Keluarga Dubook

Kuantum Shah Ibrahim Keluarga Dubook

Antara judul kegemaran terbitan Dubook yang berada dalam koleksi peribadi.

Saya mula mengenali Dubook Press menerusi Yak Bok Te!, hasil karya kartunis Amin Landak. Sebagai penggemar komik, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan sangat. Walau bagaimanapun, tarikan utama Yak Bok Te! terletak pada kertas kasar seakan kulit buku tulis sekolah yang digunakan dalam pembukuan. Kalian yang memilikinya pasti faham apa yang saya maksudkan.

Elemen ini yang sebenarnya mendorong saya mendekati reruai penerbit tatkala meneroka PBAKL 2015. Secara langsung membuktikan betapa rekaan kulit hadapan satu-satu buku masih punyai kuasa memancing pembaca.

Buku-buku lain keluaran Dubook (serta penerbit lain) terpaksa saya abaikan dahulu memandangkan bajet bagi PBAKL 2015 sudah secara eksklusif saya peruntukkan buat komik serta novel grafik semata-mata. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa payahnya menahan diri daripada mencapai judul-judul lain yang seakan memanggil.

Masa pun berlalu. Setelah membaca beberapa judul lain di bawah panji Dubook Press sesudah itu, saya tidak nampak sebarang persamaan antara karya-karya tersenarai mereka. Aneh sekali. Lazimnya, penerbit cenderung meletak fokus pada gaya atau genre spesifik. Namun, Dubook tidak (foto iringan selaku testimoni). Pada saya, kepelbagaian ini merupakan salah satu kekuatan Dubook Press. There’s something for everyone.

Ada karya serius, ada karya lucu. Ada yang berat, ada yang ringan. Ada yang teknikal, ada yang santai. Tidak kurang juga keluasan variasi dari sudut keformalan naratif. Makna kata, apa jua bentuk penulisan berpotensi untuk diterbitkan. Dengan syarat menarik minat skuad penilai.

Atas dasar kerambangan inilah, saya mencuba nasib mengaju proposal Kuantum kepada pihak Dubook. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Alhamdulillah, ada rezeki dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar ini.

Kuantum ialah buku pertama daripada siri perjalanan PhD saya di bumi sang ratu. InsyaAllah, karya sambungan akan menyusul.

Entri FB 3 Oktober 2018.

Refleksi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018

Refleksi-PBAKL-2018-Shah-Ibrahim

Hari ini genap sebulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlalu pergi meninggalkan kita. Saya dengar respon daripada pengunjung boleh tahan juga sungguhpun negara sedang dirundung bahang pilihanraya. Dalam pada itu, ada segolongan lain pula yang berpendapat kehadiran tahun ini lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum. Tanpa berada di tapak pesta, saya sendiri sukar menganalisa situasi sebenar.

Atas dasar terikat dengan komitmen lain, saya langsung tidak berpeluang turun padang bagi membantu usaha-usaha promosi di tapak jualan. Sekadar mampu menyokong usaha gigih pasukan penerbit dari jauh sahaja. Andai kata diri berkesempatan hadir baru-baru ini pun, barangkali serabut juga kepala memikirkan cara membahagi masa serta tumpuan antara reruai.

Tanpa disangka-sangka, saya dikurnia rezeki menerbit tiga judul serentak di bawah panji tiga rumah penerbitan berbeza menjelang PBAKL 2018. Realiti yang sampai ke saat menulis ini masih payah dihadam memandangkan hampir 6 tahun juga saya cuba bertapak dalam industri tanpa sebarang hasil. Berkat sikap tak putus asa, barangkali.

Episod bergerak pantas ibarat mimpi di siang hari. Namun, begitulah keajaiban aturan rezeki. Kadang-kadang datang berperingkat. Kadang-kadang tiba serentak. Tak dinafi, kadang-kadang tak sampai langsung. Tapi Allah gantikan dengan kurnia lain.

Berdasarkan statistik jualan, ketiga-tiga penerbit telah menghantar rumusan prestasi buku-buku saya sepanjang PBAKL 2018 yang berdurasi sepuluh hari. Prestasi sekadar dalam bentuk kedudukan dalam carta. Bilangan buku yang terjual secara spesifik pula belum dikongsikan lagi. Bagi seorang penulis kategori cari makan, aspek ini tak kurang penting. Teringin juga hendak tahu sama ada kutipan royalti kelak bisa menampung tabung kahwin.

Kata orang tua-tua, antara tanda-tanda jodoh semakin hampir buat seorang bujang ialah ketibaan rezeki melimpah-ruah. Barulah mampu upah Anuar Zain datang menyanyi dua tiga lagu sewaktu resepsi dewan kelak.

Biarkanlah saja diriku… sendirian tanpamu.

Biarkanlah aku merindu… sekian lama.

Pergh, meremang nanti seluruh isi dewan! Saya akui lirik lagu ternyata tak sesuai langsung untuk majlis kahwin. Tetapi, suka hatilah sebab majlis saya.

