-shirt ketat.

Sebarang komen/pertanyaan?