Zaman Kegemilangan Komik Hong Kong

Lakaran Pensel Ekin Cheng dalam Pedang Setiawan
Kalau orang Jepun ada Manga, orang Cina ada Manhua.
Dendam Kesumat. Singa Ganas (rare & payah cari). Alam Perwira. Raja Rimba. Ini hanya sebahagian daripada judul-judul Manhua yang saya pernah baca. Versi terjemahan Melayu untuk pasaran Malaysia rata-rata telah ditapis. Versi asal bahasa Cina bagi sebilangan judul pula ada paparan label amaran 18.
Sepanjang zaman sekolah, saya tak sempat kumpul. Apatah lagi khatam membaca. Terlalu banyak judul. Bajet duit saku yang terhad pula mahu disalur kepada usaha melengkapkan koleksi Spider-man terlebih dahulu. The Clone Saga story arc sedang hangat pada pertengahan era 90-an. Saya dah obses.
Senaskhah RM4.20 di pasaran Malaysia. Cuma ini versi cetakan semula yang juga telah ditapis. Naskhah Direct Edition dari Amerika pada waktu itu sekitar belasan ringgit. Kertas licin. Kulit lebih tebal. Bau pun mahal. Hanya boleh dicari di tempat-tempat seperti Atria Mall.
Oleh itu, komik-komik Hong Kong saya banyak tumpang baca stok kawan-kawan.
Kata orang, era kegemilangan komik Hong Kong memuncak di Malaysia sekitar awal millenium. Sayang sekali, saya dah terbang ke US dan terlepas fasa ini. Demam Manhua belum sampai ke sana. Sebaliknya pula, Amerika sedang obses dengan karya seni Jepun. Saya kurang berminat. Lantas mengambil peluang untuk mengisi kelompongan koleksi Spider-man.
Nama Ma Wing-shing pasti tidak asing buat peminat Manhua. Karya termahsyur beliau tentu sekali Pedang Setiawan. Dinilai dari segi naratif, saya minat juga jalan cerita Pedang Setiawan. Tapi berbanding stroke lukisan Ma Wing-shing, saya sebenarnya lebih tertarik kepada gaya Tang Chi Fai yang popular dengan Siri Pendekar Laut.
Mungkin kerana rekaan watak-wataknya lebih moden. Berseluar jeans. Berblazer. Sehinggakan gaya lukisan saya sendiri perlahan-perlahan terpengaruh. Kalau tak silap, Wan Yat Leung pelukis asal di peringkat awal penerbitan Pendekar Laut sebelum Tang Chi Fai mengambil alih (mohon teguran daripada otai-otai Manhua yang lebih arif andai pemahaman saya salah).
Sewaktu di MRSM, saya aktif melukis poster event sekolah serta cover untuk pelbagai majalah persatuan/kelab. Termasuklah kelab-kelab yang saya bukan anggota rasmi pun. Pada zaman itu belum ada perisian canggih seperti Canva. Segalanya mengharapkan lukisan tangan.
Boleh tahan banyak projek saya tapau. Masalahnya, saya langsung tak ikut tema. Sekadar mencari peluang melepas gian melukis Orga bertempur dengan Jerung Raksasa. Untuk projek Biro Agama pun, saya sekadar tambah songkok dan kopiah. Ya, memang bongok. Ramai juga guru penasihat persatuan yang tampil menegur.
“Kamu ni dah takde benda lain ke nak lukis?”
Saya buat dono. Maklumlah, rebel. Those were the days. Good times. Best of times.
Hikayat Pedang Setiawan telahpun ada versi live-action pada tahun 1998. Sebagai peminat, saya amat berpuas hati. Chemistry gandingan Aaron Kwok dengan Ekin Cheng ternyata menjadi. Saya ternanti-nanti adaptasi serupa buat Pendekar Laut.
Siapakah pula generasi pelapis pelakon yang layak memakai belang tarung? Saya pun dah lama tak ikuti perkembangan dunia perfileman Hong Kong.
error: Content is protected !!