American Gods

American Gods Neil Gaiman Blog Coretan Sang Flowerman

Buku ini pertama kali diterbitkan pada tahun 2001. Setelah diadaptasi menjadi siri TV sekitar awal 2017, barulah saya sedar akan kewujudannya. Lantas terus memasuki senarai ‘To-Be-Read’. If it’s by Neil Gaiman, it’s always worth reading. Himpunan anugerah buat novel ini pun berderet-deret. Bukan sekadar tercalon. Tetapi menang kesemuanya.

Neil Gaiman cukup terkenal sebagai penulis buku kanak-kanak yang hebat, tetapi American Gods ternyata bacaan pembaca dewasa. Makna kata, tak sesuai buat budak-budak. Kata kesat banyak. Tak kurang juga adegan ‘ehem-ehem’.

Sungguhpun siri TV sudah berlalu dua musim, saya sudah berazam untuk tidak mula menonton selagi belum khatam baca novel.

Naskhah dalam tangan agak lusuh memandangkan ini edisi terpakai. 600++ muka surat. Tulisan tidak terlalu halus. Sekitar 30-35 baris per halaman. Sedap baca. Saya baru cecah bahagian Interlude (halaman 400).

Buku ini tentang apa? Secara ringkasnya (tanpa spoiler),

American Gods berkisar seorang bekas banduan bernama Shadow. Kala menanti detik pembebasan, Shadow dibebaskan beberapa hari lebih awal ekoran isterinya yang tiba-tiba meninggal (kemalangan jalan raya). Dalam perjalanan pulang untuk menguruskan jenazah, takdir menemukan Shadow dengan seorang lelaki misteri agak berumur yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Wednesday.

Si Shadow ditawar kerja (maklum saja, prospek kerja untuk bekas banduan bukannya cerah). Dengan penuh rasa berat hati, dia menerima. Drebar merangkap sekuriti. Kerja serupa khadam. Maka bermulalah kembara aneh mereka bersama mengelilingi bumi Amerika. Kebanyakan adegan berlatar belakang zon Mid-West di ambang milenium.

Secara kebetulan, lokasi-lokasi utama yang dipapar merupakan tempat-tempat yang saya sendiri pernah jejak. Antaranya Indiana (tempat saya sendiri), Wisconsin, Minnesota, Illinois, Las Vegas dan San Francisco. Lebih meremang, saya juga berada di sana awal milenium. Maka, ada unsur nostalgia tambahan buat diri ini secara peribadi. Seolah-olah berada di dalam kereta bersama-sama Shadow dan Mr Wednesday sepanjang kembara.

American Gods sarat dengan adegan bersembang sambil melepak di kedai makan. Namun, perbualan bukan sekadar filler. Dari situ, pembayang mula didedah kepada kita satu persatu. Sebab itulah walaupun 600++ halaman, lancar sungguh pembacaan. Sejujurnya, American Gods patut lahir sebagai komik sejak dari mula (mengambil kira variasi watak yang disaji).

Setahu saya, adaptasi komik sudahpun wujud dalam pasaran (terbitan Dark Horse) buat kalian yang lebih meminati format sedemikian.

OK, saya nak sambung baca…

p.s.

600++ halaman sudah cukup mengundang muntah. Tetapi sejurus selesai sahaja buku American Gods ini, novel seterusnya dalam senarai bacaan saya berketebalan 1000++. Dah macam kamus! Nanti saya kongsikan judulnya…

error: Content is protected !!