Saya Dan Dunia Metal

Jonathan Davis Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Sungguhpun XPDC membawa imej ‘metal’, saya sudah terbiasa memandang mereka sebagai sebuah kumpulan rock kapak (menilai dari sudut muzik). Dalam pada itu, kugiran tempatan ini saya tetap minat. Lagu C.I.N.T.A., Sakinah dan Titian Perjalanan setia berada dalam playlist mp3 saya sehingga ke hari ini.

Dunia metal lebih brutal dalam erti kata sebenar, saya kenali menerusi Metallica. Lebih spesifik lagi, daripada lagu Masuk Ke Dalam Lelaki Pasir. Atau terjemahannya, Enter Sandman. Tergoda dengan bedilan dram padu intro lagu tersebut, saya sebenarnya berangan menjadi pemain dram. Cuma diri ini langsung tiada bakat. Koordinasi kaki dengan tangan kurang mantap. Usah kata Metallica, tempo lagu kumpulan New Boyz pun besar kemungkinan saya tak mampu bawa.

Atas dasar inilah, saya tergerak mendekati gitar dan bass. Bermain gitar, saya bolehlah sikit-sikit. Selain memetik, saya juga seorang pengumpul. Malah, salah satu gitar kesayangan dalam koleksi peribadi saya ialah model ESP Black Explorer. Gitar elektrik serba hitam yang James Hetfield pakai dalam klip video ‘The Memory Remains’.

ESP LTD Model EX-350 Guitar Shah Ibrahim
Gitar ESP LTD Model EX-350 dalam koleksi saya (buatan Korea, kalau tak silap)

Bermula dengan genre heavy metal, perlahan-lahan saya berjinak pula dengan kugiran daripada cabang-cabang metal yang lain. Seperti Children Of Bodom (Death Metal), Yngwie Malmsteen (Neo-Classical Metal), Galneryus (Japanese Power Metal [Yup… metal Jepun]) dan Korn (Nu Metal). Tahukah anda, setiap genre metal juga ada pelbagai sub-cabang lagi? Tak perlulah diperincikan di sini. Tak penting pun.

Entah kenapa, genre Black Metal satu-satunya saya langsung tak minat. Melodi tak padan dengan jiwa. Seram pun seram juga. Berkat mendampingi usrah barangkali. Oh, ya. Death Metal sering dikelirukan dengan Black metal. Sedangkan ada perbezaan. Termasuk solekan wajah. Death Metal yang obses dengan kematian, iramanya lebih melankoli dan menjurus ke arah depresi. Sementara Black Metal yang penuh kontroversi pula, rata-rata semua orang tahu kecenderungannya ke arah mana.

Dalam buku Kuantum ada disebut betapa muzik berat berkuasa magis menghilangkan sepi. Ramuan efektif yang berjaya mengalih fokus saya daripada tarikan perempuan. Maklumlah, angau itu menyusahkan. Sebagai student, saya mahu fokus belajar. But I’m still human after all. Saat si dia muncul, saya tersungkur juga (Baca kisah selebihnya dalam Kuantum).

Anyway…

Setelah bertahun-tahun menyimpan rambut panjang, tiba-tiba timbul keinginan memasang dreadlocks. Berkemungkinan terpengaruh dengan Max Cavalera (Sepultura), Aru (Koffin Kanser) dan Jon Davis (Korn). Zaman berdarah muda dahulu, manalah terfikir isu ‘air tak sampai ke rambut’ dalam bab kesempurnaan bersuci segala bagai. Dan hal penjagaan rambut dreadlocks leceh juga.

Usai berfikir panjang, akhirnya saya membatalkan niat. Dari Amerika, saya kembali ke Malaysia tanpa dreadlocks. Sebab takut nanti Mama paksa saya mop lantai seluruh Terminal Ketibaan KLIA guna rambut sebelum boleh balik rumah.

p.s. Potret iringan ialah Jon Davis, frontman Korn. Kugiran pembuka jalan saya mengenali Mia.

Kurt Kobain

Kurt Cobain Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Pearl Jam ialah kugiran spesifik yang menggerakkan saya mencapai gitar. Bagi insan berjari keras yang baru hendak berjinak memegang alat muzik bertali enam ini, lagu-lagu Pearl Jam boleh tahan mencabar juga. Kecuali Last Kiss, lagu lembik yang tersangatlah tak Pearl Jam. Sewaktu Last Kiss aktif berkumandang di corong Hitz FM, saya sendiri belum sedia maklum yang lagu tersebut sebenarnya lagu orang lama yang telah diberi nafas baru oleh Pearl Jam.

