Novel Bidan (FIXI) karya Nil

Novel FIXI Bidan karya NIL
Sebagai lelaki, hal-hal bersangkutan kehamilan serta proses bersalin sememangnya suatu topik misteri yang menggerunkan buat saya. Apatah lagi setelah diberi sentuhan horror dalam bentuk fiksyen.
Novel Bidan mengisahkan watak Syifa’, seorang petugas kesihatan wanita yang dikerah berpindah secara tiba-tiba untuk berkhidmat di sebuah kampung (Terengganu). Setakat yang Syifa’ maklum, dia harus mengganti tugas mantan staf yang cabut lari ekoran gangguan mistik yang melampau. Sungguhpun demikian, si gadis tetap akur dengan arahan berpindah.
Penulis novel Bidan langsung tidak membuang masa. Seawal Syifa’ melangkah masuk ke rumah sewa baharunya, dia terus disakat. Apa yang berlaku seterusnya pula ternyata di luar jangkaan. Cuma nasib saya kurang baik sebab terbaca banyak spoiler review. Kadang-kadang, segelintir pembaca itu terlampau teruja sehingga mendedah segala plot twist yang ada dari A sehingga Z.
Dalam pada itu, saya tetap enjoy membaca novel Bidan. Syifa’ selaku protagonis utama merupakan watak yang ‘instantly likeable’ seawal mukadimah cerita. Buku ini boleh disifatkan ‘bersih’ walaupun ada label amaran pembaca matang. Sekadar trivia bagi anda yang belum maklum, Bidan merupakan salah satu pemenang Sayembara FIXI 2023 dan baru saja terbit tahun lepas (2024).
Berdasarkan nama pena ‘NIL’, anggapan saya penulisnya lelaki (singkatan nama Aznil barangkali). Tetapi, rupa-rupanya seorang wanita berlatar belakang dunia perubatan. Ilmu dan pengalaman kerjaya hakiki puan penulis berjaya diterap dengan kemas ke dalam naskhah laku keras ini. Hiburan saya dapat. Ilmu perbidanan pun saya peroleh. Namun tidaklah sampai mampu menyambut kelahiran bayi tatkala situasi kecemasan.
Secara peribadi, saya lebih gemar melabel Bidan sebagai dark fantasy yang disulami elemen horror. Andai diminta merumus novel ini dengan hanya satu perkataan, jawapan saya ialah ‘unputdownable’. Saya yakin buku ini akan memasuki senarai judul terbitan FIXI yang akan berterusan diulang cetak.
Oh ya, sebelum terlupa! Ilustrasi kreatif kulit hadapan buku ini memang terbaik. Sesiapa yang dah habis baca, tentu faham signifikan potret cantuman tersebut.

Bercakap Dengan Jun

Bercakap Dengan Jun karya Hasrul Rizwan
Saya mula mengenali karya-karya Hasrul Rizwan AKA Mat Gorn melalui capaian rambang di perpustakaan lebih sedekad lalu. Pada zaman kegemilangan penerbitan buku-buku ‘indie’.
Novel Bercakap Dengan Jun terbitan asal Dubook Press (2013) merupakan karya pertama beliau yang saya baca. Sangkaan diri pada waktu tersebut, barangkali buku ini bergenre seram. Mungkin parodi komedi kepada siri Bercakap Dengan Jin, nukilan Tamar Jalis. Namun, sangkaan saya meleset.
Novel ini sebaliknya menceritakan kisah hidup seorang lelaki malang bernama Jun (told in first person narration). Protagonis yang tetap ‘likeable’ meskipun berlatar belakang jenayah. Pada suatu hari, takdir tak semena-mena menemukan Jun dengan seorang bayi perempuan yang dibuang. Bayi ini diberi nama Ranum.
Kehidupan terasing Jun dan Ranum di sebuah tapak perumahan terbengkalai pantas mengingatkan saya kepada The Graveyard Book (Neil Gaiman). Novel Bercakap Dengan Jun memaparkan episod kepelbagaian ‘mini adventure’ dua beranak ini di dalam dunia tersorok mereka. Termasuklah interaksi dengan makhluk-makhluk lain yang menghuni di situ.
Saya enggan ulas lanjut apa yang berlaku (terutama sekali hal konflik), takut-takut terlajak mendedah spoiler. Cukup saya simpulkan yang emosi pembaca pasti turun naik tatkala mengharungi naratif. Sikap ‘protective’ Jun terhadap Ranum bersebab. Banyak rahsia mengenai kelahiran si cilik yang Ranum sendiri belum tahu.
Terkenang kembali, boleh jadi elemen ‘father-daughter dynamic’ ini yang banyak memain peranan menyentuh jiwa lelaki saya. Sebagaimana novel The Book Thief, animasi Hotel Transylvania, filem Train To Busan serta permainan video survival-horror The Last of Us (yang saya berulang-kali main semenjak era PS3).
Sejurus khatam buku Bercakap Dengan Jun (BDJ) yang dipinjam, saya terdorong untuk menjejak naskhah peribadi buat koleksi simpanan sendiri. Merata-rata juga saya cari. Malangnya tak jumpa. Stok terbitan asal memang habis. Market pre-loved pun tiada hasil.
Mujurlah pihak Fixi mengambil inisiatif menerbitkan semula BDJ sekitar pertengahan tahun 2022. Saya terus sambar sebaik penjualan diumumkan. Tambah menarik, ini edisi kombo. Bahagian kedua cerita yang julung kalinya diterbit turut disertakan sekali. Sambungan terus dari babak penutup edisi asal.
Dari BDJ, saya turut mencuba judul-judul lain karya Mat Gorn. Terlalu banyak dan tak sempat mengejar. Budak Hostel Otaknya Sewel, Misteri Kem Motivasi dan Lelaki Yang Tak Punya Apa-apa Untuk Dipersia adalah judul-judul yang saya dah sempat baca. Memang boleh nampak ‘signature style’ tuan penulis.
Novel Budak Hostel Otaknya Sewel karya Hasrul Rizwan
Novel Misteri Kem Motivasi Karya Hasrul Rizwan
Sekuel tidak rasmi Budak Hostel Otak Sewel
Apa pun jua, secara peribadi saya tetap merasakan BDJ kekal sebagai mahakarya terbaik Hasrul Rizwan. Buktinya jelas. Ada pihak lain yang sudi menerbitkan semula. Dan buku ini juga telah diadaptasi menjadi siri TV. Cuma saya belum berpeluang menonton.
Buat kalian yang baru hendak berjinak dengan karya-karya Hasrul Rizwan, ini judul pertama yang saya syorkan.
error: Content is protected !!