Budak Meja Belakang

Meskipun sudah berbulan lama berada di toko-toko buku utama, Budak Meja Belakang terus mendapat tempat di hati pembaca. Dalam banyak-banyak karya saya setakat ini, BMB paling laku. Saya sendiri tak faham sebab apa. Malah, ada pembaca yang sanggup beli lebih semata-mata mahu dihadiahkan kepada teman-teman. Terharu saya mengenangkan betapa istimewanya BMB di hati mereka. Jikalau dapat mengorek formula, boleh juga saya implimentasikan dalam karya-karya susulan.

Budak-Meja-Belakang-Bestseller-Komrad-PBAKL-2018
Carta keseluruhan Komrad.
Budak-Meja-Belakang-dalam-carta-keseluruhan-Must-Read-PBAKL-2018
Carta keseluruhan Must Read.

Kuantum

Buku Kuantum yang dicetak terhad tak kurang menyengat. Selama empat hari Kuantum berdiri megah dalam carta Top Ten reruai Dubook Press. Lebih spesifik lagi hari kedua, ketiga, keempat serta kelapan.

Kuantum Shah Ibrahim PBAKL 2018 Laku Keras
Foto kiriman penerbit, Dubook Press.
Kuantum Shah Ibrahim PBAKL Laku keras
Foto kiriman Puan Mie Salmi.

Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir

Buku K2YMF yang dilancar secara eksklusif sempena PBAKL 2018, turut menjadi Top Seller reruai Jejak Tarbiah. Penerbitan buku ini cukup signifikan buat diri selaku titik mula pendedahan awal kepada projek berbentuk kolaborasi. Tak sangka, rumit juga hendak direalisasikan. Sebagai pendatang baharu, saya terasa kerdil tapi bertuah dapat menumpang aura 20 penulis otai yang turut sama terlibat.

Kertas2 Yang Merubah Fikir PBAKL 2018
Foto dari penerbit, Jejak Tarbiah.

Dari sudut pencapaian peribadi, setakat ini belum ada lagi buku saya yang berjaya capai tangga teratas dalam mana-mana carta. Memandangkan impian harus diletak tinggi sebagai penyuntik motivasi, ternyata ini satu aspirasi besar untuk dikecapi. InsyaAllah.

Sungguhpun bahang PBAKL 2018 belum pudar sepenuhnya, pihak penerbit sudahpun bertanya tentang manuskrip susulan. Menurut mereka, ada ura-ura PBAKL 2019 bakal diawalkan. Besar kemungkinan seawal Mac. Lantaran itu, karya-karya yang ingin dilancar kelak perlu siap terbit selewat-lewatnya Januari 2019.

Mengambil kira urusan suntingan pergi-balik segala bagai, saya diminta menyerah draf lengkap sekitar Oktober ini. Fuh, hari ini Jun pun sudah habis seminggu. Makna kata, tinggal hanya empat bulan.

Tik. Tok. Tik. Tok. The clock is ticking.

Shah Ibrahim, sila panik sekarang!

Projek apa anda bertanya? Saya biarkan kalian berspekulasi 😊

PBAKL 2018

Banner PBAKL 2018 Coretan Sang Flowerman

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Book Fair) 2018 bermula semalam. Setakat ini saya hanya pernah hadir sebagai pembeli/pembaca sahaja. Tahun ini luar biasa istimewa kerana buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, karya tulisan saya turut terpamer sama. Bukan satu. Bahkan tiga. Alhamdulillah. Tak sesekali terbayang.

Buku bakal dijual di rak penerbit berkaitan. Budak Meja Belakang boleh didapati di reruai jualan Komrad Buku. Kuantum boleh diperolehi daripada reruai Dubook. Buku terbaharu (kompilasi bersama 20 penulis lain) pula dijangka tiba di reruai Jejak Tarbiah sekitar petang hari ini. Pelancaran rasmi Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir dijadualkan pada 1 Mei.

Berikut disertakan panduan mudah buat kawan-kawan yang berhasrat mencari buku-buku saya. Selamat memborong!

Promo Shah Ibrahim PBAKL 2018
Lokasi buku-buku saya di PBAKL 2018

Kuantum di Pesta Buku Selangor 2018

Banner Pesta Buku Selangor 2018
Rumusan Jualan Kuantum Shah Ibrahim Pesta Buku Selangor
Rumusan jualan (sumber: Dubook Press)

Pesta Buku Selangor 2018 telah berlangsung dengan jayanya sepanjang 29 Mac sehingga 8 April baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Buku terbaru saya, Kuantum turut terpamer di reruai jualan Dubook Press.

Berdasarkan rumusan prestasi daripada pihak penerbit (sumber foto: Dubook Press), sambutan terhadap Kuantum agak menggalakkan. Alhamdulillah. Terima kasih saya ucapkan kepada para pembaca yang sudi membeli. Semoga Kuantum memberi manfaat. Komen, kritikan serta cadangan penambahbaikan amat saya alu-alukan.

Buat kawan-kawan yang belum sedia maklum, Kuantum ialah senaskhah diari santai catatan PhD. Naik turun perjalanan mendaki ke puncak menara gading berlatarbelakang bumi sang ratu. Lebih spesifik lagi, Leeds, West Yorkshire. Tanah kelahiran Kaiser Chiefs.

I predict a riot!
I predict a ri-ot!

Destinasi berikutnya, PBAKL 2018!

Entri FB 17 April 2018.