Berakhirnya Siri Komik The Walking Dead

Day 15 Inktober 2018 Shah Ibrahim TheMrFlowerman

The Walking Dead (TWD). Saya mula perasan kewujudan siri ini di kedai-kedai komik serata USA menjelang hujung tahun 2003 (tahun akhir pengajian saya di sana). Melihat sejudul komik Amerika pasca milenium sengaja dicetak hitam putih terasa aneh sekali. Identiti yang sudah sebati dengan siri TWD. Mujurlah adaptasi siri TV beberapa tahun kemudian disiarkan berwarna.

Atas dasar kesuntukan bajet di persimpangan cerita, saya tak berpeluang langsung membeli mahupun membaca. Lagipun pada waktu itu, saya gigih menutup lopong-lopong The Amazing Spider-man dalam koleksi peribadi.

Langkau masa 9 tahun kemudian (tahun 2012), adaptasi siri TV sudah berlalu dua musim. Sebelum terjebak menonton, saya memutuskan untuk terlebih dahulu membaca secara maraton siri komik TWD dari naskhah nombor satu.

Di samping meminati apa jua hal berkaitan zombi, tarikan utama saya terhadap siri komik TWD ialah gaya lukisan Tony Moore. Sayang sekali, beliau hanya melukis untuk 6 naskhah pertama sahaja sebelum Charlie Adlard mengambil alih peranan tersebut. Sejujurnya, saya kurang meminati gaya ‘simplistik’ lukisan Adlard. Namun bertahan memandangkan diri ini sudah hanyut dalam dunia fiksyen ciptaan Robert Kirkman (penulis serta pemegang harta intelek).

Tak dapat dinafi, lukisan Moore sungguh terperinci. Secara tak langsung, ketelitian ini sedikit sebanyak memakan diri. Kononnya kerja sering lambat siap. Maka, urusan-urusan lain berkaitan penerbitan dan percetakan bulanan turut sama terkesan. Cuma ini spekulasi para peminat menerusi forum-forum yang pernah saya sertai. Jikalau wujud pertelingkahan peribadi antara penulis dan pelukis, hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu isu sebenar.

Lanjutan itu, Adlard kekal menjadi pelukis tetap siri TWD sehingga ke naskhah terakhir. Ya, siri komik TWD tamat mengejut bulan ini dengan penerbitan naskhah 193.

The Walking Dead Comic Final Issue 193 Blog Coretan Sang Flowerman
Naskhah terakhir siri komik The Walking Dead (terbitan Image Comics)

Saya sendiri terkedu. Sehingga menyangkakan semua ini sekadar lawak April Fool versi Julai. But it’s real. The series has ended. Jangka hayat lebih kurang 15 tahun! Bagi mengaburi mata peminat, pihak penerbit siap mengiklan reka kulit palsu bagi naskhah 194 dan 195. Licik sungguh. Tipah tertipu!

Perlu ditekankan, komik tamat bukan kerana faktor sambutan. Umum tahu, The Walking Dead salah satu harta intelek bernilai tinggi dekad ini. Adaptasi sudah merentasi pelbagai media. Siri TV (berserta beraneka spin off), filem (dalam pembikinan), permainan video, novel, dan entah apa-apa lagi.

Sungguhpun komik sudah tamat secara rasmi, siri TV masih berjalan. Siri spin off (Fear The Walking Dead) musim ke-5 sedang ditayang. Sementara musim ke-10 siri utama bakal dilancar bulan Oktober ini. Tapi tak jadi masalah kerana plot adaptasi TV menyimpang jauh daripada naratif komik. Ada nilai tambah buat penonton. Setiap episod penuh debaran. Kita yang setia dengan komik pun tak bisa ramal apa yang akan berlaku.

Hmm, sebenarnya banyak juga hal yang mahu saya bicara tentang versi siri TV. Maybe next time. Back to the comic.

Bagaimana kisahnya berakhir dalam siri komik saya tak mahu beri sebarang pembayang andai ada dalam kalangan kalian berhajat membaca. Apa yang saya boleh komen, penutupnya dirancang penuh teliti dan bukan sekadar tangkap muat. Sebak juga membaca kata-kata akhir daripada Robert Kirkman di penghujung buku.

p.s. Ilustrasi iringan dipetik daripada projek Inktober saya tahun lalu.

