Resipi Beriani Flowerman

Kuantum Shah Ibrahim Rempah Beriani Kambing Shan

Seakan jodoh, rempah ini muncul dalam pasaran pada tahun kelahiran saya. Namun, kami hanya berpeluang bertemu buat pertama kali pada tahun 2004. Shan, jenama serbuk rempah dalam kotak yang pastinya tidak asing bagi warga Malaysia di UK. Selama di US, saya tak pernah nampak pula rempah ini di kedai-kedai Arab mahupun Pakistan. Boleh jadi ada, cuma mata saya yang ralit mengusyar benda-benda tak patut.

Rempah jenis serbuk ternyata popular semasa persiapan kenduri. Makna kata, agenda masak kuantiti besar. Setakat skala kecil, lazimnya orang guna rempah jenis pes dari balang sahaja. Misalnya, beriani di restoran Pakistan. Pes digaul bersama basmati ala-ala nasi goreng. Sedekad lepas, harga sepinggan di West Yorkshire sekitar GBP5. Rabak poket buat penggemar beriani seperti saya.

Sekadar gambaran nilai wang, GBP5 adalah upah kerja sejam kami pencuci sambilan pada sebelah malam. Kais pagi, makan pagi. Sental jamban, dapatlah beriani. Realiti ini memaksa saya belajar masak sendiri. Apakan daya, hidup belum ada suri.

Menyewa di apartmen orang putih yang berventilasi hampeh serta berpenggera maha sensitif, sebarang aktiviti goreng-menggoreng (kecuali goreng gitar) terpaksa saya elakkan. Secara tak langsung, terbantut hajat guna pes beriani. Sayang sungguh, sebab ini kaedah paling pintas.

Mujurlah Abang Mandarwis Beeston memperkenalkan saya kepada rempah kotak dalam foto (masak guna serbuk, asap yang terhasil tak banyak). Buat kalian yang belum kenal insan legenda ini, Abang Man chef tetap segala jamuan besar peringkat komuniti Malaysia di Leeds. Sememangnya titik rujukan terbaik.

Asas beriani (if there is such a word) saya pelajari daripada Abang Man. Kemudian, saya gatal tangan bereksperimen. Mix and match. Sampailah dapat komposisi yang sebati dengan tekak sendiri. Dalam banyak-banyak rempah yang pernah dicuba, rempah kambing paling saya suka. Secara kebetulan, ini yang paling pedas. Masak beriani ayam pun saya pakai rempah ini.

Mula-mula, panaskan ghee dalam periuk. Selepas itu, tumis bawang merah, bawang besar, halia dan cili hijau. Kemudian, tuang serbuk sesedap rasa. Berapa lamakah perlu tumis, anda bertanya? Saya tumis setakat mata mula pedih dan sebelum smoke detector apartmen berbunyi.

Agak-agak tumisan dah cantik, saya masukkan pula isi ayam atau kambing. Kambing percuma selalu juga saya dapat kerana warga Malaysia di Leeds rajin buat aqiqah anak-anak. Maksud saya, daging kambing. Kambing hidup, saya nak buat apa?

Pabila isi daging dah cukup masak, sajian di persimpangan ini sekilas pandang dan macam lauk pekat yang sedia dibalun. Diturutkan hati, mahu sahaja serbu terus. Tetapi, saya kuatkan iman. Sabar dahulu. Ayuh, kita tuang air. Sekarang dah berupa gulai pula. Sekali lagi, terasa macam nak serbu. Lekas-lekaslah masukkan beras sebelum ‘gulai’ tadi licin dihirup.

Oh, ya. Saya masak nasi atas dapur. Bukan pakai rice cooker (sebab ada sejarah hitam bersama perkakas ini). Hal ini ada diceritakan dalam BMB: Pax Americana (bakal menemui anda sedikit masa lagi).

Dari segi sukatan beras, saya pakai nisbah 1:2 (jikalau guna beras basmati). Secawan beras pasangannya dua cawan air. Memadai guna air paip. Jangan pula guna air sirap.

Api di kala ini seeloknya diperlahankan. Sementara menanti nasi kering, periuk akan saya putar dari semasa ke semasa. Takut dasar berkerak. Sambil itu, nasi digaul. Fuh, aroma yang terhasil di kala ini cukup menggoda. Sampai tahap periuk pun mahu ditelan sekali.

Api dibiar hidup sehingga daging betul-betul lembut. Jikalau daging hancur pun tak mengapa. Lebih mudah digaul kelak. Maka, terhasillah resipi memikat ibu mertua.

Bab kawal api periuk kawah sememangnya mengambil masa lama sebelum cekap. Terlajak tanak, nasi jadi biskut. Jadi, usahlah bertanya mengapa saya jarang menjamu orang.

Retrospektif Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (Bahagian 1)

Teaser Pertama Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Genap lapan tahun lalu ilustrasi iringan ini berjaya disiapkan. Pada pagi Krismas 2010, saya muat naikkan ke Facebook (akaun lama) selaku teaser. Di persimpangan cerita, saya menyewa sebuah apartmen di Kelso Road, Leeds.

