The Hobgoblin

Julie Bell merupakan salah seorang pelukis wanita dari Barat yang saya kagumi. Kebetulan juga beliau seorang atlet bina badan. Kombinasi aneh, saya akui. Namun, tidak hairanlah pengetahuan Bell tentang susuk tubuh manusia begitu terperinci. Terutama sekali hal butiran otot. Di celah mana patut timbul. Di celah mana patut tenggelam.

Kepakaran beliau secara spesifik adalah seni cat air tatkala menghasilkan potret ultra-realistik. Cuma saya tak rekomen kalian Google hasil kerja Julie Bell yang lain sebab rata-ratanya masuk kategori ‘mengurangkan pahala berpuasa’. If you catch my drift.

Sekitar pertengahan dekad 90-an, beliau pernah direkrut oleh Marvel Comics bagi kerja-kerja melukis trading card. Buat kalian yang belum sedia maklum, kad-kad sebegini lazimnya menjadi sasaran pengumpul. Kadang-kadang di dalam box set komik yang kita beli, terselitlah sekeping dua sebagai bonus. Andai dijaga penuh cermat, tak mustahil kad-kad terpilih akan naik harga suatu masa kelak.

Lukisan Hobgoblin ini cubaan saya meniru lukis salah satu artwork asal Julie Bell bagi siri Marvel Fleer Ultra Trading Cards 1995. Ini hasil tangan saya yang amatur sekitar penghujung Tingkatan 3. Ada nilai sentimental tambahan kerana ini hasil seni terakhir saya siapkan di rumah sebelum berpindah ke asrama penuh.

Kanvas sekadar kertas lukisan bersaiz A5. Pada waktu itu, saya kurang mahir pakai cat air. Belum cekap selok-belok membancuh warna. Lagipun saya dah terbiasa pakai Buncho Poster Colour. Bekalan rutin setiap kali mewakili sekolah ke pertandingan melukis. Ke hulu ke hilir saya usung bersama set standard yang mengandungi 12 botol warna. Dengan set itu jugalah saya siapkan potret ini.

Di saat menulis, sudah 23 tahun berlalu. Saya pun dah lama tak sentuh cat air. Kini lebih selesa bermain pensel. Walaupun tangan dah karat, tiba-tiba terasa rindu mahu pegang berus semula. Teringin meneroka cabang seni pemandangan landskap.

Sebarang komen/pertanyaan?