Di ambang millenium, Last Kiss antara irama ikonik yang pantas mencairkan hati gadis Melayu (selain lagu Kiss Me, dendangan Sixpence None The Richer). Sampai tahap saya berani buat kesimpulan yang masyarakat sedunia cukup obses dengan ciuman pada tahun 1999. Jangan lupa, filem Never Been Kissed pun meletup pada tahun yang sama. Patutlah bebudak PPP/ITM kerap terkantoi bercumbu dalam kereta pada zaman itu.

Fasa awal belajar main gitar era 90-an dahulu, rata-rata mengamalkan konsep talaqi sebelum kemunculan sifu-sifu gitar Youtube. Pendek kata, kena berguru. Tok-Tok Guru dalam kalangan teman-teman rapat saya di PPP/ITM mencadangkan Nirvana. Menurut pandangan mereka, lagu-lagu Nirvana lebih mudah. Sejujurnya, saya sendiri belum sedar tentang kewujudan aliran muzik alternatif ini di persimpangan cerita. Genre yang diberi julukan Seattle Sound, sempena tanah kelahirannya.

Ibarat seekor katak di bawah tempurung, tahun-tahun sebelumnya hanya nasyid Raihan menjadi halwa telinga sepanjang di MRSM Taiping. Malah, Peristiwa Subuh menjadi wake-up call kami setiap pagi. Fuh, kenangan menggamit memori MARESMART!

Dari Taiping, kembara menuntut ilmu bersambung pula di Shah Alam. Kursus persediaan ke USA. Selaku orang Skudai, tak mampu saya pulang ke kampung halaman setiap hujung minggu. Mahu tak mahu, terpaksalah berperap di Kolej Siswa. Gitar kapok teman serumah menjadi peneman.

Pada suatu hujung minggu, saya ke Pasaraya Giant Seksyen 18 dengan semangat berkobar-kobar semata-mata untuk mencari kaset Nirvana: Unplugged in New York. Sekitar awal tahun 1999, ada sebuah gerai kaset dalam bangunan tersebut. Asli atau cetak rompak, saya pun tak pasti. Lokasi gerai tak jauh dari kaunter bayaran Giant yang dimaksudkan. Memandangkan kumpulan nasyid Mirwana belum muncul dengan sebarang album komersil lagi pada tahun itu, isu tersilap beli kaset tak sesekali timbul. Ya, walaupun jiwa sudah grunge, saya masih ikuti perkembangan dunia nasyid tempatan. Itu namanya wasatiyyah.

Berbekalkan kaset tadi serta bimbingan padu daripada Wan Najmuddin (ex-MRSM Pengkalan Chepa), saya berlatih dengan gigih setiap hari. Pagi, petang, siang dan malam. Sehingga berkematu jari. Dalam album berjumlah 14 trek, lagu Polly paling awal saya khatam. Lagu yang penuh melankoli. Perlahan-lahan, busana saya turut berubah rupa (saya hanya tersedar setelah membelek semula foto-foto lama). Kemeja lusuh kembang bercorak kotak-kotak elemen wajib ada. Orang putih bilang ‘flannel’.

Sepanjang berkursus di PPP/ITM, memang tak sabar rasanya hendak terbang ke bumi Uncle Sam.

Seattle, Washington… “Kau tunggu aku datang.”

p.s. Merokok membahayakan kesihatan.

Terry Crews

Terry Crews Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Vanessa Carlton muncul dengan ‘A Thousand Miles’ sewaktu saya berada dalam tahun ke-3 pengajian universiti di Indiana, US. Dipakej dengan sentuhan piano ikonik selaku intro, irama feminin yang terhasil luar biasa menenangkan. Berbulan-bulan jugalah mp3 lagu tersebut berada dalam playlist Winamp.

Dua tahun kemudian, muncul filem White Chicks. Ada satu babak dalam filem tersebut yang telah merubah definisi mahakarya Vanessa Carlton buat seluruh umat manusia sejagat. Sehingga ke hari ini, saya tak mampu dengar lagu A Thousand Miles tanpa tergelak kecil. Seawal intro petikan piano sahaja saya dah terbayang wajah bengis Terry Crews menggeleng-geleng kepala.

TerryCrews WC Gif2

Apa-apa pun, lelaki ini seorang individu yang sangat berbakat besar. Tahukah anda, Terry Crews juga seorang pelukis potret yang hebat?

Seattle Sound

Eddie Vedder Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Lagu Alive, trek ke-3 album Ten kugiran Pearl Jam.

Gelongsoran jari sepanjang leher menjauhi badan gitar elektrik sehingga terhentamnya kord A pembuka lagu masih terngiang-ngiang dalam kepala. Buat pengetahuan kawan-kawan, bunyi spesifik inilah yang menggerakkan saya mencapai gitar 19 tahun yang lalu. Sungguhpun ramai berpendapat yang grunge sudah mati, genre tersebut masih ALIVE dalam jiwa ini.

Long live Seattle sound.