Berubah 360 Darjah

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman berubah 360 darjah
“Setelah menempuh pengalaman tersebut, hidup kami berubah 360 darjah…”
Perubahan 360 darjah ini suatu ungkapan popular yang sering kita jumpa. Dalam podcast Youtube. Dalam posting media sosial. Dalam wawancara TV. Termasuklah juga bahan bacaan bercetak.
Mungkin wujud salah tanggapan kerana kuantiti 360 tampak lebih besar berbanding angka 180. Sekaligus memberikan gambaran perubahan lebih gah serta dahsyat. Namun dari segi matematik, nilai 360 darjah sebenarnya berada di titik yang serupa dengan sifar darjah (titik mula).
Terkenang kembali ilmu matematik zaman sekolah dahulu, satu putaran lengkap akan menghasilkan sudut sebesar 360 darjah. Betul tak? Dalam konteks metafora, hakikatnya tiada sebarang perubahan pun yang berlaku berbanding titik mula. Hero kita kekal di takuk lama sekiranya dia ‘berubah 360 darjah’.
Maka, perubahan 180 darjah sebenarnya lebih tepat. A complete reversal. A drastic turn around. The exact opposite. Barulah berlaku penghijrahan secara total, apabila kita berbicara tentang transformasi.
p.s.
Contoh ayat tambahan:
Semalam, saya tertoleh 180 darjah tatkala berselisih dengan seorang insan rupawan. Ibarat bulan jatuh ke riba, gadis itu turut sama berpaling tersenyum. Mata kami bertaut. Alam semesta terhenti. Kemudian, saya tambah 90 darjah lagi lantas menyeberangi jalan besar sejurus menyedari si dia berhalkum.

Atas Talian VS Dalam Talian

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman atas talian VS dalam talian
Sebagai orang yang dah terlalu lama melazimi penggunaan ‘atas talian’ selaku terjemahan kepada istilah ‘online’, ambil masa juga buat saya menerima istilah rasmi yang tepat. Iaitu, ‘dalam talian’.
Sekali-sekali, terbabas juga ke takuk lama. Mungkin kerana logik akal kuat dipengaruhi oleh perkataan ‘atas’ selaku terjemahan Melayu bagi perkataan ‘on’.
On the table… di atas meja.
Online… di atas talian.
Cuma apabila kita renung secara lebih terperinci, online merujuk kepada dunia maya/siber. Bukan lokasi fizikal.
Online banking melibatkan transaksi perbankan yang berlangsung di dunia siber.
Online gaming melibatkan aktiviti permainan video yang berlangsung di dunia siber.
Online teaching/learning melibatkan proses pembelajaran yang berlangsung di dunia siber.
Mengambil kira realiti ini, barulah saya nampak betapa perbankan ‘dalam’ talian, permainan video ‘dalam’ talian dan sesi pembelajaran ‘dalam’ talian lebih masuk akal. Berbanding pemahaman saya yang lampau. Segala contoh tadi berlangsung di ‘dalam’ ruang lingkup dunia siber/maya/internet. Atas talian kini kedengaran sungguh janggal.
Apa pun jua, boleh jadi ini bukan rasionalnya yang sebenar. Namun, inilah cara saya memilih untuk berdamai dengan penggunaan istilah yang betul.
error: Content is protected !!