The Little Prince

Antoine de Saint-Exupéry. Saya sendiri kurang mahir tentang konvensyen nama orang Perancis. Yang mana satu first name. Yang mana satu last name. Apa pun jua, inilah nama pengarang The Little Prince.

Judul ini bukan baru terbit semalam. Sebaliknya hampir mencecah usia seabad. Penerbitan asal dalam bahasa Perancis. Tetapi telah diterjemah ke dalam ratusan bahasa. Ya, sebanyak itu. Maka tidak hairanlah The Little Prince bereputasi sebagai salah satu judul buku paling berjaya di dunia. Masih laku dan menjadi sebutan sehingga sekarang.

Bahasanya mudah (dinilai daripada terjemahan). Sungguhpun sekilas pandang seakan bahan bacaan kanak-kanak (yang dihiasi selingan ilustrasi comel hasil tangan penulis sendiri), saya fikir sasaran utama The Little Prince adalah pembaca dewasa. Buat kalian yang belum pernah baca, ilustrasi pada kulit hadapan buku memberi gambaran terhadap gaya lukisan.

Antoine de Saint-Exupéry seorang juruterbang kategori perintis. Makna kata, kelompok terawal meneroka laluan-laluan baharu perjalanan udara. Pakej kebolehan yang menjadi aset berharga kala berkhidmat dengan tentera. Pengalaman beliau sebagai juruterbang ketara jelas menjadi inspirasi karya fiksyen ini.

Secara ringkas, The Little Prince berkisar seorang juruterbang tentera yang terhempas di gurun Sahara. Jauh terasing dari sebarang sumber bantuan. Di lokasi kejadian, dia bertemu dengan seorang budak lelaki aneh yang berasal dari planet lain. Maka tercetuslah persahabatan spontan antara dua watak ini. Judul buku merujuk kepada si budak (sebab nama sebenarnya tidak pernah disebut).

Sementara sang juruterbang berhempas pulas membaiki pesawat, si putera kecil mula berkongsi perjalanan kembaranya. Isi utama buku tertumpu pada sesi perbualan mereka yang sarat dengan refleksi kehidupan nyata. Setiap pembaca tentu peroleh kutipan berbeza.

Secara peribadi, saya cukup terkesan dengan simbolisma watak bunga ros tunggal di planet asal si putera kecil. Mengenai hakikat cinta yang kadang-kadang berat sebelah dan bersifat parasit. Sedangkan sepatutnya, cinta itu simbiosis.

Sungguhpun indah, cinta dan kasih sayang turut hadir bersama risiko kehilangan dan kekecewaan. Dalam banyak-banyak mesej, ini yang paling kuat melekat dalam jiwa (andai kata interpretasi saya tepat).

Kesudahan cerita terbuka buat interpretasi pembaca. Ada yang kata sad ending. Ada yang kata happy ending. Namun dari sudut pandang saya, The Little Prince adalah epik sedih.

Berdasarkan nota pengenalan di bahagian mukadimah edisi yang saya baca, perjalanan hidup penulis ternyata tragis. Gagal dalam perkahwinan dan percintaan. Diduga pula dengan penyakit. Dan malang memuncak bilamana beliau dikhuatiri terhempas semasa penerbangan solo terakhir. Hilang di lautan sekitar dekad 40-an (lautan mana saya tak ingat). Tidak lama selepas buku ini terbit.

The Little Prince dikarang sewaktu Antoine de Saint-Exupéry berada di perantauan, jauh dari kampung halaman. Patutlah ada banyak elemen sepi dan rindu terselit licik sepanjang naratif. Namun, populariti karyanya ini hanya mula melonjak selepas detik mati. Lantas membuatkan saya termenung memikir:

JK Rowling perlu hadap kegagalan rumah tangga, kemiskinan serta depresi. Tolkien pula dihantui trauma perang selepas berkhidmat sebagai tentera. Ini sekadar dua nama ikonik yang luar biasa berjaya sebagai penulis fiksyen. Mengapakah kehidupan seseorang penulis pada kelaziman harus tragis sebelum bukunya bisa berjaya? Sampai tahap kadang-kadang perlu mati dahulu sebelum dihargai (macam Kafka dan Anne Frank)? Is this a compulsory price to pay?

Andai kata derita hidup atau kematian tragis menjadi syarat kejayaan penulis, tak mahulah saya! I choose a life of happiness. Every. Single. Time.

Sebarang komen/pertanyaan?