Ulu Yam Di Liverpool

Awal tahun 2014. MPH Jusco Taman Universiti, Skudai.

Telah menjadi kebiasaan saya merenung carta laku keras bagi memperoleh ilham berkenaan genre-genre buku yang sedang panas. Di persimpangan cerita, saya telah menerbit sendiri dua judul komik (sambutan suam-suam kuku sahaja). Namun dalam diam, memasang impian besar agar buku nukilan saya kelak terpamer di toko gah sebegini. Angan-angan itu percuma.

Daripada sepuluh judul tersenarai dalam carta, sebuah buku berkulit merah berjaya mencuri perhatian saya. Saya capai naskhah contoh. Lantas membelek isinya. Susun kata indah. Gaya bahasa cantik.

Dari satu bab pendek ke satu bab pendek yang lain, ternyata sukar berhenti. Saya cukup gemar akan kertas putih yang dipilih oleh pihak penerbit (Karangkraf). Tampak mewah. Sebagai bonus, selingan foto-foto berwarna makin menyerlah. Tanpa memikir panjang, saya putuskan untuk membeli buku berjudul Ulu Yam Di Liverpool (UYDL).

I began reading this book as a complete stranger. Maka, tidak timbul isu bias atau prejudis dalam penilaian sebagaimana kelaziman seorang peminat tegar. Dalam pada itu, ada keajaiban aneh yang tak bisa saya tafsir. Payah diletak selagi tak habis baca.

Buku ini tebal. Padan dengan perjalanan tuan penulis. Daripada seorang anak kecil sehingga menjadi seorang ayah dan suami, kembara epik beliau sarat dengan suka duka. Menerusi pembacaan, perlahan-lahan saya mula mengenali tuan penulis. Ternyata banyak perbezaan antara kami.

Tuan Nazali budak kampung. Saya pula budak bandar. Beliau anak bongsu. Saya abang sulung. Sebagaimana tertera pada blurb kulit depan buku, Tuan Nazali cerah orangnya. Sampai tahap digelar ‘mat salih celup’. Saya pula lazim disapa oleh Bangla rambang di jalanan yang menyangka diri ini saudara sebangsa.

“Eh, kau ni Munir yang tinggal belakang restoran pakcik Mujibar di Kampung Noyapara, kan?” (setelah dialog dialih bahasa)

Sungguhpun banyak perbezaan antara saya dengan tuan penulis, ada SATU persamaan bertindan. Kami sama-sama budak gempal kaki bangku berimpian besar.

UYDL salah satu judul yang berjaya menyuntik inspirasi buat saya berkongsi kisah hidup sendiri. Niat sudah lama ada. But the push wasn’t there. Hajat asal saya mahu segalanya dipersembahkan dalam BI. Namun, gerak hati merasakan impaknya lebih jikalau dikarang dalam BM.

Tatkala menyiapkan draf awal dalam BM, aspek gaya bahasa paling saya celaru memikirkan hala tuju. Mana tidaknya. Tahun 2014/2015 boleh dikatakan puncak kegemilangan buku-buku indie.

Gaya bahasa ranggi dan bersahaja mendominasi pasaran. Sejujurnya, saya kurang selesa menulis begitu. Dalam masa yang sama, terpahat pula persepsi naif betapa karya-karya yang ditulis kemas dan skema PASTI tak laku. PASTI! Hasilnya, saya tersangkut.

UYDL berjaya mematahkan pemikiran kolot tersebut. Buktinya, buku ini lama menjuarai takhta Best Seller.

Barulah saya nampak betapa BM masih bisa disantuni menerusi pendekatan penulisan gaya santai. Menghormati bahasa tidak bermakna wajib tulis berbunga-bunga. Menghormati bahasa tidak bermakna penulis tak boleh bergurau. Ada tatacaranya. Cuma perlu gigih berlatih dan belajar. Perlahan-lahan, saya temui ‘suara penulisan’ saya. And it’s still evolving.

Dalam tak sedar, cetakan pertama Budak Meja Belakang (Ogos 2017) genap dua tahun bulan lalu. MasyaAllah, begitu pantas masa berlalu. Sekuel sudah terbit. Entri ke-3 pun dah ramai desak (Hehe… harap bersabar).

Di peringkat awal dahulu, banyak semangat saya peroleh daripada buku merah ini. Dalam foto mungkin boleh duduk sebelah menyebelah. Namun, siri UYDL tetap berada dalam liga tersendiri yang jauh lebih tinggi.

West Yorkshire (tempat saya dahulu) dengan bumi Mersey (tempat Tuan Nazali) sekitar dua jam memandu sahaja. Namun sepanjang keberadaan di sana, kami tak sempat kenal langsung. Itu namanya tiada jodoh. Moga-moga ada peluang bersemuka suatu hari kelak. Buku UYDL2 pun saya ada. Nanti boleh tuntut autograf sambil tumpang kutip aura.

Setiap buku menyentuh jiwa setiap orang pada kadar berbeza. Tiada penjelasan saintifik. It’s just the way it is. UYDL salah satu judul yang berjaya menyentuh jiwa seorang budak meja belakang. Di saat ini, saya menanti kelahiran UYDL3 dengan penuh rasa tak sabar. Sama-sama kita doakan agar Tuan Nazali dikurnia kesihatan untuk terus berkarya.

Sebarang komen/pertanyaan?