The Kite Runner merupakan naskhah sulung Khaled Hosseini yang serta-merta mengangkat darjat beliau sebagai penulis antarabangsa yang disegani.
Penulis mengambil inspirasi daripada pengalaman hidup sendiri. Namun, beliau tidak pula mengambil pendekatan menulis memoir. Sebaliknya, snapshot kehidupan silam sekadar menjadi benih cerita lantas digarap menjadi fiksyen yang epik.
Judul dipetik sempena aktiviti berlawan layang-layang yang beberapa kali dipapar sepanjang novel. Wakil pihak yang menang harus berlari mengejar layang-layang tewas yang terputus tali untuk disimpan selaku trofi. Lebih kurang macam judi pemadam yang kita pernah main zaman sekolah dahulu.
Setakat empat buku yang Khaled Hosseini dah tulis, dua karya susulan selepas The Kite Runner juga saya dah baca. A Thousand Splendid Suns. And The Mountain Echoed. Walaupun ketiga-tiga buku ini berlatar Afghanistan, setiap judul adalah karya stand alone. Bukan sequel. Sea Prayer terbitan 2018 saja yang saya belum berpeluang cari. Kalau tak silap, ini novel berilustrasi dan berkisar Syria pula. Bukan lagi Afghanistan.
Dalam pada itu, saya tetap merasakan The Kite Runner kekal sebagai mahakarya agung Khaled Hosseini. Versi novel paperback pun ada dalam koleksi saya. Naskhah adaptasi novel grafik ini pula berjaya disambar di Jualan Big Bad Wolf sebelum Covid lockdown.

Berulang kali saya telaah The Kite Runner untuk belajar bermain dengan emosi pembaca. Masih jauh lagi untuk mampu serap teknik ini ke dalam manuskrip sendiri. Plot twistnya juga di luar jangkaan, walaupun pembayang-pembayang awal dah jelas ditabur secara licik oleh tuan penulis. Cuma saya sebagai pembaca yang gagal nampak.
“For you, a thousand times over.”
Ayat ini terpapar dalam halaman terakhir menjelang penutup buku. Bagi saya, ini salah satu contoh ayat novel paling menyengat jiwa dalam sejarah pembacaan saya. (If you know, you know.)
Sebagai pembaca lelaki, agak sukar juga mencari karya fiksyen berkesan yang berjaya mengangkat tema pembulian, loyalty among men, brotherhood serta impak pencabulan terhadap maskuliniti seorang mangsa lelaki. Barangkali ini salah satu sebab mengapa Project High Council (Astro) meletup dan menjadi fenomena. Siri TV tempatan yang saya tabik keberaniannya.
Apa pun jua, ada satu iktibar terbesar yang saya nampak setelah menelaah karya-karya Khaled Hosseini.
Kita selaku anak Malaysia juga berpotensi melahirkan karya segar berbekalkan keunikan budaya sendiri. Sebagaimana yang dimanfaatkan oleh Khaled Hosseini. The Kite Runner berputik daripada imaginasi seorang penulis Afghan yang menyaksi sendiri era kebangkitan Taliban. Konflik utama novelnya berkisar latar ini. Jujur dan tidak bertapis.
Sekiranya anda dah khatam The Kite Runner dan minat cerita berkisar watak utama yang berusaha menebus dosa silam, saya cadangkan anda cuba membaca Atonement (karya Ian McEwan) pula.