Garis Penamat Cabaran Inktober 2018

Shah Ibrahim TheMrFlowerman Achievement Unlocked Inktoberer

Alhamdulillah, berakhir sudah cabaran Inktober tahun ini. Tak sangka pula, saya mampu siapkan 31 karya setiap hari sepanjang bulan walaupun ini kali pertama mencuba. Cabaran bukan setakat mencuri masa untuk melukis. Lebih perit lagi, memerah idea apa yang hendak dilukis setiap hari.

Terima kasih atas komen-komen positif serta kata-kata semangat di segala platform media sosial yang telah saya muat naik karya. Kalian memang awesome!

Andai kata umur panjang, kita bertemu lagi tahun hadapan.

Galeri penuh Inktober 2018 saya boleh dilayari di SINI.

Cabaran Inktober 2018

Cabaran Inktober 2018 Shah Ibrahim TheMrFlowerman

Saya mengenali karya-karya kartunis Jake Parker menerusi antologi ‘Flight’. Flight ini salah satu platform memperkenal bakat-bakat baru dalam dunia komik di sebelah Barat. Sesiapa yang teringin cuba baca, saya sarankan anda cari Volume 3 (terbitan 2006). Ini naskhah kegemaran saya secara peribadi daripada set berjumlah lapan buku. Tatkala menerjah pesta buku Big Bad Wolf, jenguk-jenguklah sama. Saya dengar ramai yang berjaya menjejaki antologi Flight di situ.

Flight Volume 3 Shah Ibrahim TheMrFlowerman
Flight Volume 3 dalam koleksi peribadi

Sepanjang bulan Oktober tahun 2009, Jake Parker mula memuat naik hasil karya beliau setiap hari diiringi hashtag ‘inktober’. Objektif asal sekadar latihan memperbaiki mutu lukisan sendiri. Tanpa diduga, perlahan-lahan aktiviti ini tular di media sosial. Lantas menjadi ikutan sehingga tersebar luas serata dunia. Menjangkau hampir sedekad kemudian, setiap rantau sudah ada gerakan cabaran tersendiri. Misalnya, hashtag inktoberMalaysia. Secara tak langsung, Jake Parker dinobat sebagai pengasas.

Memandangkan ramai ilustrator telah beralih ke proses penghasilan karya seni menerusi pendekatan digital secara eksklusif, cabaran inktober ternyata signifikan dalam menarik para artis kembali berkarya secara tradisional. Sehubungan itu, karya-karya yang terhasil sempena inktober seharusnya terhad kepada media berasaskan dakwat. Pen, marker, perkakas kaligrafi, berus celup dakwat dan seumpamanya. Sudah nama pun ‘ink’.

Bolehkah pakai krayon? Bolehkah karya diwarnakan dengan cat air? Bolehkah hasil kerja tetap dibuat sepenuhnya secara digital guna perisian komputer?

Sungguhpun soalan-soalan sebegini lazimnya berakhir dengan lemparan pemadam papan hitam daripada guru-guru zaman saya bersekolah dahulu, “Tak salah” ialah jawapan ringkas Jake Parker setelah ramai bertanya.

Aspek ‘31 karya dalam tempoh 31 hari’ diharap dapat menjana konsistensi serta keyakinan diri. Namun, tidaklah wajib berkarya sebanyak ini. Bagi kelompok sibuk, ada pilihan ‘half-marathon’ (berkarya selang sehari) atau sekerap seminggu sekali. Hakikatnya, bukan semua orang pelukis sepenuh masa tanpa komitmen lain.

Umum tahu, melukis bukannya boleh buat duit pun. Lebih-lebih lagi di Malaysia. Asal lukisan sahaja, mesti minta percuma sebagai hadiah! Eh, melencong pula. Maaf, teremosi sebentar sebab belum minum kopi. Kembali semula ke topik asal.

Selama ini belum pernah lagi saya muat naik sebarang karya sempena inktober. Maka pada tahun ini, saya ingin mencabar diri. Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mesti cuba.

Berapa banyak karya yang bakal terhasil, saya sendiri tak pasti. Kita tunggu dan lihat. Tak dinafi, bab konsistensi melukis saya semakin terjejas sejak aktif menulis. Gerak tangan harus digilap semula.

Sementara menanti menjelmanya bulan menyimpan misai, apa kata kita bermain dengan dakwat dahulu. Manalah tahu, dakwat berbaki kelak boleh dibuat modal melukis sendiri misai sempena cabaran Mo-vember.