The Philosopher Stone

Buku Harry Potter 1 Blog Coretan Sang Flowerman

Seperti yang pernah diceritakan sebelum ini, saya telah berjanji (pada diri sendiri) yang saya tidak akan sentuh siri Harry Potter selagi belum siap projek-projek penulisan tertangguh.

Namun setelah berulang kali terpandang di rak kedai-kedai buku, godaannya semakin membara. Jikalau lambat bertindak, silap-silap habis stok nanti. Malang sekali, set hitam yang paling saya dambakan tidak lagi kelihatan. Hmm, tak mustahil sudah disambar licin (banyak kedai saya pusing).

Alternatifnya, edisi merah bersulam emas boleh tahan mengancam juga. Saya pun belilah satu. Edisi Gryffindor namanya. Naskhah segar berbungkus plastik. Saya fikir, tak salah pun memilikinya dahulu. Dengan azam, janji asal terus ditepati.

Terkenang kembali, lama juga buku ini terperam berbungkus plastik. Cuma silapnya, saya pergi letak atas rak buku yang pasti disapa mata setiap hari. (Mungkin patut sorok dalam laci.)

Geram tengok, pada suatu hari saya gagal mengawal diri lantas terkoyak bungkusan plastik.

“Aiseh, macam mana boleh ‘tak sengaja’ terkoyakkan ni?” Bisik kata hati dengan penuh rasa berdosa.

Alang-alang tidak lagi berbungkus, saya curi-curi baca halaman prakata. Dari prakata, saya fikir apa salahnya pula sekadar selak baca beberapa helaian daripada Bab 1. Dan dari situ, saya terlanjur baca sampai habis buku. Saya tewas pada bisikan syaitan bibliofil.

That’s how magical this book is. Lebih aneh lagi sejurus khatam, saya perasan yang saya baca keseluruhan buku ini dalam loghat British. Tak pasal-pasal.

Sesungguhnya sama amat menyesal membeli Harry Potter & The Philosopher Stone. Sebab apa? Sebab sekarang saya tak senang duduk selagi tak habis baca keseluruhan siri. Enam buku lagi harus dijejaki.

Harry Potter

Siri Buku Harry Potter Edisi Ulang Tahun Ke-20 Blog Coretan Sang Flowerman

Sehingga ke hari ini (tahun 2019), saya masih belum berpeluang membaca sebarang buku daripada siri Harry Potter. Makna kata, saya ketinggalan yang amat berbanding jutaan umat pembaca serata dunia. Malah terlepas fasa kekecohan ‘Please, no spoilers!’. Versi filem pun saya hanya sempat menonton setakat episod 3. Azkaban, kalau tak silap judulnya. Penampilan pertama Gary Oldman.

Niat membaca buku-buku Harry Potter sudah lama ada. Cuma belum sampai seru. Lagipun dalam usaha memperbaiki kualiti penulisan sendiri, tersangatlah rugi jikalau tidak mengkaji salah satu siri buku paling berjaya dalam sejarah tamadun manusia. Maka, siri ini turut tersenarai dalam wish-list peribadi. Ingin dibeli. Mahu dibaca.

Sekali-sekala tertinggal kapal, ada juga kelebihannya. Tiada nikmat lebih besar selaku bibliofil selain berpeluang membaca habis keseluruhan siri sekali harung. Tak mampu saya bayangkan keresahan dan debaran peminat-peminat Harry Potter yang terpaksa menunggu judul-judul susulan keluar. Satu selepas satu.

Secara kebetulan, Bloomsbury telah melancar edisi ulang tahun ke-20 tahun lepas. Aduhai, mengancam sungguh reka kulit! Nafsu saya lekas tewas setiap kali berhadapan dengan set buku yang direka sebegini. Andai diri berhajat bikin koleksi, sememangnya set ini yang akan saya sambar.

Berdasarkan ulasan yang sempat saya baca, edisi komprehensif ini amat disaran oleh kelompok pengumpul. Ada kandungan tambahan. Turut disertai ilustrasi-ilustrasi eksklusif. Maklum saja, nama pun edisi ulang tahun.

Secara peribadi, saya lebih tertarik kepada versi soft cover (barisan bawah dalam foto). Kanvas hitam lebih menonjol. Ditambah pula dengan hujung kertas yang diwarnakan. Fuh! Dan naskhah soft cover tentunya lebih murah.

Saya dah cuba belek naskhah contoh di kedai beberapa bulan lepas. Rupa-rupanya, hanya hujung kertas disembur warna. Lembaran halaman berteks dikekalkan warna asli kertas paperback. Aneh, saya akui. Tetapi bagus juga. Tidaklah pening andai terpaksa merenung kertas berwarna terang. Juling nanti.

Apa pun jua, saya telah berazam untuk tidak membeli selagi belum siap sebuah lagi manuskrip. Asyik membaca sahaja, bila nak sambung menulis? Sejurus terbit sebuah lagi judul buku (Projek apa? Saya belum putuskan lagi), ingin saya jadikan box set ini selaku hadiah buat diri.

Harap-haraplah masih ada stok.