Sementara jiran-jiran mat salih sebelah rumah sibuk menyelongkar stokin besar untuk melihat apa yang pak cik Santa bawa, saya pula tersengguk-sengguk menahan kantuk ekoran berjaga sepanjang malam menyiapkan ilustrasi ini.

Kerja-kerja melukis sekejap sahaja. Pewarnaan digital yang memakan masa. Maklum saja, banyak teknik pintas penggunaan PhotoShop yang saya belum mahir sebab baru hendak belajar.

Ilham di sebalik gambar ini secara spesifiknya tercetus sejurus melihat lambakan foto adik-adik undergrad Leeds bermain salji. Tak putus-putus memenuhi ruangan Newsfeed Facebook. Secara kebetulan, tahun 2010 turut menyaksikan fenomena salji luar biasa (dalam tempoh seabad!) di bumi Yorkshire. Lebat selebat lebatnya.

Ilustrasi ini sangat istimewa buat saya kerana inilah lukisan pertama daripada siri-siri lukisan yang akhirnya berkembang membentuk novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Buku pertama dalam portfolio peribadi saya sebagai penulis. Sepanjang tempoh pembikinan, sejujurnya judul pun belum ada. Segala artwork terhimpun dalam folder komputer berlabel ‘Projek Komik Flowerman’.

Oh, ya. Andai kata timbul kekeliruan dalam minda kalian yang pernah membaca CPSF, usah gusar. Ilustrasi ini telah saya singkirkan daripada draf akhir manuskrip. Sebaliknya diganti dengan perspektif kamera berbeza. Lantas dijadikan penghias kulit belakang buku.

Kulit Belakang Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman 800 X 800

Bangku ini memang wujud. Lokasinya di Woodhouse Cemetery, tanah kubur di belakang fakulti.

Ya, lepak kubur di kemuncak winter. Black metal sungguh!

(Bersambung…)

Adakah kaitan antara Kuantum dan Budak Meja Belakang?

Buku Kuantum Shah Ibrahim Atas Lantai Kayu Gelap

Tahukah anda, buku Kuantum berada dalam garis masa yang sama seperti siri Budak Meja Belakang? Cuma kisah tersaji melangkah bertahun-tahun ke hadapan serta bertempat di benua Eropah pula. Kenapa tulis buku melompat ke depan, anda bertanya? Penjelasannya ada. Lain kalilah saya cerita.

Kuantum bukan buku teks fizik, sebagaimana yang ramai sangka. Tetapi senaskhah travelog kembara ilmu sains. Sekiranya anda menggemari siri BMB, saya sarankan juga anda cuba baca Kuantum. Gaya naratif dan roh buku, serupa macam BMB.

Dalam usaha menambah keyakinan anda, saya menjemput kalian membaca ulasan para pembaca bagi mendengar pandangan jujur mereka.

Kuantum boleh didapati di MPH, Kinokuniya, Times Bookstore, Kedai FIXI dan Dubook Store (Popular Bookstore, setahu saya tak masuk). Andai kata stok kedai kehabisan, kalian boleh mendapatkannya terus daripada saya. Naskhah bertanda tangan masih berbaki lagi sedikit.

Alang-alang ingin buat tempahan awal BMB: Pax Americana, apa kata tambah sekali Kuantum ke dalam koleksi? Sesiapa yang dah terlanjur tempah minggu lalu, boleh ammend order. Tiada masalah 🙂

Tanpa pembaca, siapalah penulis. More books to come from your friend, TheMrFlowerman… insyaAllah.

Pemandangan Dari Tingkap Ofis

Kuantum Shah Ibrahim Pemandangan Dari Tingkap Ofis

Pemandangan waktu tengah hari dari jendela meja pejabat saya di bilik 69. Aras empat blok kejuruteraan Elektronik, University of Leeds. Foto rakaman sekitar Disember tahun 2009. Pepohon di luar sudah botak menjelang winter. Cuma salji sahaja belum menjengah bumi West Yorkshire. Minda yang kusut terasa lega sejenak gara-gara baru selesai viva mini tahun dua.

Lorong berteman pokok dalam foto ialah St. Mark’s Avenue. Lorong pintas buat warga blok kejuruteraan dalam kalangan pelajar Malaysia menapak pulang ke Perkampungan Melayu Holborn. Ini penempatan khusus universiti buat kelompok pelajar berkeluarga. Saya orang bujang. Tak layak memohon.

Bangunan kecil di sebelah kanan Lorong itu sekolah muzik (premis persendirian yang tiada kena mengena dengan universiti). Bangunan sebelah kiri yang banyak kereta di ruang parkir itu pula pusat kebajikan masyarakat. Para gelandangan tempatan boleh tampil minta bantuan. Di sini juga pusat pemulihan penagih.

Banyak kali juga saya dihulur flyer promosi pusat ini oleh para petugasnya. Tidak menghairankan sangat sebab gaya ‘rockers tidak menjadi’ saya lebih menjurus ke arah gelandangan. Apa pun jua, itu kisah untuk lain kali.

