Villa Louis Pasteur

Rabu, 24 November 2010.

Villa Louis Pasteur yang terletak di Rue Des Ursulines (rue bermaksud jalan), merupakan penginapan khas buat para tetamu yang berkunjung ke universiti-universiti sekitar kota Paris. Dipagari jeriji besi bak penjara, tapak asalnya dahulu bengkel inkubator saintis legenda, Louis Pasteur. Kini dijadikan hotel.

Papan nama Villa Louis Pasteur Buku Kuantum Shah Ibrahim
Papan nama Villa Louis Pasteur

Sekadar mengingat, Louis Pasteur bertanggungjawab mencipta teknik pempasteuran. Suatu kaedah pemanjangan jangka hayat produk tenusu. Rasa-rasanya, kalian sebaya saya tentu pernah didedahkan kepada teknik ini sewaktu pengajian Kemahiran Hidup sekolah menengah.

Berbalik kepada villa, bilik saya berada di aras utama. Berhampiran meja resepsi lobi. Sewa penginapan ditaja sepenuhnya oleh pihak ENS (Ecole Normale Superieure), institusi yang menjemput. Dari pagar utama sehingga ke bilik, akses pintu di sini semuanya pakai kad elektronik.

Suasana villa lengang kerana saya tiba sewaktu off-peak season. Menjelang hujung tahun, pihak universiti di sini jarang menerima kunjungan pelawat. Lagipun, persidangan akademik peringkat antarabangsa lazimnya dianjur kala musim bunga (mahupun musim panas). Saya pula tiba di Paris beberapa hari sebelum ribut salji teruk melanda bumi Eropah.

Selain diri ini, hanya ada seorang lagi penghuni villa. Seorang staf akademik dari Amerika Syarikat. Beliau ditempatkan di bilik sebelah.

Kamar saya dilengkapi dua buah katil bujang yang dipisahkan oleh sebuah almari. Pencahayaan ruang bergantung pada lampu kuning semata-mata. Romantik tetapi menyakitkan mata. Bilik mandi/tandas serta dapur kecil terangkum sekali dalam unit.

Tak pasti sama ada ini rekaan standard setiap bilik kerana sekilas pandang, setiap unit seakan berbeza saiznya.  Saya bertuah sebab diberi bilik paling besar. Ibarat dapat honeymoon suite tetapi pengantin perempuan cabut lari. Padanlah katil pun terpisah.

Alang-alang ada dua katil, satu saya jadikan tempat tidur. Yang satu lagi tempat campak barang. Biasalah, orang malas. Sejujurnya, saya cukup benci aktiviti lipat-melipat mahupun menyangkut baju. Tambah-tambah lagi kala mengembara. Saya diberi maklum yang perkhidmatan room service tidak disediakan. Tak perlu segan, saya pun buatlah macam rumah sendiri.

Segala perkakas dapur bebas digunakan tetapi aktiviti memasak dilarang sama sekali. Paling penting, ada cerek elektrik buat menjerang air. Perkakas wajib untuk membancuh kopi.

Memandangkan lawatan ini agak mengejut (dimaklumkan petang sebelum), saya tak sempat tapau mi segera daripada stokis tetap di Leeds sebelum berangkat. Sayang juga, kerana saya tak pasti berapa lama perlu menetap di sini.

Sabun ketul, syampu serta ubat gigi terhidang elok dalam sebuah dulang di tepi singki bilik air. Percaturan saya yang hadir tanpa toiletries menjadi. Tuala mandi pun ada. Dua set. Maka, bolehlah tuala nipis yang diusung sendiri dijadikan sejadah. Kemudahan internet menerusi wayar LAN turut disediakan (tiada Wi-Fi).

Yang pelik, tiada telefon mahupun televisyen. Adoi. Sebelum berangkat dari UK lagi memang saya dah pasang niat meninggalkan laptop. Sebab laptop saya model kuno jenis berat. Dah sampai Paris, menyesal pula.

Setelah dijamah separuh hidangan vegetarian yang ditapau daripada sebuah kedai Benggali, saya hanya berbaring di katil. Merenung siling sehingga tertidur.

Perkarangan Luar Villa Louis Pasteur Buku Kuantum Shah Ibrahim
Selain lobi, setiap bilik juga boleh diakses dari laman villa.

Sebarang komen/pertanyaan?