Tapak Transit

Ini ruang peribadi yang telah diperuntukkan buat saya sepanjang tempoh pengajian di fakulti Kejuruteraan Elektronik. Pejabat berada di aras 4 bangunan. Meja pula menghadap tingkap. Cermin tampak gelap sebab dah malam. Jikalau siang, kesibukan jalan besar Woodhouse Lane jelas disaksikan.

Foto ini rakaman 20 Disember 2011. Keesokan harinya saya harus memulangkan set kunci pejabat. Di persimpangan cerita, kami masih memakai kunci untuk keluar masuk bilik. Sistem kad akses elektronik sedang diperkenal.

Bagi menjaga perasaan teman-teman seangkatan yang masih gigih berjuang, sengaja saya datang lewat malam untuk operasi mengemas secara besar-besaran. Angkut buku bawa pulang. Buang sampah. Lap habuk. Padam fail-fail peribadi daripada PC.

Mujurlah pejabat lengang dan UK pula tak banyak hantu macam di Malaysia. Tiada bau kemenyan. Tiada kelibat putih. Cuma kadang-kadang saya terloncat bila mana pewangi automatik di dinding koridor menyembur spontan. Kus, semangat!

Teman-teman seofis selaku saksi, saya JARANG berada di pejabat. Sepanjang 4 tahun pengajian di University of Leeds, jumlah detik bersama meja yang terhimpun boleh jadi tak sampai pun sepurnama. Ya, sejarang itu. Andai kata meja ini bernyawa dan berjantina hawa, dia layak tuntut fasakh.

Perlu dijelaskan, saya bukan kaki ponteng. Ada kelompok penyelidik yang kerjanya menghadap komputer saban hari, menganalisis data atau buat kerja-kerja simulasi. Saya pula berada di hujung spektrum satu lagi.

Banyak masa terperap di macam-macam makmal, di pelbagai fakulti, di beberapa universiti. Saya juga diberi tauliah mengajar beberapa subjek. Dan segala sesi ini turut bertempat di makmal.

Pendek kata, meja ini sekadar bukti kewujudan saya sebagai pelajar berdaftar. Merangkap tapak transit. Sebab di sinilah saya lepak sementara menunggu detik temu janji rutin bersama skuad penyelia atau segala mak nenek mesyuarat di peringkat fakulti. Terkenang kembali, banyak juga mesyuarat mingguan yang saya wajib hadir selaku pelajar.

Kala menunggu, sempatlah berbasa-basi dengan penghuni pejabat berbilang kaum. Bertukar-tukar gosip. Kadang-kadang, komputer pun saya tak sempat hidupkan.

Oh, hampir terlupa saya bercerita tentang meja di sebelah kanan itu. Sejak hari pertama masuk pejabat sehingga tarikh serah kunci, saya tak pernah bersemuka dengan penghuni meja tersebut. Hatta sekali. Kononnya seorang jejaka Greek. Sentiasa ‘missing in action’.

Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Timbunan buku serta barangan peribadinya terbiar sahaja diselaputi habuk tebal. Walau bagaimanapun, pihak fakulti telah mengemas ruang tersebut bagi memberi laluan kepada seorang calon PhD baharu. Lebih kurang sebulan sebelum foto ini saya rakam. Sebab itu meja nampak kemas dan teratur sedikit.

Apakah kesudahan brader Greek tadi? Saya pun tak tahu. Menurut staf fakulti yang pernah mengenalinya, status pelajar tersebut dikatakan ‘floating’ (whatever that means). Ini bukan kes unik. Sepanjang menghuni pejabat legenda ini, ramai lagi jiran-jiran kami yang mengalami nasib lebih kurang sama.

Ada kalanya, kelompok yang memutuskan untuk tarik diri tampil mengucap selamat tinggal. Ada kalanya juga, mereka menghilangkan diri begitu sahaja. Realiti hanya disedari setiba muncul calon baharu mengambil alih ruang sedia ada.

Begitulah resam perjalanan PhD. Kesudahan setiap calon tak sama. Lulus tak bermakna berjaya. Gagal tak bermakna lingkup. Saya termasuk dalam golongan pertama. Namun enggan mengulas lanjut.

Regardless, life has a funny way of working itself out. Percayalah.

Berbalik semula ke ruang kerja. Sebelum laci meja dikunci buat kali terakhir, saya sempat meninggalkan sekeping nota pesan buat penghuni seterusnya. Kalau nak tahu apakah isi kandungan nota tersebut, kenalah baca buku Kuantum.

Kuantum Shah Ibrahim Leeds Alumni Magazine 2019

Sebarang komen/pertanyaan?