Hari pertama saya mendaftar diri sebagai calon PhD pada tahun 2007, pejabat berkapasiti 14 penghuni ini lengang. Secara kebetulan, ramai pelajar senior seofis sedang menghadapi fasa viva akhir dan mereka lebih gemar bekerja dari rumah. Secara kebetulan juga, beberapa orang calon PhD lain yang telahpun mendaftar lebih awal sebelum saya, tiba-tiba menarik diri keluar daripada program.

Sewaktu setiausaha fakulti kami (Miss Margaret Quirke) mengiring saya masuk ke pejabat ini untuk diberi ruang kerja, entah mengapa saya ditempatkan di meja penjuru menghadap dinding. Macam budak sekolah orang putih yang dihukum kerana bising dalam kelas. Padahal, banyak lagi meja kosong belum bertuan yang menghadap jendela.

Berpegang pada prinsip “first come, first serve’’, dengan selamba saya beralih tempat ke lokasi lebih feng shui sejurus cik setiausaha keluar. Tak sanggup saya mengharungi tahun-tahun mendatang menghadap muka ke dinding kosong semata-mata. Sudahlah diri ini klaustrofobik. Sekurang-kurang tatkala menyaksikan hiruk-pikuk jalan besar Woodhouse Lane, dapatlah juga saya mencuci mata.

Bercakap soal hiruk-pikuk, suasana di luar boleh tahan lengang dalam foto penangan faktor hari minggu. Jikalau hari biasa, memang sesak dengan pejalan kaki serta kenderaan berlalu-lalang tak putus-putus.

Sejujurnya, saya lebih selesa membuat analisis data di rumah. Bertemankan Nescafe Tarik gelas besar serta kumandangan irama rock kapak. Namun, sesetengah perisian terkawal hanya boleh diakses mengguna pakai komputer di fakulti. Mahu tak mahu, terpaksalah berkampung di ofis.

Atas dasar terdesak, saya pernah cuba cari perisian-perisian canggih sebegini di Low Yat. Tetapi tak jumpa.

Playlist mp3 Buku Kuantum

Playlist mp3 Buku Kuantum Shah Ibrahim

Kali ini, suka saya kongsikan playlist lagu peneman setia sepanjang menyiapkan manuskrip buku Kuantum. Malah, hampir kesemua trek yang tersenarai ada dalam diari perjalanan PhD saya itu.

Sememangnya teruja sangat mahu saya hurai signifikan setiap satu trek bersama kalian. Cuma ada risiko besar ter-‘spoil’ cerita buat kawan-kawan yang belum berkesempatan membaca. Hilang feeling nanti, bak kata orang. Maka lebih elok saya tangguhkan dahulu niat tersebut.

Apa jua pun, rasa-rasanya kalian tentu boleh menduga kesudahan cerita berdasarkan seleksi masuk angin keluar asap (track 10 is an obvious giveaway). Apakan daya, tidak semua suratan kehidupan nyata berakhir dengan happy ending.

Bercakap soal kesudahan gembira, saya akui trek 8 seakan aneh terselit sama dalam playlist. Terkilan juga diri ini kerana adegan yang sepatutnya memapar lagu Happiness terpaksa saya singkirkan daripada draf akhir Kuantum dalam usaha memendekkan manuskrip atas arahan pihak penerbit.

Lagu Alexis Jordan yang belum pernah saya dengar (di persimpangan cerita), ditemui secara rambang dalam koleksi audio MAS in-flight entertainment sewaktu penerbangan pulang dari Heathrow (Disember 2011). Padan dengan judulnya, lagu tersebut membuatkan saya gembira tak tentu fasal. Sehingga timbul keinginan untuk menari sambil berdiri di atas tempat duduk.

“Mmm… mm mm… mm mm… mm mm”

“Mmm… mm mm… mm mm… mm mm”

Menerusi headphone hitam yang dibekalkan atas pesawat, berulang-ulang juga saya dengar lagu ini sepanjang perjalanan malam berdurasi hampir 14 jam. Barangkali sebab irama. Boleh jadi sebab lirik. Mungkin penangan suasana.

Bayangkanlah:

Ruang kabin gelap. Kepala saya tersandar elok pada penyandar tempat duduk. Mata dipejam rapat. Hati tenang dan minda lapang kerana seksa pengajian formal sudah selesai. Segulung ijazah tersemat kemas dalam bagasi hand carry selaku bukti. Destinasi yang dituju pula ialah tanahair tercinta dengan himpunan kaum kerabat lama terpisah sedang resah menanti di KLIA. That in itself is more than enough reason to be happy.

“Mmm… mm mm… mm mm… mm mm”

“Through strength I found love… In time I find myself in happiness…”

“Mmm… mm mm… mm mm… mm mm”

Saya doakan kejayaan yang serupa buat kawan-kawan yang masih gigih berjuang. Ranjau yang masing-masing terpaksa tempuhi pasti tak sama. Alang-alang mendaki, biarlah sampai ke puncak. Looking forward to hearing your story.

Kuantum Shah Ibrahim Specky Nescafe

Roses are red…

Violets are blue…

Buku ni not bad…

Wa cakap Lu!

(Kredit foto: Puan Diba Ishak)

error: Content is protected !!